Kisah Semalam – Mangsa Dadah, Keluarga dan Erti Persahabatan

Tahun 2016 iaitu pada bulan Syawal tahun lepas aku bersama seorang rakan menuju ke rumah seorang sahabat kami dengan misi mencari seorang rakan bangku sekolah yang sudah beberapa tahun terputus hubungan.

Semasa sampai di hadapan rumahnya, kami disambut oleh seorang lelaki lingkungan 30an, iaitu abang sahabat kami Hamdan. Kami memperkenalkan diri dan memberitahu akan niat kami untuk menziarahi Hamdan.

Itu adalah kali kedua aku datang beraya ke rumahnya semenjak 2-3 tahun lepas. Selepas itu terputus hubungan kerana number telefonnya sudah tidak berfungsi.
Abangnya menyambut baik kedatangan kami, cuma dia menyatakan Hamdan tidak ada di rumah. “Dia tengah ‘kursus’ sekarang” katanya sambil tersengih.
“39 B” tambahnya lagi.

Fahamlah kami akan kiasan abangnya. Kursus merujuk kepada tahanan penjara dan 39B merujuk kepada 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semenjak aku di bangku sekolah lagi memang aku tahu benar hubungan Hamdan dengan dadah.
Aku juga teringat pesan, “Kita harus pandai memilih kawan”.

Namun, pada pendapat diriku, selagi mana kita pandai menjaga diri, orang yang baik mesti berkawan dengan orang yang tidak baik juga, jika tidak bagaimana yang tidak baik itu hendak berubah jadi baik? Apa akan terjadi jika semua orang jahat dipinggirkan?

Sewaktu aku kecil dahulu, ibuku juga menasihatkan benda yang sama, jangan berkawan dengan orang sembarangan, jangan berkawan dengan orang yang merokok, takut-takut nanti terikut sama.
Tetapi, aku ini jenis degil dan kritis. Aku ingin membuktikan bahawa ibu aku salah dan diri aku betul, maka aku berkawan juga dengan kawan-kawan yang merokok tetapi rokok tidak akan pernah aku ‘sentuh’ sama sekali. Ini kisah sewaktu di tingkatan dua dahulu.

Ternyata pendirian itu memotivasikan diriku untuk tidak merokok sehinggalah ke hari ini. Jadi, aku telah berjaya membuktikan bahawa diri aku betul, dan ibu aku salah.
Namun, janganlah ada yang salah faham. Lain orang, lain caranya. Pendirian ini tidak sesuai bagi kebanyakan orang.

Nasihat ibuku dulu itu secara dasarnya 99.99% betul. Patut dicontohi oleh semua ibu-ibu.
Semasa di tingkatan dua itu, jika kawan sekampung ku ada 10 orang, maka 8 orang daripadanya merokok. Pengaruh rakan sebaya ini amat dahsyat. Tersalah pilih kawan, kemudian terpengaruh, buruk padahnya.

——————-
Mendengar jawapan abang Hamdan itu, kami kemudiannya bercadang mahu pulang, namun kami telah di pelawa untuk masuk dahulu.

Mungkin sebelum itu, abangnya fikir kami ini orang dari Balai atau dari AADK.
Di dalam rumah, kami berjumpa dengan ibu Hamdan. Abangnya yang tadi masih di luar.

Kami memperkenalkan diri dan kemudian dipelawa menjamu hidangan lemang dan rendang.
Kemudian, perlahan-lahan wajah tua itu membuka cerita, meluah segala perasaan kasih dan sayang seorang ibu yang terbuku di dalam hatinya kepada kami.

“Hamdan tu budak baik, tapi kawan-kawan dia yang kenakan dia” itu antara kata-kata yang masih melekat di ingatan.

Kami juga mengiakan perkara itu sambil membuka cerita-cerita di sekolah dahulu, Hamdan ini pada kami memang di kalangan orang yang bijak, cuma terpengaruh dengan kawan yang tak baik. Apa yang baik, semua kami cerita pada ibunya, yang buruk pun tentulah ada, tapi biarlah disimpan diantara kami sahaja. Demi menjaga hati seorang ibu.

Ibunya kemudian bercerita lagi akan perkara lain, sewaktu bertemu ketika perbicaraan dahulu Hamdan telah berjanji padanya, “Ini kali terakhir mak, lepas ni tak ada dah”, cerita ibunya perlahan, tetapi dari raut wajahnya penuh dengan pengharapan supaya perkara itu menjadi kenyataan.
Sewaktu bercerita, sekali sekala dia menahan sebak. Aku yang mendengar itu juga berkaca mata, namun ku tahan supaya tidak terjatuh.

Aku mengenal sesuatu yang baru pada hari itu.

Kasih seorang ibu terhadap anak tiada tolok bandingannya. Kasih sayangnya begitu luhur, murni dan ikhlas. Tidak mengharapkan balasan. Tidak memandang rupa, harta dan kedudukan.
Jika orang lain melihat anaknya sebagai sampah masyarkat, maka seorang ibu tetap melihat anaknya itu sama seperti anak-anak yang lain.

Ketika orang lain melihat anaknya sebagai jahat, maka seorang ibu tetap mencari alasan-alasan untuk tetap memandang kebaikan anaknya. Biarlah walau kebaikan itu hanya satu, dan kejahahatan anaknya itu pula sepuluh sekali pun.

Begitulah Tuhan Yang Maha Penyayang menciptakan naluri seorang ibu supaya tetap kasih akan anaknya walau siapa pun dia.

Maka tidak hairanlah mengapa kedudukan ibu diangkat begitu tinggi di dalam agama.

Sebelum pulang, aku kemudiannya meninggalkan ‘kad nama’ kepada abangnya, sambil berpesan supaya Hamdan menghubungi aku apabila bebas kelak.

—————————
Beberapa bulan kemudian, Hamdan menghantar sebuah sms kepada aku, memperkenalkan diri.
Aku membalas sms tersebut, “Hai Hamdan, sudah habis bercuti?”, dengan niat bergurau.

Hamdan membalas, “Dah, ada lagi 25 hari parol”.

Aku kemudian memasukkan nombornya ke dalam kumpulan Whatsapp kawan sekelas kami. Semakin bertambahlah ahli kumpulan. Memang itulah niatku, jika boleh mahu berhubung kembali dengan semua rakan-rakan di bangku sekolah dahulu.

Kami sambung bertanya khabar melalui Whatsapps.

Beberapa bulan kemudian, baru kami bertemu, iaitu ketika hari raya syawal beberapa bulan lepas.
Jika raya tahun lepas kami pulang dengan tangan kosong, raya tahun ini diserikan dengan tiga sekawan yang berhari raya bersama-sama menuju ke rumah-rumah rakan di bangku sekolah. Mulai pagi sampailah ke malam kami beraya sakan.

Ketika dalam perjalanan itulah Hamdan bercerita akan pengalaman-pengalamannya sewaktu dalam tahanan dahulu.

Dari kisah makanan yang tawar, tidur beralaskan simen hinggalah kepada ‘survival skill’ di dalam penjara.

Antara yang menarik ialah cerita bagaimana para banduan menghisap rokok di dalam penjara. Rupanya, lighter yang kehabisan gas diubah suai, ‘wheel lighter’ yang biasa dipetik dengan ibu jari itu beserta batu api dibawahnya menjadi peralatan utama untuk menghasilkan percikan api dan kemudiannya dihalakan ke bulu-bulu halus yang dicarik dari kain kapas. Dari situ bara terhasil dan ditiup perlahan-lahan untuk menghasilkan api bagi membakar kertas tisu atau surat khabar.

Sebelum itu, tembakau yang seludup masuk dibalut padat di dalam gulungan surat khabar, panjangnya kira-kira sejengkal. Rokok itulah yang akan dikongsi seorang sedikit.

Bila dalam keadaan terdesak, naluri meneruskan hidup akan menjadikan manusia lebih kreatif untuk memanfaatkan sumber yang ada.

Pada dasarnya menurut Hamdan, kehidupan dalam penjara ada baik dan buruk. Kita sendirilah yang memilih untuk mengambil ilmu yang baik atau ilmu yang jahat atau kedua-duanya.
Hikmah masuk penjara, dia sudah belajar dan boleh bersolat.

—————————————–
Jadi, bagaimanakah dia boleh terjebak dengan dadah? Begini ceritanya.

Menurut Hamdan, semenjak di bangku sekolah rendah, dia sudah mula mengenal rokok. Rokok itu pula diambil secara senyap dari ayahnya dan ibu saudaranya yang juga perokok. Dia juga sudah bergaul dengan orang-orang yang lebih dewasa darinya. Dari mereka itulah perlahan-lahan dia menjadi semakin liar, mengenal erti ‘dapur’ dan sebagainya.

Sewaktu di sekolah menengah, kehadirannya ke sekolah kira-kira 100 hari lebih sahaja. Hari yang lain dia ponteng secara senyap, duduk melepak di tepi sungai. Sewaktu di tingkatan tiga, kehadirannya ke sekolah hanya lebih kurang 40 hari sahaja setahun. Jadi, naik tingkatan empat, sekolah tersebut enggan menerimanya lagi.

Maka, hadirlah dia ke sebuah sekolah vokasional, bertemu aku dan rakan-rakan yang lain. Masing-masing hadir dengan pelbagai latar belakang dan sejarah sendiri di sekolah yang lama.
Pada asalnya, dia hanya mengambil ganja untuk suka-suka. Padahnya, sewaktu ujian air kencing di sekolah, dia pernah disahkan positif dadah. AADK pada waktu itu memberi kaunseling dan meletakkan dia di dalam perhatian.

Dari situ dia diperkenalkan dengan sesuatu ‘ubat’ yang baru oleh rakannya yang lain. Ubat yang dimaksudkan ialah dadah jenis heroin.

“Kalau ambil ganja, tiga minggu selepas itu, ‘urine’ belum tentu boleh ‘clear’ “ , katanya.

“Kalau ubat ni pulak, tak ambil dua hari, ‘urine’ dah boleh ‘clear’ , tambahnya lagi.

“Tapi dia orang tak bagi tahu aku, kalau tak ambil ubat ni dua hari, gian dia macam mana. Aku kalau gian tak dapat barang, kalau boleh mati, aku memang mintak mati, aku fikir Tuhan tak terima je nanti. Kalau Ganja, tak dapat tiga minggu pun tak rasa apa sangat” , katanya sambil menyesali akan kesilapan lalu.

“Selepas habis sekolah, aku main pakai jarum pulak, kononnya sebab nak jimatlah. Ada sekali tu aku kantoi dengan family aku. Itu yang diorang bawak aku pergi KL, kurung aku dekat sana. Bila gian, diorang bagi metadone. Tapi tak lama, lepas dua bulan aku cabut balik. Tak tahan duduk KL. Terjebak lah balik dengan benda ni” , ceritanya panjang lebar.

Aku mendengar cerita itu. Apa boleh buat, bukan terlajak perahu yang boleh diundur. Dari kesilapan pergaulan dia terjebak di lembah ini.

——————–
Dalam 6 bulan ini, aku lihat banyak perubahan pada Hamdan. Dari bekas banduan, dia kini boleh berniaga mencari duit sendiri. Gian terhadap dadah masih belum pulih sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya tidaklah dia menyusahkan orang lain, meminta-minta duit untuk membeli dadah.
Cara dia berniaga juga aku puji, berinovatif. Dari Enterprise, dia bercita-cita untuk menjadi syarikat ‘Sdn Bhd’.

“Tapi sebelum itu, aku nak dapatkan dulu Sijil Halal JAKIM dengan code bar, nanti bolehlah aku masuk pasaran yang lagi besar. Mesin pun aku tengah cari orang untuk design”, katanya padaku mengenai strategi jangka panjang akan perniagaan frozen foodnya.

“Tapi sebelum tu, aku kena la jugak buang musibah pada diri aku ni”, katanya berkias merujuk kepada giannya yang belum hilang.

Sebagai kawan, aku hanya mampu memberi kata-kata sokongan dan berdoa agar urusannya dipermudahkan.

Kataku di dalam hati, jika dia tidak terjebak dengan dadah dahulu, pasti dah menjadi orang yang berjaya sekarang.

Satu lagi perkara yang wajar dipuji dalam diri bekas banduan dadah ini ialah sikap terhadap ibunya. Jika anak-anak ibunya yang lain bekerjaya, tetapi anak yang sedang diuji itulah yang selalu menghantarnya ulang-alik ke hospital, merawat penyakit hempedunya.

Betapa ramai orang yang kita kenal, yang berjaya di dalam kerjaya masing-masing, berkereta mewah, berumah besar, tetapi baktinya terhadap ibu bapanya ditolak tepi. Balik kampung pun jarang-jarang. Jika anda di dalam kalangan orang ramai itu, ingatlah bahawa ada insan yang pernah masuk penjara , penagih dadah, disisih masyarakat, namum lebih mampu menjaga orang tuanya sebaik mungkin.

Akhir kata, jika ada rakan kita yang pernah melakukan kesilapan, bantulah mereka dengan sokongan, berilah mereka peluang. Kita boleh mencuba, tetapi Hidayah itu tetap milik Tuhan.

————————————
Pengalaman setiap orang dengan mereka yang menagih dadah adalah berbeza-beza. Cerita ini ditulis untuk dijadikan tauladan dan sempadan.

Nama juga telah diubah demi melindungi identiti.

– Matz

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit