Assalamualaikum dan hai, semua. Kek Keju kembali lagi. Sebelum ini saya pernah menulis tentang bahaya krim kilo di page ini dan mendapat liputan agak meluas dari page-page lain. Bukan nak riak ya, tiada sebab pun nak membongkak. Cumanya saya gembira kerana dapat berkongsi tentang skincare pembunuh yang berasal dari krim-krim kilo yang tidak diketahui asal-usulnya, bahan-bahannya, cara pengendalian dan tarikh luput sebenar setelah berpindah banyak tangan, bekas dibuka tutup berkali-kali oleh “founder” kononnya untuk tujuan packaging di rumah sendiri (jangan ditanya kilang di mana, nanti “founder” atau agent yang menjual pakat sentap).
Kenapa Kek Keju muncul semula? Hal ini kerana, beberapa hari ini, saya ada banyak melihat beberapa iklan jenama kosmetik baru, iaitu jenama Ayam Jantan (bukan nama sebenar) yang jika dilihat di ruangan komen, ramai yang menuduh jenama ini meniru satu lagi jenama kosmetik yang sedang popular iaitu Ayam Piru (juga bukan nama sebenar). Pelanggan menista jenama Ayam Jantan sebagai tidak original, malah agent-agent dropship pula saling menuding dan membela jenama jualan masing-masing.
Okay, kita berbalik kepada confession saya yang pertama dulu. Dalam senarai cara-cara mengenalpasti krim kilo, ada saya nyatakan, selalunya set skincare krim kilo ni ada krim siang dan krim malam. Maka berbekalkan info ini, semakin banyak set skincare kilo muncul di pasaran dengan slogan “TIADA KRIM SIANG DAN KRIM MALAM”, atau “nak cantik, tapi takut pakai krim siang dan krim malam?” atau “wah! Produk skincare tanpa krim siang dan krim malam, lah!” dan apa-apa lagi yang seangkatan dengannya.
Bijak kan? Macam-macam strategi “founder-founder” ni. Pembekal-pembekal krim kilo atau pun kosmetik secara pukal atau lambakan (sama sahaja, cara pengendalian diragui) pun bijak. Mereka keluarkan pakej yang lain pula. Kalau dulu setiap set ada sabun sebiji, krim siang dan krim malam (kadang-kadang tambah serum untuk kelainan), kali ini ubah terus strategi. Krim foundation satu bekas, berus sebatang, dan face mist satu botol (boleh pilih nak aloevera ke timun ke teh hijau ke, jangan terkejut lepas ni kalau ada face mist gabungan 11 bunga yang hanya kembang pada waktu Subuh di kaki gunung, bulan Disember pada tahun lompat sahaja. Jangan buat main “founder-founder” ni, mereka semua kreatif okay?)
Faham tak? Tak ada istilah meniru di antara mana-mana Ayam yang berkaitan ya. Produk repackage memang lah rupa nya sama. Jenama sahaja lain. Baru sekejap tadi sebelum menulis confession ni, saya ternampak lagi satu jenama kosmetik bernama Ayam Panggang. Juga ada sebekas foundation, dan face mist. Ha, nampak tak mereka dah mula buat kelainan? Takut dituduh tiru, jangan la letak berus. Lepas ni tukar sikit. Letak berus 3 batang pulak.
Tiada niat untuk menjatuhkan mana-mana jenama. Cuma ingin menasihati. Bila ada jenama-jenama yang berkualiti dan diyakini yang dijual di drugstore, kenapa nak beli barang-barang repackage? Sebelum beli, buat lah research sedikit. Kaji sedikit. Kilangnya di mana? Ada sesetengah penjual yang selalu buat statement sentap seperti (ayat contoh ya) “Ramai yang bertanya, di mana kilang jenama Ayam? Maaf saya tak boleh sebut, kerana ini adalah rahsia syarikat. Tapi kilang ini dah 40 tahun bertapak di Malaysia, dan yang di luar negara sudah berusia 67 tahun”.
Kilang punya besar, sampai ada cawangan dalam dan luar negara, bertapak sudah berpuluh tahun, dan siapa pun tidak tahu di mana? Fikir-fikirkan lah wahai pengguna sekalian. Kulit kita amat berharga. Sekali rosak, menyesal tak sudah. Jangan begitu mudah membeli dan memakai produk yang kelihatan amat diragui. Bekas eyeshadow tiga tingkat dengan 120 warna, ditambah 2 tona foundation, dan 6 warna pemerah pipi, harga cuma RM20 termasuk postage, pun saya lihat ramai yang berminat untuk beli. Tidak risaukah anda? Tolak postage, makanya produk sebanyak itu hanya berharga RM12. Penjual mesti lah akan dapat untung, dan pembekal juga. Boleh bayangkan sebenarnya berapa harga penghasilannya? RM2 kah? Tepung ditambah water colour pun nampaknya lebih mahal.
Satu lagi taktik adalah dengan menggunakan ayat “revolusi krim kecantikan dari Korea” atau “formula kosmetik terkenal Korea” sewaktu menjual. Maklumlah, ramai yang gemarkan KPOP dan menonton drama Korea, maka krim kilo pun di”Korea”kan. Please take note ya. BB, CC dan DD cream ni bukan main sebut saja ya. Semua ada maksud bergantung kepada fungsinya. BB tu Blemish Balm. CC tu Colour Corrector. DD tu Daily Defense. Ada “founder” yang memandai gabung, CBD Cream la, BCD cream la, BBC Cream la. Benda yang tak ada, di ada-adakan. Dengan alasan “boleh menjadi flawless seperti artis Korea”, habis semua huruf sampai ke ZZ cream nanti ada. Careful! Kena betul-betul careful.
Hati-hati semua, terutamanya cik-cik, puan-puan, malah ibu-ibu juga yang suka membeli produk murahan untuk diberi kepada anak mereka. “Anak saya 5 tahun, suka sangat mekap. Jadi saya beli yang murah-murah untuk dia”. Ini ibarat meracun anak ya ibu-ibu sekalian.
“Founder-founder” sekalian janganlah ingat saya dengki atau cuba menjatuhkan. Kalau anda founder yang jujur, yang menerajui jenama berkualiti, yang memang mengendalikan produk dengan bersih dan mengikut prosedur, janganlah terasa. Post ini bukan untuk anda. Hanya “founder” penipu sahaja yang telan cabai Melaka.
Harap confession saya kali ini dapat menyedarkan ramai lagi wanita di luar sana agar lebih berhati-hati. Sangat-sangat berhati-hati. Tak rugi pun kalau membaca sikit. Kaji sikit. Instead of tiba-tiba komen “PM”. Sesal dahulu pendapatan. Sesal kemudian, Ayam bermaharajalela. Jangan cakap Kek Keju tak payung.
– Kek Keju
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit