Umur Muda

Usai solat Asar di masjid sekitar sekolah, aku ternampak seorang makcik di pintu masjid seolah-olah sedang mencari sesuatu. Seliparnya barangkali. Susuk tubuhnya yang kurus dan muka yang cengkung itu mengingatkan aku kepada nenekku di kampung, Tok Timah. Atukk, rinduu! Entah kenapa hati aku kuat betul ingin membantunya dan mulut ini terasa ringan betul ingin menyapanya.

“Assalamualaikum, cik. Cik cari apa? Boleh saya tolong?”
“Waalaikumussalam. Acik cari kasut acik, tak jumpa la.”
“Oh, tak pe, Biar saya carikan. Kasut warna apa? Bentuk macam mana?”
“Kasut acik warna coklat cair, brand Bata, saiz 6”
“Okay, kejap. Haa, tu kat hujung tu, saya nampak dah.”
“Haa Alhamdulillah jumpa pun, terima kasih banyak-banyak nak”
“Sama-sama. Acik datang dengan siapa?”
“Dengan suami acik. Tu haa ada tu tengah duk minum kat depan tu. Meh la sekali nak, kita minum petang sekali.”
“Hmm boleh jugak, nak balik sekarang pun jalan tengah jem. Boleh laa kita minum dulu.”

Sampai je di meja, aku memberi salam kepada suami makcik tersebut dan pakcik itu menjawab salam dengan penuh mesra sekali. Setelah diceritakan oleh isterinya, pakcik itu mengucapkan terima kasih padaku dan memintaku untuk memesan minuman.

“Anak ni cikgu, ya?”
“Wahh, power laa pakcik. Mana pakcik tau?”
“Ada laa muka cikgu tu. Hahaha! Duduk mana ni?”
“Saya duduk Putrajaya, mengajar kat sekolah depan ni haa”
“Ohh, sekolah baru tu?”
“Aah, cik. Hmm, Alhamdulillah kann Allah panjangkan umur pakcik dengan makcik sampai sekarang. Mesti pakcik dengan makcik seronok kan, yelaa bila dah berusia, nafsu dunia pun dah kurang. Lagi senang la nak beribadat, tak de pikir soal lain dah.”

Entah kenapa ramah betul mulut aku untuk bersuara dan berkata sedemikian.
Tidak lama lepas aku bertanya, wajah pakcik tersebut kelihatan berubah suram.

“Tak, nak. Banyak orang pikir macam tu. Masa muda kerja kuat, kumpul harta, nanti dah pencen boleh tumpu pada ibadah. Kononnya bila dah tua, lagi mudah ibadah. Tapi itu bukan realiti sebenar.”

“Eh kenapa pulak pakcik? Saya tengok kat masjid-masjid ramai orang tua. Ada yang terbongkok-bongkok pun tetap solat berjemaah. Kalau waktu mudah memang susah sikit la nak istiqamah solat Jemaah, sebabnya banyak kerja.”

“Yang kau nampak tu berapa ramai? 10? 15? Jumlah tu tak sampai pun 10% dari jumlah orang tua kat kawasan ni. Contoh kalau kawasan ni ada 100 orang tua, mana lagi 80-90 orang-orang tua yang kau tak pernah nampak kat masjid ni?”

“Hmm..”

“Konsep dah tua baru nak beribadat ni ialah salah faham terbesar dalam masyarakat zaman sekarang. Beribadah ni paling susah sekali, istiqamah. Bayangkanlah berpuluh-puluh tahun kau kejar dunia, solat mengaji kau letak no 3 dan 4 dalam hidup, lepas pencen kau ingat kau boleh automatik jadi ahli ibadah yang konsisten? Tak, nak..”

“Tapi bukan ke bila dah tua, kita tak fikir lagi benda lain dah kecuali ibadah?”

“Ibadah ni ialah hubungan kau dengan Tuhan. Ganjarannya tak nampak. Bila dah tua baru nak mula belajar, kau kena tahu cabarannya lebih besar. Kau dah biasa solat sorang-sorang hujung waktu, tiba-tiba kau kena datang masjid ikut waktu. Kau nak belajar Al-Quran pun masa tu merangkak-rangkak mengalahkan anak kecil. Pakcik dah tengok ramai kawan pakcik yang putus asa. Masa mula-mula pencen, rajin ke masjid solat jemaah, belajar megaji, ikut kuliah sana sini. Tapi lepas seminggu dua masing-masing dah mula putus asa. Akhirnya lebih selesa duduk di rumah main dengan cucu. Ada pulak yang lagi suka habiskan masa kat kedai kopi. Kau kena tahu, nak. Dah tua ni, kalau kau tak berubah, macam mana cara kau hidup, macam tu lah cara kau mati..”

Allahhhhhh!

Terima kasih Allah kerana kau telah menemukanku dengan pakcik ini. Semoga Allah panjangkan umur pakcik dan sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada pakcik.

nikmat yang besar dikurniakan oleh Allah,
adalah dapat mendekatkan diri kepada Allah,
di usia muda.

F.

– Faheem Addin

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit