Kawan Baik Selamanya

Bila terbaca confession dalam ruangan iium ini membuatkan aku ingin mencoretkan sesuatu yang aku anggap kenangan & kisah yang berlaku di dalam perjalanan hidupku. Aku mula mengenali seorang gadis yang bernama Dahlia (bukan nama sebenar) semasa sesi orientasi sewaktu mula mendaftarkan diri di sebuah universiti awam yang terletak di utara semanjung. Perkenalan kami semasa sesi orientasi menjadikan kami begitu rapat atau boleh digelarkan sebagai ‘bff’.

Secara kebetulan kami belajar di dalam bidang yang sama dan hampir kesemua kelas yang dihadiri bersama-sama. Kehulu-kehilir bersama-sama. Susah & senang bersama-sama. Antara aku dan Dahlia tak pernah ada rahsia. Aku menganggap Dahlia seperti ahli keluarga sendiri. Kisah yang ingin aku coretkan bermula dengan kami telah berkenalan dengan seorang jejaka yang bernama Arrian (bukan nama sebenar). Arrian adalah salah seorang pelajar di dalam batch yang sama dengan aku dan Dahlia tapi Arrian pelajar dari jurusan yang lain.

Perkenalan kami dengan Arrian bermula dengan meminta bantuan Arrian untuk menghantar aku ke klinik. Bermula dari detik itu kami bertiga menjadi rapat dan saling bertemu. Dalam diam, tanpa aku sedari Dahlia telah memendam perasaan terhadap Arrian namun Dahlia tidak mahu Arrian mengetahuinya pada peringkat awal.

Arrian dan aku menjadi rapat sehinggakan ada dikalangan kawan-kawan batch kami menganggap aku dan Arrian ada hubungan cinta. Namun aku menafikan khabar angin tersebut dan aku cakap ‘eh mana ada, aku dgn Arrian tu kwan shj. Lgipun Arrian byk tolong aku’.

Dipendekkan cerita, Dahlia ada bertanya kepada aku mengenai hubungan aku dan Arrian. Aku agak terkejut bila kawan baik aku sendiri bertanya soalan itu padahal Dahlia tahu keakraban kami bertiga. Dahlia pernah menyuarakan kepada aku mengenai sifat Arrian yang terlalu mengambil berat tentang aku sehinggakan timbul perasaan cemburu pada Dahlia. Aku cuba meyakinkan Dahlia mengatakan tiada hubungan istimewa di antara aku dan Arrian.

Sebagai seorang gadis yang ketika itu masih muda, aku akui Arrian seorang yang sangat caring & very gentleman. Dia sanggup bergegas balik dari kelas untuk menjemput aku dan Dahlia. Aku pernah bercakap kepada Arrian, ‘Arrian kau tak payah susah-susahkan diri kau nak jemput aku tiap-tiap hari, aku boleh naik bas @ jalan kaki la’. Namun alasan Arrian waktu itu ‘takkanlah kau nak bersesak-sesak naik bas’. Tulah alasan dia bila aku bercakap soal jemput-menjemput ni. Sanggup temankan aku makan, call hari-hari untuk tanyakan khabar, mesej jangan cakaplah waktu itu.

Pada suatu hari, Dahlia telah meluahkan perasaannya terhadap Arrian kepada aku. ‘Zarith, aku suka giler dekat Arrian. Aku tak tahu macam mana nak cakap dekat Arrian yang aku sukakan dia’. Tu pengakuan Dahlia kepada aku. Aku dapat mengagak perasaan Dahlia itu. Pada ketika itu, aku bertekad untuk membantu Dahlia untuk mendapatkan cinta Arrian. Pada awalnya, aku memberi hint2 kepada Arrian mengenai Dahlia. Tapi Arrian seolah2 tidak faham. Dalam satu perbualan telefon, secara terang-terangan aku memberitahu Arrian mengenai perasaan Dahlia kepada beliau dengan harapan Arrian turut menyukai Dahlia. Namun jawapan daripada Arrian agak mengejutkan. ‘Zarith, tolonglah kau jangan jadi posmen boleh tak. Aku tak sukalah kau kenen-kenenkan aku dengan Dahlia. Kalau aku nak, aku akan cakap sendiri dengan sape yang aku suka’. Aku tak sampai hati untuk memberitahu Dahlia mengenai jawapan Arrian.

Lama-kelamaan, demi menjaga hubungan baik kami bertiga serta perasaan Dahlia, aku mula menjarakkan diri daripada Arrian bagi memberi peluang kepada Dahlia untuk mendekatkan diri dengan Arrian. Aku aturkan pertemuan mereka. Kebiasaan kalau makan atau keluar ke bandar secara bertiga, kali ini aku membiarkan mereka keluar secara berduaan. Hasil daripada rancangan aku, Dahlia nampak sangat happy & senyuman terukir di bibirnya. Namun ada yang menganggap aku ni ‘bodoh’ sebab tak nampak kehadiran Arrian dan membiarkan Dahlia mendapatkan Arrian. Pada suatu hari, Arrian menghubungiku. ‘Zarith kenapa sekarang ni macam susah nak jumpa @ call kau?’. Aku menjawab ‘sorry lah aku busy sikit. Ala lagipun Dahlia ada utk temankan kau’. Aku memberi berbagai alasan bagi mengelakkan daripada berjumpa dengan Arrian. Segala call & mesej aku jarang menjawab @ membalas.

Perkara itu berlarutan dari semester ke semester. Pada suatu semester, Dahlia mengajak aku keluar bersama Arrian. Kami keluar bersama. Aku nampak perubahan pada diri Arrian terhadap Dahlia. Mereka nampak begitu rapat. Aku happy dengan keadaan itu. Pada hujung semester, Dahlia memberitahuku hubungan dia dan Arrian daripada kawan telah bertukar kepada kekasih. Wajah Dahlia nmpak sangat bahagia dan aku ketika itu dalam perasaan bercelaru. Aku gembira tapi dalam masa yang sama ada perasaan sedih. Aku sedih sebab aku menganggap akan kehilangan kawan baik.

Selepas tamat belajar, aku tidak lagi menghubungi Arrian. Hanya perbualan telefon dan mesej sahaja dengan Dahlia disebabkan komitmen kerja masing-masing. Tak lama selepas itu, aku mendapat jemputan kahwin daripada Dahlia. Dia dan Arrian akan berkahwin tidak lama lagi. Aku turut menghadiri majlis tersebut. ‘Tahniah korang. Semoga jodoh korang berkekalan hingga ke akhir hayat. Aku happy tengok korang bahagia. Tak sia-sia selama ni aku kenen-kenenkan korang. Selamat berbahagia sahabatku. Doakan jodoh aku pulak lepas ni’.

Kami masing-masing membawa haluan. Selang beberapa ketika selepas majlis tersebut, aku ada terserempak dengan kawan Arrian. Kami berborak-borak sehinggalah timbul cerita mengenai Arrian. Kawan Arrian bertanya kepada aku kenapa aku menjarakkan diri dari Arrian dulu masa zaman belajar. Aku tanya kenapa. Dia memberitahu ‘Zarith, Arrian sebenarnya pernah sukakan kau tao tak. Kenapalah kau tak layan dia dulu. Kalo tak kau yang naik pelamin dengan si Arrian’. Aku membalas ‘aku sayangkan Arrian sebagai seorang sahabat. Yang selebihnya itu anggaplah tiada jodoh’.

Kepada Dahlia dan Arrian, kamu berdua adalah sahabat yang terbaik saya pernah ada. Aku sayangkan kamu berdua. Walaupun kini kita tak bertemu lagi, aku doakan kebahagiaan kamu berdua. Semoga jodoh kalian berkekalan hingga ke akhir hayat. Aku rindu dengan korang. Salam sayang dari sahabatmu, Zarith Suraya (bukan nama sebenar).

– Zarith Suraya (bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit