Assalamulaikum semua. Terima kasih admin kalau siarkan luahan hati aku. Aku Zalia dan aku baru saja kahwinkan anak lelaki sulung aku.
Aku ada tiga anak perempuan dan satu je anak lelaki. Semuanya dididik oleh aku dan suami dengan didikan agama yang kuat. Aku dapat nampak anak-anak aku membesar macam mana. Mereka cerdik, pandai-pandai semua. Aku boleh cakap mereka ada didikan dunia dan akhirat yang seimbang. Dan tak hairanlah kalau aku sebagai orang tua yang didik dia orang nak yang terbaik untuk dia orang kan?
Kisah bermula bila anak lelaki aku beritahu aku dan suami yang dia nak bawa kawan perempuan dia datang berjumpa kami. Aku tak bohong yang aku sangat-sangat happy bila anak sulung aku ada calon yang nak diperkenalkan. Tapi bila dibawa ke rumah, aku punya angan-angan nak dapat menantu solehah berkecai dengan tiba-tiba. Ina (aku panggil dia) datang dengan berpakaian yang tak ketat sangat, tapi semestinya singkat sampai paras pinggang saja. Bila angkat tangan boleh terdedah bahagian perut. Ina berseluar slack cuma paras atas buku lali dan tak memakai tudung. Aku tak boleh tunjuk yang aku kecewa sangat dengan pilihan anak lelaki aku, sebab aku boleh nampak dia tersenyum bahagia setiap kali bila Ina buka mulut nak menjawab soalan aku.
Aku tak nak cakap banyak bila anak lelaki aku kata nak kahwin dengan Ina. Sebab dia orang dah suka sama suka aku dan suami turutkan saja. Lagipun nak tak hendak aku kenalah juga percaya yang mesti anak aku dah fikir masak-masak dan buat solat istikharah sampai dia boleh buat keputusan begini.
Aku ada juga kenalan yang punya anak perempuan yang pada aku lebih layak jadi isteri anak aku. Tapi aku senyap sebab suami aku tak bagi aku masuk campur urusan dia orang.
Ina ni belajar jadi engineer, tapi anak lelaki aku cuma belajar jadi kaunselor. Dan bila dia orang graduate, Ina dapat sebiji kereta hadiah daripada mak dan bapa dia. Masa tu anak aku dan Ina dah bertunang. Jadi ada lah anak lelaki aku terkesan walau sedikit. Sebab dia datang daripada keluarga yang bukan berada. Anak kepada pegawai polis dan bekas guru saja. Tak ada kenderaan sendiri. Ada pun motor buruk atuk yang dia guna untuk pergi kelas.
Mujur selepas graduate saja anak aku dapat kerja di satu syarikat swasta buat research walaupun tak ada kena mengena dengan apa yang dia belajar di universiti dulu. Dapatlah dia beli kereta second-hand walaupun murah. Ina pula sejak mula bekerja dia jarang datang ke rumah. Kalau ada pun sekejap cuma untuk berjumpa dengan tunang dia. Dan kalau datang, setiap kali kami anak beranak nak solat berjemaah, tiap kali tu jugalah dia bagi macam macam alasan. Bukan sekali tapi banyak kali. Dia akan duduk di bilik anak perempuan aku dan main handphone. Aku selalu paksa diri aku untuk berbaik sangka dengan Ina, tapi…
Sampailah nak dekat dua tahun bertunang, dan majlis dah nak dekat, ada lah dalam beberapa kali anak lelaki aku tak setuju dengan keputusan dia. Anak aku selalu harus mengalah sebab mungkin Ina rasakan yang Ina bayar lebih banyak sebab itu Ina boleh pilih? Hari-hari juga lah aku nampak anak aku termenung mengenangkan pertelingkahan dia orang.
Aku cakap pada anak aku yang kalau Ina tak reti nak hormat pendapat orang sekarang, bagaimana nanti selepas kahwin. Segala keputusan suami tidak selalu akan diambil kira. Macam cakap kita tak berguna. Aku tak suka perangai Ina yang macam queen control tu. Kata dia semua kena diikut.
Aku rasa masih boleh batalkan saja majlis pada waktu tu. Aku tak boleh nak kahwinkan anak aku dengan Ina, yang tak boleh kalah bila berbicara sebab sudah semestinya aku nak yang terbaik untuknya. Namun sebab anak aku hanya bilang aku supaya jangan bimbang, aku anggap majlis tetap jadilah walaupun mereka bergaduh.
Majlis jadi juga akhirnya. Aku sebagai ibu terpaksa redha dengan pilihan anak aku, supaya hidup mereka dengan pasangan senang dan tak huru-hara. Aku harus pujuk hati aku ni supaya menerima yang Ina ialah jodoh yang ditetapkan oleh Allah untuk anak aku. Aku ni mak, aku kena doa yang baik-baik je.
Dan di sini aku sekarang, dalam kereta pulang ke rumah daripada majlis kahwin anak aku. Aku doakan bahagia dia orang berpanjangan. Aku yakin yang anak aku dapat menjadi suami yang baik dapat membimbing keluarganya ke syurga.
Mungkin anak-anak perempuan aku, aku akan lebih tegas dengan pilihan mereka.
– Zalia
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit