As-salamu’alaikum w.b.t,
Harap admin tak siarkan nama saya insya-Allah. Terkini, seorang pemuda mati ditikam dan digilis kereta berkali-kali tanpa perikemanusiaan. Ramai yang kata ini mesti gara-gara pinjam Ah Long. Ini saya kongsikan pengalaman dan perasaan saya pinjam Ah Long.
Umum mengerti pinjam Ah Long bukan satu pilihan dikala kesempitan. Tapi, bagi orang yang terdesak seperti aku, ini jalan paling mudah. Masa awal pinjam, semuanya kelihatan baik sahaja. Tapi, bila dah mula tak dapat bayar, semuanya jadi huru-hara.
“Mana wang saya?? Lu main-main sama saya ka??” – Ah Long mula bersuara.
Tak senang duduk. Dalam fikiran duk terfikir apa yang bakal berlaku kelak. Jiwa kacau. Rutin kerja tak jadi apa. Risaukan keluarga sendiri. Dikala ini, mula mencari
“siapa yang dapat tolong aku..”.
Telefon kenalan-kenalan minta tolong. Masa susah ni baru kita tahu siapa kawan kita. Sifu-sifu cerita pasal 6 angka pun belum tentu dapat membantu. Alhamdulillah, ada yang membantu. Hati dan fikiran mula kusut. Dalam keadaan kusut, ada seorang kawan lama yang dah lebih 10 tahun tak jumpa, B, telefon,
“Betul ke apa yang aku dengar ni? Apa cerita? Ada free? Datang tempat aku..”
Tanpa buang masa aku terus jumpa dia. Kebetulan tak jauh daripada tempat tinggalku. Banyak cerita menarik pasal B ni.
Selepas duduk bercerita, baru aku tau dia siapa dan kenapa selama ni dia menghilangkan diri.
“Kau kena yakin dan kuatkan hati. Dalam hati kau kena yakin, Allah yang Maha Berkuasa. Allah yang merancang segala-segalanya. Dan ada hikmah dan sebab disebalik apa yang berlaku, ” kata B.
Aku terdiam. B sambung lagi,
“Aku dah lama duduk dalam kongsi gelap. Lebih 10 tahun tapi sekarang alhamdulillah dah cuci tangan. Kau tau sendiri lah macam mana duduk kat dalam dunia tu. Tapi, alhamdulillah aku ‘survive’ tanpa sebarang peluru tembus dada. Kenapa? Sebab dalam hatiku hanya berpegang pada Allah. Allah je yang boleh selamatkan aku. Aku salah sebab pilih jalan ni. Tapi, hikmah Allah bagi aku masuk jalan ni supaya aku belajar erti kesusahan dan bila senang, aku hargai dan bersyukur serta hargai kesenangan yang Allah bagi. Dan hikmah lainnya, aku dapat tolong kawan-kawan aku yang ada masalah dengan orang macam ni. Insya-Allah.”
Aku terdiam. Lama aku tenung muka dia. Dalam masa yang sama, aku minta tolong kalau ada yang dapat bantu daripada sudut kewangan. Tanpa sedar, lebih 5 jam kami duduk berkongsi cerita.
Balik rumah, aku duduk dan menung sendiri. Muhasabah diri balik dan dalam masa yang sama masih meminta bantuan kawan-kawan. Lama aku muhasabah diri, aku sedar. Aku salah kerana aku dah letakkan harta dan kekayaan melebihi Allah s.w.t. Adakala aku melawan Dia. Adakala aku menidakkan keberadaan-Nya. Adakalanya, aku mengeluarkan kata-kata bongkak, riak dan takbur serta merendah-rendahkan orang lain. Na’udzubillahi min dzalik. Banyak dan besarnya dosa aku. Aku insaf!
Aku insaf lantas aku ambil wudhu dan kembali kepada-Nya. Aku solat sunat taubat. Aku letakkan Dia kembali di hati serta mindaku. Berkali-kali aku memohon ampun kepada Dia atas kekhilafanku. Selama ni, aku duk sembang ajak orang bertaqwa kepada Allah bagi memambah rezeki tapi sebenarnya dalam hati aku sendiri mengabaikan-Nya. Dan ujian ini, ujian kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Hanya Allah dapat membantu dalam apa jua keadaan. Insya-Allah.
*sehingga confession ini ditulis, penulis masih lagi sedang berusaha untuk mengumpul dana bagi menjelaskan hutang Ah Long. Jika ada yang tergerak hati untuk bersedeqah dan membantu, penulis bersyukur sangat-sangat dan lebihan wang itu, insya-Allah, akan digunakan juga untuk membantu hamba Allah lain yang ada masalah dengan Ah Long. Semoga Allah membalas jasa-jasa kalian. Wallahua’lam.
– Zack
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit