Assalamualaikum. Sedikit maklumat tentang aku. Anak kedua dari 4 beradik. Yatim dari umur 12 tahun. Arwah ayah seorang penagih dadah. Dibesarkan dalam suasana yang sukar dan kurang perhatian menjadikan aku mempunyai tekanan perasaan yang akhirnya menjadi tekanan mental.
Kali pertama mencuba untuk membunuh diri ketika umurku 13 tahun. Kemudian 16 tahun dan 23 tahun. Bila aku dah mula bekerja, aku lemas dengan tekanan. Ada sahaja perkara yang menyebabkan aku tertekan. Akibatnya aku sering bertukar tempat kerja.
Masa umur aku 24 tahun, aku telah bertemu jodoh. Aku memang niat nak bukak buku baru. Nak ada satu kehidupan baru. Nak lupakan sejarah hitam. Alhamdulillah dapat suami yang baik dan sabar. Dia terima aku seadanya.
Tapi segalanya berubah bila aku dah melahirkan anak sulung aku. Masa dalam pantang bayangan untuk aku mencederakan anak aku selalu ada dalam kepala otak aku. Kadang kadang rasa nak tikam. Kadang kadang rasa nak tekup muka dia dengan bantal. Selepas tamat tempoh berpantang aku menjadi seperti aku yang dahulu. Pemarah, sensitif. Dingin dengan orang. Suka menyendiri.
Keadaan bertambah buruk bila aku berpantang anak kedua dan ketiga. Perasaan membuak buak untuk mencederakan anak. Bayangan untuk membaling anak dari atas balkoni ke bawah sering bermain di dalam kepala. Adakalanya aku sendiri rasa nak terjun ke bawah.
Aku masih cuba menguatkan diri. Aku tepis semua. Anak anak masih selamat. Aku juga masih selamat. Tanpa aku sedar sebenarnya sekuat mana sekalipun sebenarnya aku perlukan bantuan pakar.
Aku ingat aku dah ok. Tapi aku tak sedar yang aku semakin kerap tengking anak. Kerap pukul anak atas sebab yang kecil. Aku juga menjadi seorang yang dingin dan pemarah dengan suami.
Kemuncaknya ketika anak aku kecil berusia 8 bulan aku telah ‘mengamuk’ kerana anak anak menangis serentak. Ketika itu suami sedang mandi di dalam bilik. Aku pukul anak sampai merah merah badannya. Dan ada rasa nak ambil pisau dan potong pergelangan tangan aku. Aku nak mati !
Mujur suami dengar aku marah dan tengking anak dan suara anak menangis dan cepat cepat ambil anak dari aku. Dari situ aku sedar yang aku kena sembuh kalau aku sayangkan keluarga aku.
Aku mula mengambil tindakan untuk mendapatkan bantuan pakar. Aku pergi ke klinik untuk dapatkan surat rujukan untuk ke hospital. Kemudian aku terus mendapatkan rawatan di unit psikiatri. Aku ingatkan cuma rawatan berbentuk kaunseling dan terapi. Tapi aku diberi ubat untuk aku makan. Doktor kata sebab aku dah tahap membahayakan anak anak. Bukan tekanan yang ‘mild’ lagi dah.
Aku akur. Aku mengalah. Makan ubat pun makan lah. Asal kan anak anak aku selamat. Untuk suamiku.. I am so sorry because of my condition. I will try my best to recover from this illness. I love you so much..more than you ever know. Jangan tinggal kan i !! huhuhuhu.
Jadi, sesiapa yang rasa dirinya ada tekanan dan telah cuba menanganinya sendiri selama ini tetapi masih tidak berjaya..pergilah dapatkan bantuan pakar. Sesiapa yang kenal orang yang mengalami tekanan melampau yang memerlukan bantuan pakar, pimpinlah tangannya untuk pergi bersama.
– pdodot
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit