Assalamualaikum, sebelumnya terima kasih kepada admin kerana sudi untuk postkan aku punya confession ni. Btw sebenarnya lebih kepada perkongsian dan teguran sahaja, ditujukan kepada orang-orang Islam, yang non-muslim dialu-alukan juga untuk baca, sedikit sebanyak boleh tahu perangai kebanyakan orang Islam ni. Dan rasanya tak terlambat untuk ucapkan selamat tahun baru masihi. Bila cakap pasal tahun baru ni mesti ramai yang akan buat azam baru, terutama yang nak buat amalan-amalan baik. Aku rasa satu benda yang positif. Jadi ramailah yang share tips-tips yang berguna, tak tertinggal juga testimoni lepas.
Terutamanya testimoni amalan soleh yang menjadi. Kebiasaan bagi orang bisnes ke, belajar ke apa-apa jelah. Ni fokus aku sebenarnya. Sebenarnya aku tidak setuju dengan benda-benda macam ni. Mesti pelikkan? Sebab orang nak menggalakkan kita beramal soleh, beribadat etc. Yang pertamanya, aku yakini, memang setiap amalan itu akan mendapat kebaikan. Dan kebaikan itu dengan cara yang kita tidak jangka. Mesti kau pernah jumpa orang yang kuat amalan soleh, tapi Allah timpakan musibah (ujian) yang banyak. Mungkin untuk menguatkan dia, menambah kesabaran, mendekatkan dia dengan Tuhan, meninggikan darjat dia. Macam Nabi-Nabi sendiri, manusia yang paling dekat dengan Tuhan dan paling kuat ditimpa ujian.
Cara Allah menunjukan sayang dia berbeza setiap orang, yang Allah lagi tahu apa yang terbaik untuk kita. Dan Maha Pemurahnya Allah, dia bagi sahaja nikmat dekat dunia kepada sesiapa pun. Samada beriman ke, atau tidak. Hatta kau malas beribadah atau jahat sekali pun. Tapi ada orang gunakan agama, contohnya bila buat suatu amalan tu, maka kau akan dapat sekian-sekian perkara, yang kau nampak melalui pengalaman sendiri. Jadi macam mana bila ada orang buat persis apa yang kau cakap, tapi dia tak dapat seperti apa yang kau sebut? Agaknya apa efek kepada keimanan orang tu?
Sedangkan Allah boleh kabulkan permintaan hambanya dengan pelbagai jalan. Mungkin diberikan seperti yang kita nak, mungkin diberi perkara lain, atau juga dihindarkan dari keburukan dan kejahatan. Atau tidak dapat di dunia, tapi disimpan untuk kita di akhirat. Dalam al-Quran pun sebut, mafhumnya: (…boleh jadi kamu bencikan sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu, tetapi ia tidak baik buatmu, Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.). Tapi kalau ada orang yang jauh dari Tuhan, yang dapat juga nikmat dunia, itu namanya istidraj.
Dalam hadis Nabi SAW ada sebut “Jika kalian melihat Allah memberikan dunia kepada seorang hamba pelaku maksiat dengan sesuatu yang ia sukai, maka sesungguhnya itu hanyalah merupakan istidraj.” Kemudian Rasulullah membaca potongan ayat al-Quran dalam hadis ni, yang maksudnya : (Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, kami pun membuka semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa).
Ramai je yang kita dapat tengok, yang cakap tentang testimoni satu amalan. Tapi bila perati atas bawah yang bercakap tu, perkara wajib yang kena jaga kelaut, yang haram tanpa segan dibuat terbuka. Contoh ada orang yang berjaya nak share kejayaan/kekayaan dia dengan amalan sunat, seperti dhuha tak tinggal, sedekah sampai tak cukup tangan, tapi hakikatnya perkara wajib dilalaikan, yang haram masih diteruskan tanpa rasa bersalah. Bukan nak kondem amalan baik dia.Tapi tidak dapat bezakan mana yang utama, samada sunat atau wajib. Setitik nila jatuh dalam susu suci tetap tak boleh minum. Tak takut ke benda tu istidraj? Aku tahu benda ni sensitif, tapi hanya untuk mereka yang tiada usaha untuk berubah.
Perkara yang kita tak sedar juga, tipu daya syaitan secara halus. Dia membuatkan kita rasa elok dengan suatu amalan, sebenarnya tidak. Kalau pernah dengar Kitab “Talbis Iblis”, Imam Ibnu Jauzi sebut alim ulama’ pun tidak terlepas dari tipu daya syaitan. Disebut dalam al-Quran; (…Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka: amal-amal mereka (yang jahat itu), lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka orang-orang yang bijak pandai dan berakal (yang dapat membezakan yang benar dan yang salah).
Antara yang dirisaukan juga bila berlaku fenomena ni, pertamanya, walau niat asal untuk menggalakkan amalan soleh, tapi tanpa sedar jadi racun kepada hati dengan kehadiran ujub, riak dll. Yang akhirnya amalan tu hanya jadi debu di akhirat, tidak dihitung oleh Allah. Yang ada ulama’ sebut lebih baik sembunyikan amalan, sebab kita tak tahu boleh jaga hati pada masa akan datang. Masuk lagi dengan jarum syaitan, orang soleh pun kecundang. Sebab lain juga, ada cara sebahagian orang yang share seolah-olah menggalakkan sesuatu amalan tu hanya untuk habuan dunia, untuk bisnes maju, kaya etc. Bukan semata-mata keredhaan Allah. Ini antara perkara nampak macam amalan baik tapi niat tujuannya rosak. Diesebut dalam al-Quran orang yang hanya meminta kebaikan dunia semata-mata, tanpa mengaharapkan akhirat; (…Maka ada diantara manusia ada yang berdoa, “Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia,” dan di akhirat dia tidak akan memperolehi apa-apa bahagian pun.).
Ya memang rugi. Dihari yang kekal kau nak tuai balik amalan baik kau buat tapi kosong. Ada kisah dalam hadis orang yang mati syahid, tapi masuk neraka. Kerana niatnya bukan ikhlas kerana Allah, hanya semata-mata untuk dipanggil sebagai pemberani. Untuk kemegahan di dunia, sedangkan dalam firman Allah ; (Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.).
Kalau ingat cerita Qarun yang ada pertalian persaudaraan dengan Nabi Musa, memiliki kekayaan luar biasa. Masa dia (Qarun) keluar dengan kemegahan dia kepada kaum dia, orang-orang yang cintakan dunia semua berharap agar diberi kelebihan dunia macam Qarun. Tapi orang diberi ilmu berkata seperti disebut dalam Quran; (…Celakalah kamu! Ketahuilah, pahala Allah lebih baik bagi orang-orang beriman dan melakukan kebaikan, dan (pahala yang besar) itu hanya hanya diperolehi oleh orang-orang yang sabar .). Jadi kita kenalah mengharap pahala dari Allah, untuk ganjaran kita di hari yang kekal selama-lamanya bukan berbuat suatu amalan hanya semata matlamat dunia yang bakal ditinggalkan.
Memang ada juga Ulama’ yang pernah menceritakan pengalaman dibuka jalan oleh Allah dengan suatu amalan, tapi itu hanya sampingan untuk menggalakkan mendekatkan diri kepada Allah. Mereka mengutamakan yang wajib, dari sunat. Menjauhi yang haram dan syubhah. Meletakkan matlamat akhirat. Tidak mengkhususkan sesuatu amalan akan menatijahkan habuan jelas di dunia; seperti kalau zikir 1000 kali kau akan dapat berjuta duit etc. Namun bagi yang sudah buat suatu amalan sebelum ini, tahniah! Jangan berhenti. Tapi baiki semula niat hanya kerana untuk mendapat keredhaan Allah. Dan cuba perbaiki amalan-amalan wajib, dan sedaya jauhi yang haram. Sambil-sambil lebihkan amalan sunat yang sangat dituntut, baru nampak kesungguhan kita nak mendekatkan diri kepada Allah.
Semoga kita mendapat bimbingan Allah, dan mendapat kebaikan dunia dan akhirat. Boleh juga kita amalkan doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW, daripada al-Quran; (Rabbana aatina fiddunya hasanah, wafil aakhirati hasanah, waqina azabannar), yang maksudnya ; (Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api neraka). Aku harap agar tulisan ini bermanfaat kepada pembaca-pembaca. Kalau tulisan ini ada menyakitkan hati mana-mana pihak, aku memohon kemaafan. Dan kalau ada apa-apa yang tidak setuju dan terdapat kesalahan, silalah tegur. Dan jangan lupa doakan aku mendapat petunjuk. Aku tegur kerana sayang.
– Arju Redhaka Rabbi
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit