Kenapa Aku Berhenti Jadi Cosplayer

Aku terpanggil untuk menulis berkenaan ini setelah membaca tulisan Mufti Wilayah Persekutuan tentang hukum bercosplay baru-baru ini dan melihat reaksi-reaksi yang pelbagai di media sosial. Sebelum aku sambung cerita, lebih baik anda baca sendiri tulisan tuan Mufti di link tersebut https://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1871-bayan-linnas-siri-ke-123-hukum-memakai-kostum-atau-cosplay
dan tidak terpengaruh dengan tajuk berita yang agak misleading tentang isu cosplay ini di surat khabar. Sebagai disclaimer, aku berharap sesiapa yang mengenali aku (atau rasa macam kenal aku) merahsiakan identiti aku.

Pertama kali aku berminat menjadi cosplayer apabila aku pertama kali menghadiri event anime dan manga. Aku yakin peminat anime dan manga sangat sedia maklum akan event tahunan ini. Pada waktu itu aku pertama kali berhadapan dengan cosplayer dan aku sangat teruja melihat watak-watak anime dan manga kegemaranku turut di’cosplay’kan. Lantas aku terus merancang untuk menjadi cosplayer pada event tersebut pada tahun berikutnya.

Aku sedar untuk membuat atau membeli full set pakaian cosplay, ia memerlukan kos yang agak tinggi (at least lebih tinggi daripada perbelanjaan normal aku). Maka, pada tahun kedua dan ketiga aku menghadiri event tersebut, aku membuat pakaian cosplayku secara simple agar dapat jimat kos.

‘Janji boleh nampak seperti watak yang aku nak jadi’, fikirku.

Pada waktu itu, aku tak nafikan bahawa aku berasa sangat seronok. Sudah pastilah seronok apabila dapat berjumpa dengan kawan-kawan baru yang turut mempunyai minat yang sama. Maka dengan tekad aku ingin berbelanja lebih untuk full set cosplay pada tahun keempat. Lebih bersungguh-sungguh lagi, aku ingin menyediakan dua set cosplay pada tahun tersebut dari dua anime yang berbeza. Maka, lebih banyak duit dan masa yang diperlukan untuk aku menyediakan dua set cosplay itu pada tahun tersebut.

Namun, telah termaktub dalam perancangan Allah bahawa pada tahun itu adalah tahun aku mendapat tarbiyah. Amenda pulak “tarbiyah” ni?

Tarbiyah itu bermaksud didikan. Dalam konteks ini, ia adalah didikan tentang Islam yang sebenar. Pada waktu itu, soalan-soalan tentang Islam mula menerjah diri aku.
“Apa erti aku menjadi seorang Islam?”
“Adakah seorang Islam itu cukup sekadar buat rukun Islam sahaja?”
“Apa tujuan hidup aku?”
Dan pelbagai lagi soalan-soalan lain yang berkaitan dengannya yang menyebabkan aku terus mencari dan cuba lebih memahami tentang agamaku sendiri. Lambat laun kemudiannya, aku mula memahami bahawa Islam yang sebenar itu lebih besar daripada yang aku sangka. Islam itu bukan sekadar solat 5 waktu. Islam itu bukan hanya puasa di bulan Ramadhan. Islam itu bukan kerjanya “ini halal dan ini haram” sahaja. Islam itu sebenarnya cara kita hidup sehari-hari. Islam itu memenuhi fikiran, tindak-tanduk, perasaan, kemuliaan dan kehormatan kita sehari-hari. Dan kefahamanku yang baru tentang Islam inilah telah mengubah pandanganku terhadap agamaku sendiri.

Walaupun begitu, hatiku masih lagi ingin bercosplay. Maka, aku gagahkan diri juga untuk meneruskan impian besarku pada tahun tersebut. Dalam hati aku berkata ‘Tak apa, aku cosplayer pakai tudung. Kira macam berdakwah juga ni. Boleh tunjuk pada orang lain yang bercosplay pun boleh tutup aurat.’

Tetapi pada waktu itu, aku tak nafikan bahawa hatiku mula ragu-ragu. Tambah pula selepas itu aku mula mengetahui tentang tabarruj. Aduhai, “tabarruj” ni amenda pulak? Tabarruj ialah mempamerkan pakaian dan perhiasan kepada yang bukan mahram (biasanya berlebihan hingga menarik perhatian). Aku berfikir-fikir sendiri. “Pakai cosplay semestinya akan tarik perhatian orang untuk tengok aku. Kalau jalan-jalan kat kawasan umum confirm orang tengok punya. Macam menunjuk-nunjuk la pulak.” Hatiku mula berbolak balik. “Tapi, kan aku nak tunjukkan benda yang baik kat orang. Cosplayer pakai tudung pun kira dakwah juga,” fikirku lagi. “Lagipun nak dekat setahun dah aku prepare cosplay aku. Rugi pulak kalau tak pakai.” Monolog dalamanku terus berlaku. Dan akhirnya, aku memilih untuk meneruskan hasrat cosplayku pada tahun itu.

Maka, aku pun bercosplay pada tahun itu. Dua set cosplay tersebut digunakan pada hari yang berbeza kerana event tersebut melibatkan dua hari. Walaupun pada tahun itulah aku paling bersungguh-sungguh memakai cosplay full set, pada tahun itulah aku bercosplay dengan hati yang paling tidak tenang sekali. Aku rasa sangat diperhatikan oleh manusia lain pada waktu itu. Aku cuba menyedapkan hati aku bahawa aku sedang melakukan perkara yang baik, tetapi aku tetap rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan niat aku.

Sejak dari hari itu, aku menimbang tara kembali tindakanku untuk bercosplay pada hari itu. Benarkah orang rasa tertarik untuk mendekati Islam apabila aku bercosplay? Adakah aku sebagai cosplayer bertudung membuatkan orang rasa ingin tahu tentang Islam? Adakah betul cara menunjukkan Islam itu dengan bercosplay? Lama juga aku memikirkan hal ini. Setelah sekian lama berfikir aku mula sedar. Aku datang ke event tersebut juga pada niatnya bukanlah ingin mendekatkan aku pada Allah. Aku datang ke event tersebut kerana minat dan kecintaanku kepada anime dan manga. Aku sangka orang lain akan melihatku aku yang bercosplay sebagai seorang Muslim, tetapi hakikatnya orang melihat aku sebagai orang yang turut sama minat anime XYZ.

Akhirnya aku sedar, cosplay tidak dapat membantu untuk aku capai apa yang aku mahu dalam hidup ini, iaitu menjadi hamba Allah yang sebenar dan khalifah di muka bumi. Dan aku pun mula sedar, menonton anime dan membaca manga itu lebih banyak kelalaianya daripada kebaikannya. Aku tidak mengatakan semuanya membawa keburukan, tetapi aku sendiri sedar keseronokan hiburan itu membuatkan aku jauh dari Allah. Aku tahu adanya percampuran kebaikan dan keburukan dalam hati aku yang membuatkan aku rasa tidak tenang dan ragu-ragu.

Maka, tahun itulah tahun terakhir aku menjadi cosplayer. Dan pada tahun seterusnya aku delete anime2 dalam laptop aku. Serius sakitnya jangan cerita. Bayangkan dari kecil anime dan manga itulah yang aku selalu tonton, yang aku selalu baca, yang aku selalu fikir, yang aku selalu sembang, yang selalu aku lukis, pendek kata, itulah KEHIDUPANKU. Dan semestinya ia tak berakhir di situ. Confirm memang akan ada masa rindu balik untuk tengok dan baca balik semua benda tu. Tetapi kerana cuba juga berterusan mendidik diri dengan Islam (tarbiyah) yang sebenar itu, perkara itu sangat membantu dari semasa ke semasa sehingga aku membiasakan diri aku tanpanya dan MENGHIDUPKAN KEHIDUPAN aku dengan Islam. Nyata, itu lebih bermakna buatku kerana ia meliputi akhiratku dan duniaku, berbanding sebelum ini barangkali ia hanya melibatkan duniaku. Dan perkara ini sangatlah dekat dengan diriku apabila membaca ayat ini:

“Hai orang-orang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul, apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.” (QS. Al-Anfaal: 24)

Aku hanya menceritakan apa yang aku rasa sebagai seorang bekas cosplayer. Apa yang boleh aku katakan, Islam ini akan terlihat indah jika kita betul-betul memahaminya secara keseluruhan dan tidak memandangnya sekadar halal dan haram. Aku memilih untuk berhenti bukan kerana orang lain berkata halal, haram, ini, itu, tetapi kerana mula faham (walaupun tidak banyak) tentang Islam yang sebenarnya. Maka, teruskanlah mencari. Moga Allah redha dengan kehidupan kita insyaAllah.

– Bekas cosplayer

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit