Tiada Yang Percuma

Sesungguhnya tiada yang percuma..

Terima kasih admin jika luahan ini disiarkan. Ini merupakan sambungan luahan pertama saya yang bertajuk ‘Mana Pendidikan Percuma’ pada tempoh hari, iaitu beberapa hari sebelum bermulanya persekolahan. Saya mengikuti setiap komen dari pembaca dari luahan saya tempoh hari. 90% komen mengecam luahan itu, 10% pula seolah-olah memahami apa yang saya lalui. Saya anggap kesusahan kami sekeluarga adalah ujian dari Allah kerana menyayangi kami, agar meminta hanya kepadaNya.

Bukan minta di kasihani , tapi sebagai pengajaran dan peringatan buat kita bahawa semua. Ujian manusia tidak sama, bumi berputar , masa terus berjalan dan kehidupan umpama roda. Kadang di atas , kadang kita di bawah. Tiada sesiapa pun mahu kesusahan dan kesempitan dalam hidup. Apatah lagi, jika kesusahan itu akan melibatkan orang-orang yang kita sayang. Terutamanya anak-anak kita.

Alhamdulillah anak saya telah memulakan persekolahan tempoh hari. Saya telah membayar yuran mereka sepenuhnya dengan rezeki dari Allah. Duit yang ada saya dahulukan untuk membayar yuran. Setiap ibu hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak nya. Apatah lagi saya, menggalas tanggunjawab sebagai seorang ibu dan seorang ayah sekaligus.

Satu persatu komen di baca. Di baca bukan sekali dua, malah lebih dari sepuluh kali. Dikatakan tidak memahami pendidikan pencuma. Mungkin jika ia pun saya tidak faham . Jangan di kecam sebegitu rupa. Di sebalik yang tersurat ada yang tersirat di dalam luahan itu. Mungkin ketika saya menulis itu, saya terbawa emosi. Kebingungan dan kebuntuan melanda. Tiada tempat mengadu dan tiada tempat meminta selain Allah. 2 hari menjelang hari pendaftaran , yuran sekolah anak masih tidak mencukupi. Barang keperluan sekolah yang saya mampu beli hanyalah sepasang baju untuk setiap seorang. Alhamdulillah untuk itu, kerana mereka amat bersyukur dan memahami kesusahan saya, sedikit pun mereka tidak mengeluh, malah amat gembira kerana akan memulakan persekolahan. Dengan desakan tuan rumah meminta sewa rumah dan meminta kami anak beranak mencari rumah lain hanya Allah sahaja yang tahu. Saya jadi buntu dengan segalanya. Mungkin kalian yang mengecam tidak lalui apa saya rasa.

Kecaman yang kedua mengatakan saya ada duit untuk membeli data internet tetapi merungut untuk mengeluarkan duit untuk persekolahan anak-anak. Untuk makluman, saya membuat jualan online secara dropship beberapa produk untuk menambah pendapatan keluarga. Kadang-kadang saya menjual barang-barang terpakai kami sekeluarga di pages jualan barang terpakai untuk menampung perbelanjaan. Sesungguhnya itu lebih baik dari meminta-minta dan meminjam dari sesiapa. Sebelum ini saya pernah menjual produk saya dengan pergi rumah ke rumah, kedai ke kedai dan menemui orang-orang di tempat awam. Saya pernah lalui semua itu. Berjalan kaki sepanjang hari demi untuk mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Dengan mata orang memandang hina, memberi senyum sinis apabila saya memperkenalkan produk yang saya jual, tapi tiada hasil jualan saya dapat. Jika kalian berada di tempat saya nilai RM1.00 itu amatlah berharga. Sekarang saya tidak melakukan itu, kerana saya bekerja pada siang hari dan jika saya membuat jualan pada malam hari saya terpaksa meninggalkan anak – anak saya di rumah. Oleh itu, saya memerlukan data internet untuk mengiklankan apa yang saya jual di media sosial apabila masa terluang. Jika ada orang membeli, adalah rezeki untuk makan dan keperluan yang lain. Pada masa sekarang, internet dan media sosiallah medium untuk menjalankan perniagaan.

Kecaman ketiga yang saya baca ialah, saya tidak menyimpan duit sedangkan sebagai seorang ibu saya sepatutnya tahu bahawa menjelang persekolahan akan memerlukan duit untuk persediaan. Tiada siapa yang mahu kesempitan dalam hidup, begitu juga kami sekeluarga. Ujian datang bersilih ganti dalam dua tahun yang lepas. Habis simpanan kami sekeluarga digunakan. Duit yang ada digunakan sebaik-baiknya. Saya mempunyai seorang anak yang mengidap penyakit buah pinggang yang memerlukan kos penjagaannya. Dengan pendapatan yang amat terhad dan kos kehidupan yang perlu di tanggung amat tinggi, duit yang ada tidak mencukupi apatah lagi untuk menyimpan. Saya bertarung dengan diri sendiri untuk memenuhi segala keperluan keluarga setiap hari. Duit saya hanya untuk anak-anak dan keperluan asas keluarga termasuk makan minum dan tempat berteduh. Saya kemudiankan diri saya. Fokus utama saya adalah untuk memenuhi keperluan anak-anak. Tiada sediki pun saya berkira untuk persekolahan anak-anak. Doa dan usaha saya tidak pernah putus untuk mendapat rezeki yang halal.

Dari komen pada luahan saya tempoh hari, saya memahami tiada yang percuma di dunia ini. Bukan sahaja pendidikan, tapi segalanya. Terima kasih kecaman tersebut kerana menyedarkan saya akan hal itu dan terima kasih juga pada yang mendoakan saya . Saya doakan semoga semua kita dipermudahkan urusan dunia dan di berikan kekuatan dalam melalui semua ujian dalam kehidupan.

– Ibu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit