Sihir Cinta II

Assalamualaikum terima kasih kerana telah menyiarkan artikel aku yang bertajuk “Sihir Cinta” pada tahun lepas. Tahun ini masuk tahun keempat aku masih berperang dengan musuh manusia yang nyata dan masih belum sembuh sepenuhnya. Aku fikirkan bila tinggal di luar negara aku dapat larikan diri daripada ‘syaitan” itu, namun ternyata ketenangan itu hanya sementara kerana aku sudah mulai sakit diserang sakit misteri tersebut. Aku mulai mimpi pelik-pelik seperti mimpi sesat di dalam bangunan, tetapi berjaya menemui jalan keluar walaupun sedikit lambat, mimpi berada di tandas dan lebih menggerikan apabila mimpi muntah darah. Mengikut pengalaman aku, tanda-tanda ini merupakan permulaan yang kurang baik dan aku seharusnya sudah bersiap sedia untuk menerima “gelombang kedua” di rantauan.

Gangguan ini bermula semasa aku tidur dalam keadaan tertekan dan beberapa ekor makhluk halus cuba untuk mencederakan aku. Aku dalam separuh sedar dan bertarung dengan ‘mereka’ habis-habisan. Aku dapat rasakan aku memegang pedang dan menghambat ‘ia’ yang cuba untuk mencederakan aku.

Mungkin ia adalah amalan pendinding yang aku amalkan sebelum tidur iaitu surah 3 kul dan ayat kursi. Beberapa minggu kemudian, aku dapat rasakan ada sesuatu tidak kena pada badanku padahal pada hari itu mood aku baik-baik sahaja dan tidak tertekan. Aku teruskan dengan kerja editorialku dan menghiraukan perasaan tersebut. Tetapi, sakit itu semakin menjadi-jadi. Aku dapat rasakan tiba-tiba kakiku kejang, mataku mula-mula berkedip, badan aku mula menggeletar dan aku dapat mendengar suara lain di dalam kepalaku.

“Tolong aku, aku sakit. Aku tak mahu mati.’ Suara itu berlegar-legar di dalam kepalaku. Tanganku lantas mencapai pen dan kertas lalu menulis sesuatu pada kertas tanpa kerelaanku. Seakan-akan ‘benda’ itu mahu memberitahuku sesuatu.

“Tolong aku!.” Tulisku. Tulisan cakar ayam itu membuktikan ketidakrelaan aku menulis seperti itu. Seakan-akan tanganku dikawal sesuatu. Badan aku lemah dan aku tidak mampu untuk mengerakkan badan. Dalam hati aku hanya membaca ayat kursi dan berdoa kepada Allah untuk memberikan aku kekuatan kepada diriku. Aku tidak mampu berkata-kata dan suara-suara asing sering berlegar-legar di dalam kepalaku meminta tolong untuk keluar daripada badanku. Berbekalkan sedikit kekuatan aku memasang audio ruqyah dan menghantar mesej kepada rakan-rakanku untuk membantu mencarikan mereka yang boleh melakukan ruqyah di sini. Badan aku terasa pedih, kepala aku sakit dan kakiku kejang. Aku rasa seperti hendak mati sakitnya. Allah sahaja tahu bagaimana sakitnya. Apabila keadaan sudah terkawal, dalam musim sejuk yang menggila aku gagahkan kakiku untuk pergi ke masjid berdekatan (satu jam perjalanan) kerana tidak sanggup menahan sakitnya. Kurasakan setiap langkahku lemah dan aku hampir-hampir sahaja pengsan, namun aku gagahi langkahku.

Sampai di masjid tersebut, aku bertemu dengan orang masjid dan mereka mengatakan rawatan ruqyah akan dilakukan selepas maghrib. Aku lega dan menunggu di ruangan solat perempuan. Semasa azan mahgrib dilaungkan, aku menangis kesakitan dan menekup kedua-dua telingaku dengan tangan. Aku tidak sanggup mendengar azan itu dan sepertinya ia menghiris hatiku. Kepala aku seperti hendak meletup. Aku menahan diriku daripada menjerit kerana takut menganggu solat orang lain. Sebaik solat maghrib, kawanku bertanyakan kepada ustaz mengenai rawatan ruqyah. Malangnya, rawatan ruqyah tidak boleh dilakukan di masjid dan menyuruh aku supaya mencari tempat lain untuk dirawat. Aku kesal dan terasa seperti diberikan harapan palsu. Aku balik dengan perasaan kecewa dan mujurlah ada kawanku yang pandai membuat air penawar. Selepas minum air penawar tersebut, ia dapat meringankan sedikit kesakitanku.

Namun gangguan itu tidak terhenti di situ. Benda itu terus menganggu dan kali ini dia tak bagi aku tidur.
“Aku minta maafkan sebab susahkan kau, sakitkan kau. Aku berjanji akan keluar daripada badan kau. Aku bersumpah atas nama Allah jika aku terus berada di dalam badan (nama penuh aku) aku akan disambar petir. Esok nanti orang itu akan jumpa dengan keluarga kau dan minta maaf.” Bayangkan suara-suara itu berlegar di dalam kepala aku. Ia berterusan sehingga 2 jam lamanya. Aku cukup tahu permainan jin dan tidak mengambil serius kata-katanya. Aku pasangkan audio al-baqarah supaya benda itu keluar dari badanku supaya aku dapat tidur. Semasa mendengar surah al-baqarah, aku rasakan badanku sakit sangat dan beberapa kali aku seperti mati hidup semula. Aku berperang dengan benda itu lama sehingga benda itu tidak mengacauku lagi dan aku dapat tidur dengan lena. Disebabkan gangguan tersebut, aku demam dan berehat untuk mengembalikan semula semangat. Aku fikirkan berada di luar negara, aku boleh berehat seketika namun ia terus mengejarku.

Untuk pengetahuan anda, aku telah lama disihir oleh seseorang yang telah ditolak cintanya. Aku tidak sengaja untuk menolak cintanya kerana pada masa itu aku hanyalah budak hingusan dan lebih mengutamakan pelajaran. Aku tidak sangka dia sanggup bertindak sejauh itu dengan menghantar benda tidak baik kepadaku sehingga aku sukar untuk mendapatkan jodoh. Ini kerana setiap kali aku ingin memulakan perkenalan dengan mana-mana lelaki, ada sahaja benda yang tidak kena berlaku. Dan lebih menyakitkan lagi apabila aku sudah tahu aku disihir, aku akan teruk diganggu apabila aku mula menyukai seseorang dan benda itu akan mengancam untuk membunuh mana-mana lelaki yang ingin dekat padaku.

Itu yang menyebabkan sampai sekarang aku masih lagi sendiri. Disebabkan itu aku tidak mudah mesra dengan sesiapa kerana aku sangat takut jika perkara sedemikian berlaku lagi. Aku masih lagi kuat dan akan terus melawan kejahatan ini. Aku berdoa semoga Allah membuka hati dia ke jalan Allah dan menghentikan serangan terhadapku. Sekiranya dia masih lagi tegar dan berterusan untuk menganggu kehidupanku, aku minta pada Allah untuk membalas perbuatan setimpal dengan apa yang dilakukan kepadaku. Semoga kisah ini memberi pengajaran kepada kita semua supaya tidak melakukan syirik kepada Allah dan tolong doakanku supaya sembuh!

– Cik M

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit