Masa aku kecik dulu, aku tak pernah tahu pasal benda ni. Pedopholia. Bila benda ni dah jadi topik utama berita/suratkhabar/viral, baru aku faham apa sebenarnya maksud perkataan tu. Dan baru aku sedar aku antara mangsa lelaki bernafsu pedopholia masa aku kecik-kecik dulu.
Apa yang aku harapkan, perkongsian aku ni dapat membuka mata ibu bapa di luar sana supaya memberi lebih perhatian kepada anak masing-masing.
Aku mula jadi mangsa pedopholia masa umur aku dalam lingkungan lima atau enam tahun. Mangsa pedopholia kepada pakcik aku sendiri. Bukan pakcik by blood, tapi pakcik atas nama saudara (suami kepada makcik saudara aku). Aku gelarkan dia Pakcik P je dalam perkongsian aku ni.
Aku tak ingat macam mana aku mula jadi mangsa Pakcik P. Apa yang aku ingat, masa kecik-kecik dulu aku selalu ikut dia pergi kerja (dia bekerja sendiri). Dia rajin ajak aku sebab dia tahu aku suka jalan-jalan naik kereta. Dah nama pun budak, disogok pulak dengan cerita seronok pasal tempat tu la, tempat ni la, aku pun teruja nak ikut dia pergi kerja setiap hari. Dia pulak tinggal di taman perumahan yang sama dengan mama dan papa aku, jadi senang la dia nak ambik aku dan bawak aku ke mana-mana. Ayat yang kadang-kadang dia guna untuk ‘umpan’ aku;
“Nanti pakcik bawak pergi makan ayam goreng.”
“Nanti pakcik bawak pergi taman permainan sebelah office pakcik.”
“Nanti pakcik belanja coklat.”
Papa aku kerja sampai malam, jadi memang tak ada siapa yang rajin bawak aku pergi taman permainan. Mama aku pulak sibuk jaga adik aku yang masih kecil di rumah. Bukan la nak cakap aku kurang kasih sayang dari mama dan papa. Aku cuma tak berpeluang bermain/berjalan-jalan/
Untuk pengetahuan, Pakcik P ni berkahwin dengan makcik saudara aku (adik kepada mama aku) dan ada tiga orang anak masa tu. Yang sulung lelaki, yang kedua perempuan, yang ketiga lelaki. Anak dia yang perempuan tu tua setahun daripada aku. Sekarang baru aku terfikir… kenapa aku yang jadi mangsa padahal dia ada anak perempuan dia sendiri?
Macam yang aku cakap masa awal-awal tadi, aku tak sedar pun yang aku ni mangsa pedopholia. Aku ingatkan apa yang Pakcik P buat pada aku masa tu (aku rasa tak perlu aku cerita secara mendalam) cuma benda biasa sebab cara dia approach aku tu selamba je, macam benda tu bukan benda yang salah. Aku pulak naif, tak bagitahu mama dan papa. Aku pun tak ingat kenapa aku tak bagitahu mama dan papa pasal benda tu. Entah sebab aku malu, ataupun sebab aku tahu mama dan papa takkan percaya.
Kenapa aku cakap mama dan papa aku takkan percaya?
Sebab Pakcik P tu boleh dikatakan orang yang ‘baik-baik’. Rajin pergi surau, berkawan baik dengan imam surau, dan boleh dilabel sebagai orang ‘alim’. Lagipun keluarga Pakcik P rapat dengan keluarga aku sebab tinggal di taman perumahan yang sama. Hubungan Pakcik P dengan papa aku pun baik sebab selalu bersembang dan lepak sama-sama.
Aku mula rimas dengan Pakcik P selepas dia cuba pujuk aku buat sesuatu pada dia. Selama aku jadi mangsa pedopholia dia, dia yang selalunya sentuh/pegang aku. Tapi satu hari tu, dia yang suruh aku pegang dia. Aku tak boleh lari sebab aku dengan dia dalam kereta masa tu, dalam perjalanan nak pergi tempat kerja dia. Selepas kes yang menyakitkan hati tu, aku terus berhenti ikut dia pergi kerja. Sampai sekarang tak ada siapa pun yang tahu pasal benda ni, termasuk la mama dan papa aku.
‘Kegatalan’ Pakcik P tak berhenti setakat tu saja. Bila aku dah besar sikit, dah masuk sekolah rendah, dia cuba ‘menggatal’ dengan aku balik. Tapi aku selalu mengelak daripada dia. Aku pun dah jarang pergi rumah dia walaupun kadang-kadang aku nak bermain dengan sepupu-sepupu aku. Aku tak nak ambik risiko menjadi mangsa ‘kegatalan’ dia lagi.
Jujur aku kata, aku dah hilang rasa hormat terhadap Pakcik P. Kalau dia datang rumah mama dan papa, aku langsung tak salam atau pandang dia. Sampai satu hari tu, aku baru sedar yang aku sebenarnya takut pada dia.
Masa cuti sekolah (entah tahun bila) aku balik kampung duduk dengan atuk dan nenek aku. Tengah hari tu, atuk aku pergi masjid, nenek aku pulak pergi rumah jiran sebelah. Tinggal aku seorang je kat rumah. Aku pun duduk la bergayut tepi tingkap sambil tunggu atuk balik. Tapi bila aku nampak je kereta yang aku kenal masuk simpang rumah atuk dan nenek, aku terus berlari masuk dalam rumah.
Itu bukan kereta atuk, tapi kereta Pakcik P.
Kelam kabut aku masuk dalam bilik, kunci pintu bilik, dan menyorok bawah katil. Aku takut sangat masa tu. Tangan aku menggigil, jantung aku berdegup laju, aku mula fikir yang bukan-bukan. Macam mana kalau Pakcik P jumpa aku kat bawah katil dan paksa aku buat benda yang aku tak suka? Dah la aku lupa nak kunci pintu rumah sebab kelam kabut lari masuk dalam bilik. Tingkap pulak aku biarkan je bukak sebab aku tunggu atuk balik. Aku takut nak keluar balik dan kunci pintu rumah sebab aku takut kalau dia nampak aku. Sumpah aku rasa takut sangat masa tu.
Dah lama lepas tu, baru la aku berani keluar dari bawah katil. Itupun sebab aku dengar suara nenek aku yang panggil aku. Rupa-rupanya Pakcik P tak datang seorang, dia bawak makcik aku dan sepupu-sepupu aku sekali. Nasib baik. Aku lupa yang dia bekerja sendiri, dia boleh balik kampung bila-bila masa je yang dia suka. Dia balik kampung pun sebab nak hantar anak-anak dia tinggal kat sini sementara cuti sekolah. Tapi aku nampak la dia pandang aku masa makcik aku tanya aku;
“Kenapa duduk dalam bilik kunci pintu? Buat apa?”
“Tertidur tadi.”
Kalau la aku bagitahu dia kenapa aku kunci pintu bilik, mesti dia tak percaya. Dah nama pun isteri, mesti la dia lagi percaya cakap suami dia kan?
Aku tahu macam mana takutnya perasaan jadi mangsa pedopholia ni. Aku takut nak bersuara masa tu sebab aku tahu tak ada siapa yang akan percaya cakap budak-budak macam aku. Lagipun kalau si pedopholia tu sendiri berwatak luaran yang ‘baik-baik’, dah tentu la orang luar lagi percaya cakap dia.
Apa yang aku boleh kongsikan di sini (walaupun tak banyak mana), ibu bapa kena mainkan peranan yang sangat penting dalam kes macam ni. Mama aku sibuk dengan hal adik aku, papa aku pulak sibuk dengan kerja, jadi hubungan aku dengan mama dan papa aku tak selalu rapat macam orang lain. Sebab tu la agaknya aku susah nak bagitahu pasal benda ni dengan mama dan papa aku.
Kepada ibu bapa di luar sana,
1. Jadi kawan kepada anak sendiri
Selalu la bertanya aktiviti harian anak walaupun anak cuma duduk kat rumah. Kita bukan je boleh tahu aktiviti anak kita, tapi kita boleh latih anak kita berkongsi cerita dan tanam rasa percaya anak terhadap kita sebagai ibu bapa.
2. Jangan lepaskan tanggungjawab kepada orang lain
Apa yang aku perasan, mama dan papa aku tak kisah aku ikut Pakcik P pergi kerja sebab mama aku tahu aku bosan duduk rumah tanpa buat apa-apa. Mama dan papa aku tak boleh bawak aku pergi jalan-jalan/taman permainan, jadi tanggungjawab tu ‘dilepaskan’ pada Pakcik P. Pakcik P pulak macam harapkan pagar, pagar makan padi.
3. Jangan terlalu percayakan orang lain
Bukan nak suruh bersikap paranoid, tapi kalau benda ni melibatkan anak sendiri, kita kena lebih berjaga-jaga. Kebanyakan kes pedopholia, mangsa kenal rapat dengan si pelaku. Bapa saudara, jiran, kenalan keluarga… you name it. Kalau nampak anak macam tak selesa dengan seseorang, jangan sesekali tinggalkan anak dengan orang tu. Kadang-kadang anak takut nak bersuara. Tapi sebagai ibu bapa, kita kena faham anak kita sendiri.
Aku bersyukur apa yang terjadi pada aku tak seteruk kes-kes di luar sana. Pakcik P berhenti ‘kacau’ aku masa aku masuk sekolah menengah. Itupun sebab berkali-kali aku mengelak daripada dia, dan aku langsung tak bertegur sapa dah dengan dia. Bukan nak cakap cara aku ni yang terbaik, tapi sekurang-kurangnya aku kena bersikap pasif dengan dia. Biar dia tahu yang aku tak suka dengan apa yang dia buat pada aku.
Sekarang ni Pakcik P dah tak ada dalam hidup aku. Dia dan makcik saudara aku dah bercerai, siap dah berkahwin lain. Hubungan aku dengan makcik saudara dan sepupu-sepupu aku baik-baik saja. Dia orang tak pernah tahu perangai bekas suami/bapak dia orang, jadi aku tak boleh bermasam muka dengan dia orang sekali. Kadang-kadang sepupu aku bercerita jugak yang dia rindukan bapak dia, dia kagum dengan bapak dia sebab bapak dia mendidik dia hal agama, bapak dia ialah bapak yang terbaik di dunia… Aku tak ada masalah nak dengar cerita dia pasal bapak dia a.k.a Pakcik P. Sepupu aku tak salah pun sebab dia pun tak tahu perangai bapak dia macam tu. Aku cuma angguk je la setiap kali dengar cerita pasal bapak dia tu.
Aku harap perkongsian aku yang tak seberapa ni boleh menjadi pengajaran kepada orang lain. Orang lain tu termasuk si pelaku di luar sana. Tolong la jangan mengikut nafsu semata-mata. Semua kanak-kanak ada masa depan yang cerah, dan tolong la jangan gelapkan masa depan semua kanak-kanak tu. Apa perasaan kau sendiri kalau benda ni berlaku pada anak/cucu kau, wahai si pelaku?
Z.
– Z
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit