Kasihmu Seteguh Taj Mahal

Cerita ini adalah kisah ibubapaku yang ditulis oleh rakan kakak iparku. Moga kita semua dikurniakan pasangan yang dapat jaga hingga akhir hayat dengan ikhlas.

Namanya Saad (bukan nama sebenar). Nama penuh aku tak pasti. Tapi mesra ku panggil Pak Cik. Beliau adalah bapa mertua kepada sahabat baik dan juga jiranku Laila. Aku kenali Pakcik sudah lama, sama usia dengan persahabatanku dengan Laila. Kira-kira hampir 20 tahun lamanya. Aku kagum dengan Pakcik. Orangnya peramah, baik, pemurah. Kata-kata yang keluar banyak yang memberi semangat untuk berjaya dalam hidup. Isteri Pakcik yang kupanggil makcik merupakan insan setia yang sentiasa berada di samping Pakcik bermula dari saat mereka diijabkabulkan. Susah senang mereka hadapi bersama. Di mana ada Pakcik, di situlah ada makcik. Resam orang dulu-dulu yang sukar menzahirkan kasih-sayang, tapi dari perbualan dengan mereka, nama masing-masing tidak putus dari mulut keduanya.

Walaubagaimanapun langit tidak selalunya cerah. Ketika masih bergembira dengan suasana hariraya, suatu pagi dihari raya ke-5, selepas sembahyang subuh berjemaah dengan pakcik, makcik terasa seperti hendak muntah dan pergi ke bilik air. Selepas beberapa ketika pakcik menunggu makcik dan hairan kenapa makcik masih tidak keluar sedangkan kebiasaannya tidak begitu. Naluri hati seorang suami yang telah hidup bersama lebih 40 tahun merasai `sesuatu’. Benar telahannya. Makcik tertunduk di tepi kolah tidak sedarkan diri.

Tarikh itu bermulalah episod `kesedihan’ bagi Pakcik dan keluarga. Makcik yang memang mengidap penyakit darah tinggi tidak sedarkan diri disebabkan salah satu saraf di otak pecah. Sejak itu ICU HKL dan Melaka adalah rumah kedua makcik dan Pakcik di situ menemani penuh setia tanpa sedikitpun rungutan. Peraturan di ICU pelawat tidak boleh masuk selalu. Pakcik akan setia menunggu diluar. Matanya sentiasa mengerling masa bagi membolehkannya masuk semula. Keadaan makcik tidak seperti selalu, muka bengkak gara-gara operation, muka senget, kepala dibotakkan separuh, tapi Pakcik masih di situ, mengusap-usap kepala makcik dan tangan makcik dengan penuh kasih-sayang. Sedikitpun tidak luntur kasih sayang pakcik melihat keadaan makcik sebegitu.

Hampir 7 bulan makcik berada dalam keadaan separuh koma. Bila berbual dengan Pakcik, aku tahu Pakcik amat rindukan makcik. Dia ceritakan tentang masa-masa istimewa bersama makcik adalah selepas sembahyang tengah malam bersama-sama. Itu rutin hidup mereka sepanjang perkahwinan. `Kalau pakcik tak bangun, makcik kejutkan, kalau makcik tak bangun pakcik kejutkan. Yang penting kami dapat bangun sama-sama dan bermunajat kepada Allah.’ Kemudian kami bercerita tentang anak-anak. Kalau ada mana anak-anak dalam kesusahan kami akan bacakan Yasin sehingga menjelang waktu subuh.’

Ya! dari getaran suara dan genangan air mata, aku tahu pakcik sangat merindui saat-saat itu!!

Sepanjang makcik dalam separuh koma, sedikitpun pakcik tidak menyibukkan diri dengan perkara lain. Mujur semua anak-anak telah dewasa. Tinggallah kebunnya, tinggallah sawahnya. Tinggallah ayam dan itiknya. Hidupnya ketika itu hanya menemani isterinya yang tercinta. Kalau di hospital, selain dari membersihkan isterinya sambil dibantu oleh menantunya Laila dan anak-anak, pakcik akan bisikkan ayat-ayat suci, berdoa dan bercakap dengan isterinya. Kalau ada yang menziarah, dialah yang akan memberitahu makcik sesiapa yang datang. Kalau makcik tersedak tatkala minum susu melalui tiub, pakcik cepat-cepat mengusap-usap dada makcik. Jika ada sebarang perkembangan positif makcik seperti boleh membuka mata, batuk sehingga mengeluarkan suara, pakciklah insan paling gembira. Pengharapan pakcik melihat makcik sembuh memang tinggi. Benar, kasih sayang pakcik tiada sempadan. Ujian itu sebenarnya menebalkan kasih sayang pakcik terhadap makcik.

Namun ketentuan Allah tiada siapa dapat meramal dan menghalang. Makcik pergi jua. Atas redha seorang suami. Selepas mendapat berita dari doktor yang keadaan makcik kritikal ketika itu di HKL, pakcik terus melangkah ke masjid berhampiran. Memohon petunjuk. Seusai solat sunat, doa yang panjang dan penuh ketenangan pakcik merelakan makcik pergi jika itu ketentuan-Nya. Sebaik sahaja pakcik mendekati makcik, dalam keadaan semua anak-anak di sisi, makcik menghela nafas terakhir dengan tenang pada hari Isnin bulan Mac.

Begitulah kasih sayang Pakcik yang menurut aku begitu luhur dan suci. Cinta yang tidak dizahirkan tetapi tersimpul erat di dalam hati. Tiada tempuh khusus yang doktor janjikan untuk makcik sembuh, tetapi harapan pakcik tinggi menggunung. Setiap hari pakcik bagaikan tidak sabar untuk melihat makcik di hospital, nak melihat makcik, pegang tangan makcik, mengurut-mengurut lengan dan kaki makcik, bisikan ayat-ayat suci dan bercakap-cakap dengan makcik. Kesetiaan dan kasih sayang Pakcik mengagumkan aku. Jarang benar aku menyaksikan peristiwa ini. Walaupun makcik dah tiada, aku tahu pakcik bersyukur kerana telah memberi perhatian sepenuhnya sepanjang hayat arwah.

Al Fatihah untuk makcik. Semoga makcik ditempatkan dikalangan insan-insan yang beriman dan ditempatkan di syurga. Amin! Dan juga semoga Pakcik tabah meneruskan kehidupan tanpa makcik. Insyaallah!

– Amni

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit