Salam semua, saya H. Tengah baring dalam bilik gelap gelap ni terimbas pula peristiwa yang meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup saya.
Bulan ni sepatutnya saya melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan saya T.
7 tahun menjalinkan hubungan dengan T, lelaki pertama yang saya pernah bercinta. Dari fasa masuk Universiti- Graduasi, mencari pekerjaan- dapat pekerjaan, mengumpul duit untuk kahwin semuanya kami lalui bersama.
Sepertimana hubungan lain, tentulah ada ujian tu, tapi ujian membabitkan perempuan lain tak sebesar mana, ada kesalahfahaman je. Tapi dah teringat balik rasa bodoh di tipu hidup hidup. Manusia bertopengkan…
Di fasa 6 bulan pertunangan kami tahun lepas, saya menerima mesej dari seorang perempuan yang bernama A, mengatakan bahawa mereka berdua telah menjalinkan hubungan semasa kami baru mengikat tali pertunangan.
Bukan tu saja, rupanya dari A ni lah saya dapat tahu banyak perempuan sebelum A ni T pernah jalinkan hubungan.
Segala bukti chat, gambar mereka bersama, even pernah keluar negeri bersama dan banyak lagi, cukup memberikan jawapan untuk saya memutuskan tali pertunangan dan membatalkan segala tempahan untuk majlis perkahwinan kami.
Terasa bodohnya saya waktu tu. Di tipu hidup hidup. Penat lelah saya mengumpul duit untuk membantu mencukupkan perbelanjaan majlis kami,
Sanggup berikat perut, mengerah otak untuk merancang majlis kami, terasa bodoh teringat balik betapa saya gembira melukis design baju pernikahan saya sendiri rupanya dibelakang dia menabur harapan dan janji mengatakan sayang dengan perempuan lain.
Perempuan paling bodoh saya rasakan waktu tu. Dan bodohnya juga dia buat semua tu tapi di depan saya masih mampu dia kata sayang. Bodoh.
Saya tak kenal T dah. Ni bukan yang lelaki yang saya sayang selama 7 tahun ni.. T yang saya kenal tak kan sanggup buat saya dan keluarga macam ni..
Tak terpijak tanah rasanya bila saya dapat tahu semua tu dalam masa kurang dari sehari. Sakit yang saya rasa pada waktu tu sampai saya tak boleh rasa apa apa dah. Nangis? Tak. Takde setitis air mata pun waktu tu.
Dan dia? Tak mengaku sampailah saya tunjukkan segala bukti. Apa yang dia kata kepada perempuan tu terhadap saya dibelakang, perbuatan dia dengan perempuan A, semuanya.
Tegas, saya mintak duit kahwin yang selama 2 tahun dikumpul, dan saya mintak dia berambus dari hidup saya. Tiada satu titisan air mata saya tunjukkan depan dia, walau dia menangis merayu pada waktu tu.
Sakit? Ye sakit, lelaki yang kita sayang kan, nak kahwin, yang kenal kita luar dalam, yang kita dah anggap ‘pelindung’ dan bakal suami kita rupanya bukan yang seperti kita fikirkan selama ni. 7 tahun bukan sekejap.
Seminggu lebih jugak lah saya tak makan langsung, dengan sedikit air tu lah jadi pengisi perut. Haa baru tahu gini rasanya ‘putus cinta’.
Dulu tertanya juga takkan lah orang putus cinta sampai makan tak lalu, mandi tak basah tu kan. Hah hambik kau, seminggu lebih tu lah turun berat badan mendadak. 2 minggu pertama keluarga kawan kawan banyak bagi sokongan.
Mama & papa T pula.. menangis semasa berjumpa dengan saya buat kali terakhir sebelum saya secara rasminya memutuskan tali pertunangan. Dah kering rasanya air mata ni nak keluar. Sehinggalah saya terbaca pesanan ringkas dari papa T..
“Wa’alaikumsalam H.. semoga H diberi ketabahan, dan kekuatan dari Allah untuk menghadapi ujian ni. Air mata papa juga berlinang seolah papa kehilangan anak yang kami sangat sayangi. Melihat kelembutan wajah H dan kesabaran H tidak di ragukan lagi dan kami yakin H menjadi isteri yang terbaik untuk T.
Sepanjang hidup papa, papa tak pernah lihat T menangis tanda penyesalan yang amat dalam tapi mana mungkin kemaafan dapat diberikan atas kesalahan yang sangat besar ini. Papa mohon maaf atas kurangnya didikan papa dalam mendidik anak papa T sehingga menghancurkan sebuah harapan yang suci..”
Tulah pertama kali saya menangis meraung. Macam ni mungkin rasanya ‘kematian’ orang yang kita sayangi.
Saya bersyukur, melalui ujian ni saya dan Dia semakin dekat. Sejadah juga jadi saksinya jatuh bangun, tangisan, kesakitan, yang di rasa setiap malam. Tak putus aduan dari seorang hamba kepadaNya, sentiasa menyebut nama orang yang menzalimi diri, termasuk nama Perempuan A.
Ye perempuan A ‘tak salah’, tapi saya dapat rasa dia ambil kesempatan dalam kesempitan keadaan saya waktu tu memandangkan dia sayang sangat sangat dah dengan T. T dah bagi banyak harapan, janji dengan A sewaktu mereka ‘berbulan madu’ di luar negeri.
Saya tahu A sedang mengapi-apikan juga waktu tu bahawa dialah terpaling kenal kan T, betapa T sayangkan dia sangat sangat dari saya dan supaya saya putuskan T. So be it. You can have him. Mereka berdua sepadan.
Peraturan Allah cantik, tak lama setelah kejadian tu Allah menjemput kami sekeluarga ke rumahNya.Terasa hati ni terpujuk. Terasa yang Allah memujuk diri ni untuk bawa kesakitan ni dan luahkan semuanya di sana.. sepuas hati saya mengadu dekat Dia di sana.
Alhamdulilah setelah pulang dari menunaikan umrah, barulah saya merasakan ketenangan yang tak pernah saya rasakan. Rasa marah yang terkumpul, dendam, kesakitan, 1001 pertanyaan, beban yang saya rasakan di hati dan dikepala selama 6 bulan lebih hilang hampir tiada.
Kehidupan saya setelah itu hinggalah harini banyak Allah permudahkan sepertimana yang saya minta dekat Dia di dalam doa yang saya panjatkan. Baiknya Allah… Allah sayang, Allah selamatkan saya dari orang macam ni. Allah berikan peluang kedua untuk saya hidup.
Jika sebelum dan semasa saya bersama T hidup saya terpuruk je, 24/7 dengan T, takde kehidupan lain selain T sekarang saya keluar eksplor dunia. Saya banyak mengikuti aktiviti yang bermanfaat, hobi yang saya stopkan dulu, saya hidupkan balik, berkuda, memanah, dan banyak lagi.
Dulu tertanya kenapa saya rasa kosong, sekarang saya dah dapat jawapannya. Saya dah temui diri saya yang hilang dan dah jumpa tujuan hidup. Jauh lebih baik, kalau lah saya tahu dulu.. awal dah saya tinggalkan T.
Sekarang,
2 bulan lepas dia pernah datang balik. Merayu mengatakan dia menyesal, dia sayang dan malu dengan ayah ibu saya atas perbuatan dia. Malu nak bersemuka. Dia nak peluang, berubah. Dia tak pernah lepaskan saya dan banyak lagi ayat gula gula yang dia bagi.
Saya tak ambil peduli dah. Perbuatan yang dia dah buat pada saya dan keluarga lebih menguatkan dari kata kata manis yang dia luahkan. Sepanjang menjalinkan hubungan dengan banyak perempuan tu tak pernah pulak tefikir nak berhenti & berubah.
Tapi apa yang buat saya terkedu bila T ada sebut,
“..seumur hidup, saya tak pernah rasakan ketidak tenangan yang saya rasa sekarang ni.. sakit yang saya tak pernah rasakan seumur hidup…”.
Saya terkedu sebab tu lah doa yang saya pernah panjatkan di depan Kaabah, sebijik. Doa tu yang saya tak putus putus luahkan kepada Dia. Untuk Allah campakkan rasa ketidak tenangan yang tak pernah dia rasa seumur hidup, penyesalan yang tak berpenghujung.
Saya tak nak dia mati accident ke atau apa untuk balasan kezaliman kekhianatan yang dia buat pada saya dan keluarga.
Saya cuma mintak pada Allah Tuhan yang Maha Pembela untuk campakkan rasa tidak tenang seumur hidupnya, sampai saya mati. Cukup tu je saya mintak. Dan.. Allah kabulkan.. Sebijik ayat doa yang saya panjatkan.
Saya izinkan dia berbahagia dengan sesiapa pun. Saya izinkan. Sebab saya yakin cepat atau lambat akan datang juga pembalasan dari Dia.
Baru sikit je Allah nak tunjukkan pada saya bagaimana ‘pengakhiran’ orang yang menzalimi orang yang berniat baik. Dia dah rasakan sedikit pembalasan dari Dia.
Rasa depresi, kekosongan, tidak tenang, terngiang ngiang sentiasa dalam fikiran dia segala perbuatan dia kepada saya dan ayah ibu, rasa bersalah yang mendalam dan tiada keberkatan hidup. Tu baru sikit Allah tunjuk. Saya harap tak jumpa dia di akhirat. Apalagi di dunia ni.
Jadi jangan fikir orang yang zalim ni bahagia, secara luaran mungkin mereka dapat membohongi mata manusia, ye mereka ‘bahagia’, berpeluk dengan wanita lain. Bahagia kan?
Tapi yang mereka tak tunjukkan kat kita disebalik tu orang macam ni tak pernah akan rasa tenang, hidupnya serba tak kena. Allah tu adil, dia Maha Pembela. Tu saya pegang.
Banyak yang saya pelajari dari ujian ni, saya pun masih coba memperbaiki diri. Saya pun zalim terhadap diri saya sendiri. Masih banyak benda yang saya perlu belajar tentang dunia ni. Masih bertatih mendekati diri kepadaNya.
Dan ujian ni juga mengubah persepsi saya tentang dunia ni dan orang orang sekeliling. Parut luka dari kejadian tu walau dah setahun tetap ada. Korang doakan ye semoga saya jumpa dengan lelaki yang baik.
Moga hati ni juga terbuka untuk si dia yang benar benar tepat untuk diri yang serba kekurangan ni. Moga impian saya yang tak terkesampaian untuk membina keluarga kecil sendiri, sederhana tapi bahagia tercapai dengan orang yang juga tulusly menyayangi diri ni, suatu hari nanti.
– H (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Bagus cepat angkat kaki, cepat buat keputusan and tegas, semoga dipermudahkan kehidupan awak selepas ini, yang berlalu biarlah berlalu
apa yg awak buat adalah satu tindakan yang betul dan bijak. Kita prempuan jgn mudah berpatah balik ke org yang dh khianati kita. Semoga awak jumpa lelaki yang jauh lebih baik. Semoga dipermudahkan segala urusan awak.