Ab4ng Istimewa

Assalamualaikum. Terima kasih sudi siarkan penulisan saya.

Cerita berkisar tentang abang dan famili saya. Saya ada empat beradik, abang S (no 1), Kak Tiara (no 2), Kak Mas (no 3) dan saya anak bongsu.

Abang S insan istimewa, saya tak pasti apa diagnosis tepat, yang saya tahu dia terencat akal sejak kecil selepas alami demam panas, tiada rawatan susulan lagi selepas tu.

Kak Tiara dan saya sudah bekerja, berkahwin dan tinggal di negeri berlainan. Kak Mas tidak bekerja, ada skizofrenia (didiagnos sejak usia awal 20an) dan menerima rawatan susulan di hospital.

Di kampung, ibu bapa saya sudah tidak bekerja lagi, menjaga Abang S dan Kak Mas.

Ibu bapa sudah lanjut usia, masih sihat, masih mampu memandu kenderaan untuk jarak dekat. Ibu ada kencing manis, bapa ada darah tinggi tapi terkawal dan ada makan ubat.

Saya dan Kak Tiara akan pulang ke kampung 1-2 kali sebulan. Kami akan kerap telefon ibu untuk bertanya khabar.

Di rumah Abang S ada rutin harian tersendiri. Pagi-pagi, dia akan cari sarapan di dapur, tonton tv dan kemudian ibu bawa dia berjalan bersiar-siar di taman perumahan atau kawasan rekreasi.

Selepas itu, dia akan rehat, makan tengah hari, tonton tv, minum petang, gosok gigi pada malam hari dan tidur.

Cuma abang S ada mood tertentu dan perangai cerewet. Hanya ibu yang paling rapat dengan dia. Kadangkala apabila mood baik, dia akan banyak diam dan tidur.

Apabila mood tak baik, dia akan banyak bercakap sendirian, cerewet minta makanan macam-macam dan tertentu,

Nak pakai baju tertentu, nak susun atur rumah seperti yang dia nak, minta tukar siaran tv banyak kali, lambat tidur dan main air di tandas kadangkala.

Selalunya mood ni akan berlarutan sekejap dalam beberapa hari dan dia akan kembali tenang.

Kebelakangan ini, mood abang S selalu tak baik dan berlarutan berminggu-minggu. Kadangkala ibu tak beri saya balik kampung, sebab risau anak kecil saya akan buat mood dia lagi teruk.

Bulan lepas dia minta barang tertentu di halaman rumah untuk dibuang. Jika tak, dia akan asyik bertanya bila nak dibuang dan marah-marah.

Hari ini dia minta tv dalam kotak yang disimpan di bilik untuk dibuang. Ibu terpaksa ambil dan letak dalam kereta untuk sementara.

Kadangkala jika mood tak baik atau tak dapat apa yang dia nak, dia akan pukul tangan dia di dinding, hentak kaki atau pecahkan cawan tanda protes.

Tapi dia tak pernah pukul ibu. Keadaan ini kadangkala boleh buat Kak Mas yang ada skizofrenia jadi ‘triggerred’ dan kadangkala mesej kami bagitau abang S mengamuk.

Sekarang ni bagaimana saya nak bantu abang S dan ibu? Saya nak bawa untuk rawatan dan ubat-ubatan. Tapi adakah ini tindakan betul?

Apa langkah pertama saya boleh lakukan? Bagaimana nak jumpa doktor di hospital? Doktor bahagian mana yang akan tengok dia? Adakah dia autisme? Dia sudah 40+ tahun.

Abang S tak mampu nak tunggu lama untuk giliran di hospital. Jika dah mulakan rawatan dan ubatan, pasti ada kesan sampingan yang perlu dipantau dan kerap ke hospital selepas ini.

Adakah lawatan pertama, dia kena tahan bermalam di wad? Perlu ke ambil darah dan sebagainya?

Insan istimewa seperti ini memerlukan kesabaran berkali ganda apabila ingin dipujuk untuk prosedur di hospital. Terlalu banyak persoalan di fikiran saya.

Sebelum ni ibu dah banyak berjumpa ustaz untuk rawat abang S dan Kak Mas. Cuma Kak Mas dah dapat rawatan di hospital semasa usia 20an sebab pernah ada ‘suicidal ideation dan attempt’ hingga libatkan pihak polis sebab taknak ke hospital.

Syukur sebab keadaan Kak Mas terkawal dengan ubat. Walaupun tak bekerja dan tak boleh memandu, dia selalu teman ibu bapa saya keluar dan bantu dalam urusan lain tapi bukan sesempurna insan normal lain.

Setiap manusia ada ujian hidup. Hanya insan terpilih menerima anugerah anak istimewa (tiket untuk ke syurga).

Saya sangat kagum dengan kekuatan ibu saya yang sentiasa tenang dan perbanyakkan amal ibadah, berdoa pada Allah apabila dilanda apa-apa jua masalah.

Sekiranya ada pembaca yang mempunyai pengalaman memiliki ahli keluarga seperti abang S, boleh kongsikan dengan saya.

Kadangkala saya jadi ‘overthinking’ fikir tentang masa depan sekiranya ibu saya telah tiada, bagaimana dengan keadaan S yang sangat rapat dengan ibu.

Maaf jika penulisan terlalu panjang. Kali pertama saya menulis di sini. Terima kasih.

– Merpati Putih (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Kebimbangan ibubapa yg mempunyai ank2 istimewa ialah, siapa yg akn menjaga mrk jika ibubapa sudah tiada nt.. ibu awk kna ‘didik’ utk mrk berdikari, atau minta org yg boleh diharap utk ‘menjaga’ mrk, jika apa2 terjadi nt.. sya juga ada ank saudara yg “down sindrom”, tp kakak nya yg sulong dah berjanji utk menjaganya jika ibu bapa mrk telah tiada nt.. wallahu a’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *