Ab4ng Toksik, Busuk Hati

Assalamualaikum. Cerita ini adalah berdasarkan kisah benar dan diceritakan sebagai pengajaran untuk semua.

Adik beradik ramai tu semuanya menyenangkan? Tak juga. Sebenarnya semua bergantung kepada nasib dan ketentuan Allah s.w.t.

Ramai orang cakap anak yang sulung tu hebat bila mana boleh diharap membantu menolong adik beradik yang lain bila susah tapi tidak di kalangan adik beradik aku.

Kisah bermula tahun 2015. Biarlah aku namakan abang yang sulung sebagai A dan adik perempuan, C.

Pada tahun 2015, C bertungkus lumus untuk menukar nama adik beradik di dalam geran tanah arwah ayah mereka yang meninggal dunia pada tahun 2002.

C walaupun bukan anak yang sulung berusaha untuk menukar nama di dalam geran atas tujuan untuk membina rumah sendiri di atas tanah pusaka tersebut.

Walau tanpa pengalaman, C berusaha berulang alik ke Pejabat Tanah sehingga urusan pertukaran nama tersebut selesai.

Tapi sangat mendukacitakan A mengkritik adik beradik tidak pandai menguruskan tanah pusaka arwah ayah mereka sedangkan C (adik) lah yang berusaha untuk menukar nama di geran tanah tanpa mengharap bantuan adik beradik lain.

Kisah tidak berakhir di situ. Pada tahun 2016, A membina bengkel di atas tanah pusaka bersebelahan dengan rumah yang turut didiami oleh ibu mereka dan C yang berbesar hati berbakti menjaga ibu yang telah uzur.

Pada mulanya semuanya baik-baik sahaja sehinggalah C berpindah keluar dari rumah ibu dan tinggal berasingan atas sebab-sebab tertentu.

Ternyata A bukanlah seorang abang yang bertanggungjawab dan boleh diharap kerana tidak menjaga rumah pusaka tersebut sepertimana yang dilakukan oleh C dan suaminya sepanjang duduk di rumah tersebut.

A tidak pandai mengurus sampah-sampah bengkel beliau.

Semuanya dibiar di dalam stor lama dan tidak diurus dengan baik, rumput tidak dipotong, pokok yang tumbang dibiarkan sahaja,

Segala kerosakan peralatan elektrik tidak diselenggara dan ditukar baharu, tidak membantu untuk mengemas rumah walaupun Cuma menyapu sampah dan sampah sarap tidak dibakar.

Apa yang dilakukan oleh A adalah kerja-kerja bengkelnya sahaja tanpa membantu untuk menjaga rumah dengan baik walaupun A tidur, masak dan makan di rumah tersebut.

Pada suatu hari C bersuara untuk mengemas serba sedikit stor yang disepahkan oleh A namun C telah dimaki hamun dengan kata-kata kesat dan menyakitkan hati.

C sebagai adik terpaksa berdiam diri dan akhirnya tiada apa-apa perubahan pun yang berlaku dan A masih seronok bekerja di bengkel dan memperoleh pendapatan dari bengkel itu tanpa memberi wang bulanan pun kepada ibu mereka.

Tahun silih berganti dengan A masih membina bengkel secara haram di atas tanah pusaka yang konon pada asalnya dibina secara sementara tetapi setelah 7 tahun berlalu, bengkel tersebut masih lagi beroperasi di atas tanah tapak rumah pusaka.

Pada tahun 2021, A telah bertindak di luar batas dengan mengambil tanah pusaka adik beradik yang kononnya diambil untuk membina bengkel beliau tanpa berbincang dengan adik beradik terlebih dahulu.

Disebabkan perkara tersebut, C menyatakan kepada A untuk pergi ke pejabat tanah bagi urusan pertukaran nama geran yang masih lagi di atas nama arwah ayah mereka.

Untuk pengetahuan geran ini adalah geran berbeza yang pernah diuruskan oleh C.

Tapi perkara menyedihkan berlaku lagi bila mana A menuduh C gelojoh dan tidak sabar walaupun sebenarnya A lah yang telah mengambil bahagian adik beradik lain sesuka hati,

Dan arwah ayah mereka juga tidak meninggalkan sebarang wasiat berkaitan tanah pusaka tersebut.

Pada tahun yang sama, C sekali lagi mengalah dan atas dasar kesian pada ibu yang telah uzur maka C jugalah orangnya yang berusaha untuk menukar nama di geran tanah tersebut.

Kisah tidak berakhir setakat di situ sahaja.

Baru-baru ini C bersuara berkaitan tanah pusaka yang telah diambil sesuka hati oleh A walaupun sebelum selesai proses pertukaran nama di geran dengan harapan agar A insaf dan berubah fikiran.

Tetapi A mereka cerita bahawa C akan disantau orang kerana C kononnya mempunyai ramai musuh dan dibenci kerana bermulut lancang dan tidak pandai menghormati adik beradik lain yang lebih tua.

Selain itu, A juga menghina C dengan kata-kata kesat kerana tidak berpuashati atas usaha C untuk membantu membaiki bumbung rumah ibu mereka yang bocor.

Sudahla A menipu C akan disantau orang, dituduh pula sebagai bodoh dan pekak hanya kerana A tidak berpuashati dengan cara C yang berusaha untuk memanggil tukang rumah membetulkan bumbung tersebut.

A mengkritik perbuatan C sebagai satu bentuk pembaziran walaupun sebenarnya C telah berbincang dengan adik beradik lain dan adik beradik telahpun bersetuju untuk sama-sama mengumpul duit untuk tujuan membetulkan bumbung rumah.

Betapa busuk dan dengkinya hati seorang abang yang sangat toksik hingga membuatkan hati seorang adik rasa terhina dan berjauh hati.

Dan kerana tanah pusaka yang tidak seberapa, harta dan duit sanggup seorang abang menghina dan mencaci darah dagingnya sendiri.

Kini C tidak lagi mahu mengambil peduli akan hal-hal berkaitan rumah dan tanah pusaka kerana terasa segala usaha adalah sia-sia sahaja. Dibuat baik tetapi dibalas dengan penghinaan, cacian dan tuduhan yang tidak berasas.

C kini yang sedang sarat mengandung Cuma mampu berdoa agar A menerima balasan yang setimpal jika tidak di dunia tapi di akhirat kelak.

C percaya doa orang yang teraniaya adalah sangat makbul dan tiada hijab. Semoga menjadi pengajaran buat semua.

Terima kasih IIUM Confession jika cerita ini disiarkan dan terima kasih para pembaca yang sudi membaca kisah saya hingga tamat. Terima kasih.

– Gadis biasa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *