Nama aku Durian.. Apa yang aku nak tulis ni lebih kepada luahan perasaan sebenarnya sebab apa yang aku tengah hadap buah mulut orang sekarang ni sangatlah menekan perasaan.
Manalah tahu mungkin juga kisah tentang arwah abah aku ni boleh dijadikan panduan dan iktibar buat kita yang masih hidup. Yang masih terbuka peluang untuk meminta maaf baik dari Allah mahupun dari manusia.
Baru-baru ni heboh seorang jiran aku ni (Mami J) bercerita dekat jiran-jiran aku. Katanya dia mimpi buruk fasal arwah abah aku. Dia mimpi abah aku datang pada dia hulur tangan. Dia kata dia selalu nampak bayang abah aku dekat halaman rumah.
Bukan setakat itu sahaja. Mami J juga bercerita dia terpaksa keluarkan duit bayar dekat orang masjid untuk buat tahlil untuk arwah abah aku. Kitaorang tak suruh dan tak tahu pun.
Dia kata dia terpaksa buat tahlil sebab dia percaya arwah abah aku ni rohnya tak tenang. Tu dia asyik mimpi, asyik nampak.
Untuk pengetahuan korang, abah aku ni dah meninggal 3 tahun lepas. Sejak dari hari pertama abah aku meninggal lagi Mami J ni mencanang pada jiran-jiran. Katanya abah aku ni mati yang su’ul khotimah. Mati bukan dalam keadaan orang yang beriman, Mami J kata.
Dia kata antara tanda paling jelas sekali tak ramai orang sembahyangkan jenazah abah aku. Aku pergi masjid masa tu. Kebetulan masa jenazah sampai lepas orang jemaah siap solat Zohor. Jadi jemaah tu semua solatkan jenazah abah aku.
Pada aku agak ramai. 2 saf untuk baris yang agak panjang. Dalam 20-30 orang anggaran. Mungkin Mami J ni rasa kalau dia mati nanti 2000-3000 orang solatkan jenazah dia. Tu dia rasa yang sembahyangkan jenazah abah aku tu sikit kut…
Aku tak tahu apa masalah Mami J. Tapi dia juga canang kata arwah abah aku terseksa sebab kami anak beranak tak doakan. Takkan hari-hari kami doa kami nak cerita dekat orang.
Dia siap pesan dekat kakak aku suruh bacakan yasin. Arwah abah aku tak tenang katanya. Kami memang buat bacaan yasin. Tapi mestilah tak cerita dekat orang.
Sejak covid ni pun kami memang tak buat tahlil dekat rumah sebab tak boleh. Kami bagi duit pada orang masjid untuk buat.
Tapi takkan nak suruh kami buat pengumuman, “Perhatian kepada warga Taman Z. Makanan untuk majlis tahlil hari ini disponsor oleh anak arwah abah.”
Takkan la kan? Lagipun tahlil ni selalu dia buat untuk beberapa orang. Ikut senarai yang hantar nama.
Bab dia kata dia selalu mimpi tu, entahlah. Sejujurnya kami anak beranak hatta mak kami yang isteri abah sendiri pun jarang gila mimpi abah. Kami teringin sebab kami rindu.
Lepas abah meninggal pun kami tak pernah rasa seram atau takut. Yang kami tahu, abah dah duduk ‘rumah lain’ saja. Abah takkan balik rumah kami dah.
Tak faham kenapa Mami J kata dia takut mimpikan abah. Dia takut nampak bayang abah berjalan dekat laman rumah. Sumpah, kami tak pernah takut dan seram pun. Nampak bayang abah pun tak pernah.
Mak pernah mimpi abah sekali saja. Mak kata dalam mimpi mak, mak dan abah dalam perjalanan nak balik kampung. Tapi abah berhenti dekat masjid.
Abah suruh mak balik rumah nenek dulu. Abah berjalan ke masjid dan mak teruskan perjalanan sorang-sorang. (Masjid ni ada cerita tau. Sedih. Mungkin tu impian abah. Nanti aku cerita dekat bawah…)
Aku pernah mimpi 2x saja. Sekali malam sebelum aku nikah. Abah aku meninggal beberapa hari sebelum aku nikah. Dalam mimpi aku abah berdiri pandang aku atas pelamin. Tapi abah pakai baju jubah putih dan kopiah putih.
Abah senyum saja. Dalam mimpi tu aku tanya abah kenapa tak pakai baju kenduri sedondon. Abah tak jawab. Sampai sekarang aku sayu saja tengok baju tu sebab abah tak sempat pakai. Aku bagi suami aku baju tu. Saiz sama.
Mimpi kali kedua tentang duit pusaka. Duit ni hasil tanah pusaka arwah nenek moyang aku belah abah. Selalunya abah tak gunakan pun.
Masa pakcik abah bagi duit tu, aku dengan mak ingat nak masuk tabung masjid saja. Tapi kebetulan ada orang nak kutip derma banjir masa tu. Aku bincang dengan mak untuk sumbangkan pada mangsa banjir. Mak setuju.
Malamnya aku mimpi abah bawa aku pergi. Sepanjang perjalanan aku riuh gila cerita itu ini. Tapi abah aku tak cakap pape pun. Tiba-tiba abah aku stop dekat masjid. Masjid ni masjid yang sama aku dengan mak plan nak derma mula-mula tu.
Aku nampak ada lelaki muda muka berseri pakai jubah putih turun dari tangga masjid. Abah salam lelaki tu dan abah hulur duit. Duit tu sama nilai dengan jumlah duit pusaka tu!
Aku cerita pada mak mimpi aku tu. Kami batalkan niat nak derma pada mangsa banjir. Kami hantar pada masjid yang dalam mimpi dan pelan asal kami tu. Mak kata mungkin abah lebih gembira kalau duit tu disalurkan ke situ.
Lepas tu aku tak pernah mimpi abah dah. Mak pun. Adik beradik aku diorang tak pernah mimpi abah. Ada yang kata diorang teringin sangat nak mimpi sebab rindu tapi tak dapat. Siap kata jeles aku pernah mimpi dua kali.
Jadi kami pelik kenapa Mami J ni kerap sangat mimpi abah. Mimpi buruk-buruk pula tu dan dicanangkan pada jiran sekeliling.
Mak sampai berseloroh kata takkan Mami J lebih sayangkan abah dari mak, sebab tu Mami J lagi selalu mimpikan abah. Tak macam mak.
Bila heboh si Mami J ni mimpi bukan-bukan, tentulah yang paling sedih adalah mak aku. Mak aku kesal. Kenapa dicanang tentang abah aku yang dah lama tak ada.. Tergamaknya.
Mami J kata ni padah sebab abah aku dulu tak jemaah dekat masjid. Tak macam laki dia. Laki dia setiap waktu ke masjid. Untuk pengetahuan laki dia masih hidup hingga ke hari ni. Tapi perlu ke compare abah dengan laki dia?
Jemaah dekat masjid ni pun ada kisahnya. Aku pernah lalu satu situasi masa umur aku 12 tahun. Masa tu ada majlis solat hajat di masjid untuk pelajar yang bakal hadapi UPSR.
Mak aku datang bulan masa tu. Tapi aku sedih gila sebab abah aku tak nak pergi. Aku rasa abah aku tak nak doakan aku cemerlang UPSR. Mak aku yang hantar aku ke masjid dan ambik bila dah siap.
Waktu ni aku tak faham. Aku cuma nampak abah aku tak nak ke masjid. Tak nak doakan aku. Bila aku besar baru aku tau.
Abah aku pernah nak ke masjid berjemaah. Dia nampak seronok orang solat ramai-ramai. Abah aku pergi waktu maghrib. Malangnya sementara menunggu waktu isyak, abah diperli oleh beberapa orang masjid.
Baru nak nampak muka..
Wah, ada orang baru!
Selama ni tak jumpa jalan masjid.
Ni mak aku cerita dan baru aku faham, kenapa abah aku buat aku macam tu masa program solat hajat UPSR dulu. Abah bukan tak nak doakan kecemerlangan aku.
In fact, mungkin berkat doa mak dan abah aku ni jadi anak yang pandai dan sentiasa cemerlang tanpa perlu pulun. Alhamdulillah…
Rupanya, abah malu. Abah kecil hati diperli sedemikian oleh orang-orang masjid. Natijahnya, abah aku memang tak berjemaah ke masjid sampai akhir hayat dia.
Abah jadi imam kami sesekali di rumah. Untuk solat Jumaat dan solat raya, abah memang semangat ke masjid. Termasuk terawih.
Apa yang aku nampak, abah gembira sangat tiap kali pergi solat Jumaat, solat raya dan terawih. Abah akan pilih baju melayu yang cantik. Abah pakai minyak atar lepas mandi. Abah cukur janggut dan misai.
Abah sisip duit dalam poket baju untuk masukkan dalam tabung masjid. Mungkin abah teringin nak berjemaah… tapi abah takut dimalukan lagi. (Aku nangis wei taip ni)
Tentang Mami J yang mencanang merata tu, ada jugak jiran aku bagitau aku.
Biasanya dalam drama yang mimpi ni yang banyak dosa dengan orang yang dah mati. Macam cerita yang orang bunuh orang tu. Pembunuh tu mesti asyik mimpi orang yang dah mati tu. Sampai gila pun ada.
Aku gelak saja la dengar.
Aku kecewa dengan Mami J. Tu saja. Mujur sekarang PKP jadi aku tak de keluar jumpa orang sangat. Paling tak pun ada jiran yang tegur masa aku tengah siram pokok dekat halaman. Rasa malu nak menghadap jiran.
Mau tak malu kena tuduh anak yang tak mendoakan abah yang dah tak ada. Tu yang sampai roh abah tak tenang masuk mimpi orang. Mami J la kata.
Mak aku tau aku jenis panas. Ikut hati memang aku cili mulut Mami J tu guna cili habanero yang aku tanam tu. Tak pun menyumpah 40x supaya mulut dia dipanah petir. Tapi mak aku pesan. Buat tak tau saja. Hormat Mami J tu sebab dia dah tua.
Mak aku jugak kata jangan balas balik. Kalau kita balas kita sama saja dengan Mami J tu. Biarkan dia. Dia nak mengata tu urusan dia dengan arwah abah. Pandai-pandailah dia kalau nak minta maaf dengan arwah abah yang dah tak ada tu macam mana.
Cuma tu lah… aku stress kut hadap mulut Mami J tu. Tu yang aku confess sini.
Dikesempatan ni jugak aku nak tanya pada yang arif. Boleh ke kita hadiahkan bacaan Quran untuk orang yang dah tak ada?
Dalam situasi aku ni, aku selalu baca al-Mulk dengan niat hadiahkan untuk arwah abah aku. Al-Mulk boleh jadi teman dalam kubur kan? Aku harap hadiah aku ni dapat temankan abah.
Abah aku belajar tak tinggi. Bab pengetahuan agama pun yang basic sahaja. Tapi sebab usaha keras abah la aku dapat belajar tinggi seimbang ilmu dunia akhirat.
Sebab tu aku harap bacaan aku hasil ilmu yang aku dapat sebab kerja keras abah, boleh jadi hadiah special buat abah.
Aku juga selalu doakan abah aku semoga ditempatkan di taman-taman syurga. Banyak pengorbanan abah buat kami sekeluarga. Allah tahu apa yang abah dah buat untuk kami sebab Allah tak tidur.
Terima kasih kut ada yang baca sampai habis.
– Durian (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit