Ke hadapan Abah,
Sihatkah abah di sana? Kak Ngah di sini baik-baik sahaja. Tiga tahun sudah tidak kita bersua, hanya Allah yang tahu sakitnya dijiwa. Mana mungkin Kak Ngah lupakan Abah. Tidak pernah sedetik kenangan kita Kak Ngah lupakan.
Abah, Kak Ngah telah merantau jauh dari keluarga. Gaji Kak Ngah sekarang lima kali ganda gaji Abah dahulu. Kalau Abah kembali, Kak Ngah akan pastikan abah tidak perlu membanting tulang menyara keluarga kita. Biar Kak Ngah sediakan semua. Kak Ngah anak perempuan Abah yang Abah banggakan dahulu, tidak akan sesekali biarkan kudrat Abah tersia. Terlalu banyak tanggungjawab Kak Ngah, Abah. Kak Ngahlah pengganti Abah menjadi tulang belakang keluarga kita. Kak Ngah tak boleh tersungkur, Kak Ngah anak perwira yang Abah banggakan.
Jika Kak Ngah sedar setiap kenangan yang berlalu tidak mampu diulang, setiap kenangan kita pasti Kak Ngah rakamkan. Kak Ngah rindukan suara garau Abah, suara garau yang nyaring memekik memanggil adik-adik naik ke rumah setiap kali menjelang maghrib. Suara yang suatu ketika dahulu, Kak Ngah rasakan jengkel, suara itu yg terngiang dalam setiap mimpi Kak Ngah.
Ingatkah Abah pada malam bertuah itu? Malam yang Kak Ngah sanggup meninggalkan tv untuk menemani Abah menjala di sungai. Malam yang tidak henti-henti Abah suarakan atas tuah kak ngahlah Abah banyak mendapat ikan. Kak Ngah ralat tiada gambar yang Kak Ngah simpan. Kak Ngah masih terbuai keluarga bahagia kita akan berkekalan akhirnya. Tiada gambar Abah menyelam menanggalkan jala yang terlekat di batu, tiada gambar ketenangan yang Kak Ngah rasakan ketika menunggu Abah muncul di permukaan, tiada gambar banyaknya ikan yang melompat-lompat dalam jala Abah, tiada gambar bersinarnya mata udang galah yang dulu tidak mampu kita beli di pasar. Kebun Abah sekarang sudah terbiar, tiada siapa lagi yang mampu uruskan. Kak Ngah ralat tidak mengambil gambar betapa segarnya setiap tanaman Abah, betapa kreatifnya Abah membuat saluran air tanpa bantuan sesiapa, betapa bnyaknya rimbunan serai, betapa manisnya tebu yang banyak terpacak, betapa banyaknya keringat di dahi abah yang mengalir untuk memastikan kita sekeluarga cukup makan dan pakainya.
Jiwamu Abah, jiwa seorang perwira. Perwira yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah membanting tulang dan menyekolahlan Kak Ngah. Kak Ngah banggakan Abah dengan peperiksaan yang sentiasa cemerlang, Kak Ngah anak kebanggan Abah. Setiap petang KaK Ngah lebih suka menyandar di kerusi membaca buku cerita yang Kak Ngah pinjam di perpustaakaan, dan Kak Ngah tahu Abah gembira kerana setiap tetamu yang datang, Abah akan menggelarkan Kak Ngah si ulat buku. Ya, kak Ngah secerdas abah. Kak Ngah cepat dalam pembelajaran, Kak Ngah hadiakan Abah 5A dalam UPSR. Kak Ngah melihat betapa gembiranya seorang nelayan atas hadiah yang Kak Ngah hadiahkan. Abah lembut hati, Abah wakilkan Mak Su untuk memujuk Kak Ngah supaya menyambung persekolahan di sekolah menengah kampung sahaja kerana Abah tahu Kak Ngah terlalu ingin bersekolah di bandar.
Kak Ngah masih tidak memahami keperitan abah ketika itu, kak ngah rasakan kak ngah mampu dapatkan yang terbaik untuk mengubah masa depan kita bersama. 3 bulan sekolah menengah di kampung, tiba-tiba kak Ngah mendapat tawaran biasiswa untuk menyambung pembelajaran di sekolah berasrama penuh di utara. Berat pandangan Abah, berkerut muka Abah. Abah gadaikan satu-satunya motosikal yang Abah ada untuk persediaan sekolah Kak Ngah. Abah turutkan kemahuan Kak Ngah. Pujukan Kak Ngah menggunakan hadis nabi belajarlah hingga ke negara cina berhasil. Kak Ngah anak kampung buat pertama kalinya akan berjauhan dari keluarga kita. Kak Ngah baru 13 tahun, perasaan gembira dan teruja hilang bila Abah tiada di depan mata. Kak Ngah tidak biasa basuh baju sendiri, bangun pagi beratur menunggu giliran mandi, beratur menunggu makanan di dewan makan, selama ini semua keperluan Kak Ngah, Mak dan Abah yang sediakan. Tapi Kak Ngah gembira di sana, ramai kawan baru Kak Ngah, cikgu-cikgu pun sayangkan Kak Ngah.
Terkejut Kak Ngah bila ditengking Abah ketika cuti sekolah. Abah marah kenapa Kak Ngah selalu minta duit belanja. Abah, kebanyakan kawan-kawan Kak Ngah adalah orang berada, Kak Ngah terlupa asal usul kita. Tapi tengkingan Abah terhenti bila mendengar tangisan Kak Ngah. Abah, maafkan Kak Ngah. Kak Ngah masih belum mengenal baik dan buruk sesuatu.
Kadang-kadang Kak Ngah mempertikaikan kemampuan diri. Kak Ngah mengadu pada Abah, keputusan ujian sains Kak Ngah sangat lemah. lebih baik Kak Ngah balik sekolah di kampung. Tapi Abah selalu percaya pada kemampuan Kak Ngah. Abah suruh teruskan juga, jangan mengalah. Lalu, berkat kepercayaan itu Kak Ngah hadiahkan lagi 8A dalam PMR untuk Abah. Gembiranya Abah, bangganya Abah. Kak Ngah anak kampung, anak Abah bijak orangnya. Kak Ngah ank kebanggan Abah. Berganda kegembiraan Abah bila Kak Ngah ditukarkan ke sekolah elite berdekatan rumah kira. Abah hadiahkan Kak Ngah RM15. Besar nilainya buat Kak Ngah.
Maafkan Kak Ngah Abah, Kak Ngah nakal. Kak Ngah banyak main, Kak Ngah selalu melawan Abah, Kak Ngah malu bila Abah datang melawat Kak Ngah menaiki motor honda bulat buruk Abah. Kawan-kawan Kak Ngah semua orang berada. Kak Ngah malu. Walaupun keputusan SPM Kak Ngah bukannya semua A, tapi masih membanggakan abah.
Sekali lagi Kak Ngah tidak percaya pada diri. Antara diploma dan matrikulasi, Kak Ngah pilih diploma sebab Kak Ngah takut matrikulasi terlalu berat bagi Kak Ngah. Abah yakinkan Kak Ngah untuk memilih matrikulasi dan Abah berjaya yakinkan diri Kak Ngah. Abah tidak perlu lagi memberikan Kak Ngah duit saku, elaun yang diberikan sudah cukup buat Kak Ngah. Abah, setiap keputusan yang Abah pilih, terlalu baik untuk Kak Ngah. Kak Ngah anak kampung cemerlang lagi, bahkan Kak Ngah berjaya mendapat biasiswa JPA.
Di Universiti, Kak Ngah memilih untuk menyertai Palapes. Semuanya kerana Kak Ngah mahukan kemudahan kolej kediaman dan elaun latihan. Mewah hidup Kak Ngah, biasiswa dan elaun yang diberikan, Kak Ngah tidak perlu lagi fikirkan masalah duit kita. Kak Ngah juga bayarkan duit Mak Ngah, duit yang Abah pinjam dulu untuk sekolahkan Kak Ngah. Abah pilihkan juga motor second hand untuk kesenangan Kak Ngah di Universiti. Murah rezeki kita.
Tiga tahun akhirnya Kak Ngah berjaya mendapatkan segulung ijazah. Kak Ngah anak kampung, anak Abah. Tapi kak Ngah lupa masa yang berdetik terlalu pantas dan tidak berhenti. Kak Ngah menangis di majlis konvokesyen, Abah tidak datang meraikan Kak Ngah. Abah sakit. Semua kawan-kawan Kak Ngah gembira bergambar bersama keluarga dan Kak Ngah menahan hiba.
Abah, bertahun Abah berjuang melawan sel kanser yang terlalu ganas menyerang Abah. Susuk tubuh Abah, Abah yang berbadan tegap dan gagah, sudah kelihatan tidak bermaya. Tiga kali pembedahan membuang tumor dan akhirnya buat pertama kali dalam hidup, Abah mengalah. Abah juga telah bersedia. Abah telah bertanya pada kawan abah untuk serahkan adik bongsu. Jangan Abah. Jangan. Mungkin kesakitan yang abah rasakan sudah tidak mampu ditahan. Abah perwira Kak Ngah. Sakitnya Kak Ngah merindui Abah saban hari hanya Tuhan yang tahu. Ingin Kak Ngah jerit dan meraung meluahkan sakit di dada. Sakit Abah. Hati Kak Ngah sakit. Separuh dari jiwa Kak Ngah hilang. Abah yang dulu penasihat Kak Ngah, sumber kekuatan Kak Ngah. Damailah abah di sana. Kak ngah di sini akan kuat menjaga mak dan adik-adik. Kak Ngah doakan Abah di sana berbahagia, tiada lagi kesakitan buat Abah. Alfatihah.
– Candy beauty
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit