Abah

Assalamualaikum. Aku tak tahu dari mana harus aku mulakan tulisan ini. Tulisan ini lebih kepada luahan hati, luahan rasa. Aku cuba untuk menulis dari hati agar rasa itu dapat dirasai oleh semua yang membaca. Sungguh demi Allah, aku sedar takkan ada seorang manusia pun yang mampu memahami apa yang aku rasa sekarang melainkan Allah namun aku rasa aku patut berkongsi rasa itu agar kita lebih menghargai ibu bapa kita.

Abah. Kasih seorang abah dan sayang seorang mak sangat berbeza. Mak, segala-galanya. Memahami setiap seorang anak-anaknya, namun abah kasihnya berbeza, diamnya tidak bermaksud tidak sayang tapi luahan kasih sayangnya dengan cara yang berbeza.

Aku baru kehilangan abah. Abah tinggalkan kami atas jemputan Ilahi. Kehilangan abah sangat kami rasai. Abah tinggalkan kami secara mengejut tanpa berikan kami sebarang tanda atau sakit. Abah tinggalkan kami pada hari Jumaat. Sehingga sekarang, setiap Jumaat masih terngiang-ngiang lagi ‘abah dah takde. Abah dah meninggal’ yang akan menyebabkan aku mengalirkan air mata.

Abah pendiam orangnya. Namun, dengan anak-anak, abah la yang paling banyak bergurau. Kata-katanya selalu menghiburkan kami. Sehingga saat ini, setiap gurauannya masih terngiang-ngiang. Dengan abah, perbualan kami sedikit berbeza dengan mak. Topik kami selalu berkisar tentang negara, ekonomi, politik. Walaupun abah macam tidak ambil pusing, namun pendapatnya selalu bernas dan kami selalunya mempunyai pendapat yang sama.

Ketika tulisan ini ditulis, aku sangat merindui abah. Rasanya seperti sangat lama aku tak melihat wajahnya, tak mendengar suaranya dan gelak tawanya, tak bersalam dengan tangan kasarnya, tak melihat kelibatnya. Sungguh aku sangat merinduinya.

Adik-beradikku semua perempuan. Hanya aku seorang yang telah berkahwin. Walaupun bukan abah sendiri yang menikahkanku namun abah tetap menjadi wali. Masih terbayang saat dia menyerahkanku, suaranya bergetar menahan sebak, matanya merah menahan air mata. Sebak melepaskan anaknya. Kini abah tiada. Adikku pernah berkata selepas ini abah tiada untuk mewalikannya.

Cukuplah sekadar ini aku luahkan. Kepada kalian yang membaca, yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah mereka. Jangan guris perasaan mereka. Sekiranya tidak sependapat, gunalah perkataan yang paling baik. Duduk dan bincang. Janganlah tinggikan suara di hadapan mereka. Jenguklah mereka selalu. Merekalah yang selalu mendoakan kita. Namun aku telah kehilangan seorang insan yang selalu mendoakanku. Bukan aku tidak redha dengan kepergiannya tetapi aku sangat merinduinya. Saat ini, aku masih lagi ingat bau abah ketika kali terakhir aku mencium dahinya.

Aku pernah berdoa ‘Ya Allah, janganlah Kau tarik nyawa kedua ibu bapaku kerana aku masih tidak bersedia’ namun Allah tetap menjemput abah tatkala aku belum bersedia menghadapi kehilangan. Namun aku sedar mereka hanyalah pinjaman Allah. Hanya doa yang aku mampu kirimkan. Allahumma firlahu warhamhu waa’afihi wa’fuhanhu. Hargailah ibu bapa kalian. Redha Allah terletak atas redha mereka.

– Anak Abah Mak

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *