Abah Yang Baik

Assalammualaikum semua. Aku Dian. Berusia 20-an. Harini aku nak bercerita tentang abah aku. Lelaki pujaan. Dari cerita ini, yang baik datang dari Allah, yang buruk dari kami sendiri.

Abah. Seorang sosok lelaki yang bekerja keras. Sayang anak anak, tak pernah mungkir janji, cuba penuhi semua keinginan anak anak, tegas bila bab agama dan adab. Faham dan amalkan agama.

Apa yang disuruh pada anak anaknya pasti dia sendiri amalkan. Contohnya tahajud, dhuha, wirid, baca hadis, pergi majlis ilmu. ( yang wajib apatah lagi )

Sebelum abah dan ibu berkahwin, abah mempunyai kerja yang stabil tetapi setelah beberapa bulan berkahwin ekonomi dunia jatuh, krisis ekinomi. Abah bekerja di sektor pembinaan. Sangat terjejas.

Abah kehilangan pekerjaan, ibu pula disahkan hamil. Ujian awal rumah tangga. Abah buat beberapa kerja.

Antaranya Abah kerja di pelabuhan. Angkat kotak dari kontena. Berjalan kaki ke stesyen ktm sejauh 5km setiap hari kerana motor telah dijual untuk menampung hidup.

Tahun demi tahun, ekonomi semakin pulih. Abah mula mendapat tawaran kerja jawatan yang sama seperti sebelum krisis ekonomi. Kehidupan kami sekeluarga mula stabil.

Oh iya sepanjang perkahwinan, setiap kali gaji, semua gaji abah akan diserahkan kepada ibu untuk diurus. Bukan permintaan ibu tapi kerelaan abah sendiri. Setiap hari ibu akan bagi abah duit belanja.

Apa yang saya perasan, abah selalu dahulukan dan happykan isteri dan anak anak. Suka ajak kami sekeluarga berjalan.

Tempat yang mungkin sederhana saja bagi orang lain tapi sangat bahagia untuk kami sekeluarga. Contohnya dataran merdeka, mandi kolam di klcc, beriadah di taman tasik titiwangsa.

Sangat bahagia. Abah juga tak lokek dengan ibu bapa dan juga adik beradiknya di kampung. Juga suka bersedekah pada pondok agama yang memerlukan dana. Abah akan bantu semampunya.

Abah juga ringan tulang dalam membantu ibu mengurus kerja rumah. Basuh baju, sidai baju, mengasuh anak, bancuh susu anak, berjaga malam untuk jaga anak.

Sebelum pergi kerja, sempatkan diri bawa anak naik motor keliling kampung walaupun cuma 5 minit. Balik kerja suka buat surprise untuk anak.

Contohnya belikan pensil warna tanpa diminta. Kebahagiaan kebahagiaan kecil beginilah yang buat anak anak makin sayang dan isteri makin doakan kebaikan untuk suami.

Pada tahun 2012, abah ada beli sebidang tanah di sebuah perkampungan di Selangor. Ada niat nak buat rumah untuk kami sekeluarga.

Tahun 2015 start membina. Ada duit sikit, buat sikit. Ada duit lebih buat lebih. Tahun 2020 siaplah rumah kami. Mungkin ada yang rasa lama tempoh membina.

Mungkin kerana abah tidak buat apa apa pinjaman dari bank. Abah tidak mempunyai sebarang pinjaman. Sama ada tanah, rumah, motor atau kereta. Ibu pula hanya suri rumah.

Abah tidak berani meminjam. Lagipun kata abah, prosesnya banyak dan kemungkinan lulus tu nipis.

Iyalah abah hanya pekerja swasta. Kalau belum mampu, tahan diri dulu. Alhamdulillah rezeki kami. Bebas dari hutang.

Kata abah, jalan hidup orang lain lain. Kalau ikutkan hati tiada siapa yang hendak berhutang. Tapi tak semua orang sama beban hidupnya.

Tahun lepas rumah kami siap. Abah paling excited. Rumah yang dinanti bertahun tahun. Hasil banting tulang abah selama bertahun tahun.

Tahun ini jugalah abah pergi menghadap Ilahi. Tinggalkan kami semua tanpa hutang, malahan rumah yang baru sekejap sempat didiami. Terima kasih abah.

Semoga abah dimasukkan didalam syurga tanpa hisab, ditempatkan didalam syurga tertinggi, dilepaskan dari siksa kubur.

Tiada beban yang kau tinggalkan buat kami, ilmu agama telah abah bekalkan untuk kami. Tanggungjawabmu telah abah jalankan dengan sangat baik. Doakan kebaikan untuk arwah abah saya ye semua.

* Saya ada soalan. Andai ada pembaca yang pernah ada pengalaman, arif dalam bidang ini atau ada pandangan. Saya hargai sangat.

Apakah cara yang paling mudah, tidak memerlukan masa yang lama, dan kos yang tinggi untuk menguruskan pengeluaran kwsp yang tiada penama.

Ada sebuah institusi A yang biasanya digunakan tetapi mempunyai syarat dan dokumen yang rumit dan lama. Bagaimana kalau hendak melantik peguam. Berbaloi atau lebih baik uruskan sendiri.

Terima kasih tidak terhingga kepada yang sudi menjawab.

– Dian (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *