Abang

Assalamualaikum wahai pembaca sekalian. Semoga hidup kita sentiasa dalam keberkatan dan keredhaan-Nya. Di mana bumi berpijak, di situ lagi dijunjung. Jangan lupa kita hanya hamba Allah s.w.t. Terima kasih IIUM Confession jika menyiarkan kisah ini.

30 tahun dahulu, lahirnya seorang bayi lelaki. Sempurna sifatnya, bahkan disayangi. Sempurna keluarga. Arwah datuk, nenek dan ayah ketika itu masih ada bersama ibu tercinta. Tahun demi tahun, berkembanglah keluarga itu dengan pertambahan adik-beradik. Membesar bersama. Gaduh bagaikan anjing dan kucing perkara biasa. Ibu ayah menjadi penyelesaian.

Saat itu, aku merasakan aku mempunyai keluarga yang sempurna, hinggalah suatu masa Allah tarik kembali apa yang pernah dipinjamkan. Ibu ayah berpisah. Maka tinggallah kami adik-beradik bersama ibu. Alhamdulillah, walaupun hidup berasingan dari ayah, kami masih ada sumber rezeki di mana ibu masih bekerja sebagai pendidik, manakala ayah pula seorang pencen pendidik. Arwah datuk dan nenek pula memiliki kedai runcit. Tapi ini kisah dulu.

Setahun sebelum terjadinya perpisahan itu, abang sulung aku dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara, dalam jurusan perubatan, manakala aku pula zaman PMR. Hari dan tahun berlalu, 6 tahun tamatlah pelajaran abangku. Dan hanya menunggu posting untuk bergelar seorang doktor. Pelajar terbaik, aktif bersukan, pelajar contoh, ada rupa, pandai bergaya, namakan sahaja yang baik-baik. Gelaran itulah diberikan kepada abangku.

Sehinggalah suatu perkara terjadi ketika abangku posting, minggu kedua abangku melarikan diri dari tempat kerja. Kami semua tidak mengetahui perkara itu sehingga ada kawan baik abangku mencari abangku di rumah, berjumpa dengan ibu, bercerita masalah abangku. Kami sangkakan abang berpakaian lengkap untuk pergi bekerja, padahal itu cuma motif untuk melarikan diri. Rupa-rupanya tidur di kuaters yang disediakan.

Aku dapat cerita ini pun dari ibuku. Sebab masa tu aku dah mula bekerja selepas diploma. Bayangkan aku tahu benda ni selepas hampir 2 bulan. Aku sangka abangku enjoy bekerja sebab mak aku kata masa minggu pertama abangku bercerita dengan penuh teruja perihal kerja, tapi masuk minggu kedua melarikan diri.

Rujuk bahagian kaunselor, pakar psikiatri, pihak hospital masih memberi peluang kepada abangku, MC sehingga berminggu-minggu. Tukar hospital, tagging dengan rakan baik sekalipun, wad yang tidak sibuk, pun begitu, tetap melarikan diri. Seolah-olah tidak boleh hidup di bawah petunjuk dan arahan orang lain. Begitulah kata pakar psikiatri, egonya abangku, sehingga doktor pakar sendiri tidak boleh berbuat apa-apa. Aku sendiri pernah melihat abangku makan ubat dadah berbahaya yang dipreskripsikan oleh doktor. Tidur siang hari, malam keluar. Malu melihat saudara sendiri.

Pernah diejek belajar tinggi-tinggi tapi menghampakan harapan ibu ayah. Sebab adik-beradikku majoriti lulusan luar negara. Aku ada adik-beradik satu ayah berlainan ibu di mana mereka semua adalah lulusan luar negara dan kerja hebat-hebat, pangkat besar. Boleh kategorikan mereka semua idola aku, cuma aku sorang je masih pemegang diploma sehingga kini. Walaupun begitu, mereka tak pernah mengabaikan adik-beradik kami sejak ketiadaan ayah. Saling berkunjung setiap kali raya.

Itu kata orang luar, tapi ibu ayah tak pernah pun marah. Aku kasihan melihat ibu ayah. Aku tahu mereka kecewa, tapi ibu ayah tak pernah buang abang aku. Tapi kerana orang luar, abangku tidak lagi duduk serumah. Abangku duduk di homestay ibuku. Menjalani kehidupan seorang diri tapi terurus, tidak pernah mengharapkan duit ibu ayah satu sen pun. Mencari duit sendiri. Entah sakit entahkan tidak.

Walaupun begitu, di saat perkahwinanku, abangku tetap hadir munculkan diri, di saat aku sedang berpantang abangku masih lagi melayani dan mendukung anakku (masa ni abang masih kat rumah), di saat ayahku meninggal, abangku tetap ada setia. Sekurang-kurangnya dia masih punya sifat perikemanusiaan.

Kini, sudah 2 tahun abangku tidak balik menjenguk ibuku. Sebelum 2 tahun itu, sekurang-kurangnya masih ada di rumah walaupun asyik keluar balik malam, tidur pagi. Aku bukan risaukan apa, ibuku yang tak pernah ada darah tinggi, kini didiagnos darah tinggi, adakala ibuku takut untuk ke klinik, beralasan untuk tidak ke klinik. Bukan kerana apa, tapi memikirkan abang sulungku. Mengharapkan agar kembali ke rumah.

Ibu tidak pernah mengharapkan apa-apa. Ibu redha atas segala yang berlaku. Ibu tiada siapa lagi melainkan anak-anak. Datuk dan nenek dah tiada. Ibu cuma berharap abang pulang, pulang sebelum terjadi sesuatu kepada ibu. Ibu selalu berdoa, ibu tak pernah lupa akan abang. Itulah keluhan ibu terhadapku. Setiap kali aku pulang, aku cuma melihat ibuku lebih banyak termenung jika keseorangan. Adakala, seminggu tidak tidur memikirkan abang, kerana itu ibu dapat darah tinggi.

Aku tak kisah korang nak kata abang aku ni anak tak guna. Berpendidikan tinggi, cerdik, boleh mengaji, speak well in English and arabic, tak tinggal solag, cuma abang aku kurang sesuatu yang doktor pakar sendiri tidak boleh berbuat apa.

Tapi, yang menjadi tanda tanya, abangku boleh berkomunikasi dengan baik, berurus niaga, masih lagi aktif bermain sukan sehingga kini (pernah nampak kereta abang di kedai, tempat futsal), berjumpa orang, cuma satu, abangku jenis tidak suka disuruh, barangkali masa posting jadi doktor kena marah dengan pakar dan malu sebab kena tegur depan-depan (yang ni aku setuju sebab bukan semua orang boleh terima ujian sebegini).

Doa aku, aku harap abangku pulang ke rumah. Itu je. Aku susah hati kalau ibu susah hati. Sebab aku jauh dari ibu. Aku harapkan korang doakan abang aku. Sebab abang aku tu jugak sakit sebenarnya. Penyakit tak boleh buang air besar, ada masalah usus. Semoga Allah membalas jasa kalian semua. Maaf sebab cerita ni panjang dan membosankan. Moga ada iktibar yang boleh diambil.

– Zack

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *