Abang

Assalamualaikum, namaku Bunga (bukan nama sebenar). Aku anak bongsu daripada empat orang adik beradik. Ibu dan ayahku sudah tiada beberapa tahun lalu.

Aku mempunyai seorang kakak sulung dan dua orang abang. Semua adik-beradik aku telah berkahwin tetapi hanya abang ketiga sahaja yang belum. Dia telah mempunyai teman wanita tapi nampak seperti tidak berminat untuk mengahwini wanita tersebut.

Untuk pengetahuan semua, wanita tersebut tua 6 tahun daripada abang aku. Apa yang menjadi tanda tanya kami sekeluarga apabila mereka sentiasa kemana-mana bersama-sama sedangkan masih belum ada ikatan yang sah.

Abang aku juga macam tidak ada langsung perasaan malu bercampur gaul dengan keluarga wanita tersebut. Allahuakbar.. kami ke yang kolot? kemana dosa dan pahala?

Kami semua pernah bertanya kemana hala tuju hubungan mereka? Pihak wanita telah bersetuju membantu jika abang aku tidak mampu. Wanita tersebut dan keluarga dia baik orangnya. Bagi aku, dia bersungguh-sungguh sukakan abang aku.

Abang aku boleh dikategorikan tinggi lampai, berkulit cerah, bibir merah dan raut wajah yang menarik. Wanita itu pula berbadan gempal dan manis wajahnya. Kami sekeluarga memang tak kisah siapa pilihan abang. Janji mereka mempunyai ikatan yang sah.

Tapi masalah sebenarnya adalah berpunca daripada abang aku. Bila wanita tersebut ajak kahwin dia bagi alasan nak tunggu kaya baru nak kahwin. Yakinlah bahawa selepas kahwin macam-macam rezeki Allah SWT akan berikan.

Bila bapa saudara aku tanya bila mereka ingin mendirikan rumahtangga, abang aku bagi alasan tengah tunggu tawaran kerja di luar negara. Lupa aku ceritakan, abang aku seorang eksekutif berjawatan tinggi di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota.

Pernah sekali aku betul-betul kecewa. Rumah aku dan teman wanita abang aku berdekatan sahaja. Cuma berbeza daerah. Sewaktu arwah ibu aku meninggal, abang aku sanggup daripada ibu kota boleh datang berpuluh kilometer untuk menjemput wanita tersebut pulang ke kampung bersama.

Aku pula terkial-kial bersama anak kecik dan suami. Tak dijemput kami pulang bersama. Suami aku memang tak pandai nak menggunakan jalan pintas ke kampung seperti abang aku. Aku sampai lewat daripada mereka sampai jenazah pun dah siap dikebumikan.

Jiran-jiran pula bertanya bila abang aku kahwin? kenapa tak dijemput? semua orang ingat abang aku akan pulang bersama aku. Aku malu. Bila aku ingat balik peristiwa ini hati aku betul-betul panas.

Kami sekeluarga buntu. Jika tanya bila nak kahwin, bermacam-macam alasan diberikan. Jika kami masing-masing cuba tidak ambil peduli, rasa sedih melihat mereka seperti tergantung tanpa ikatan.

Lagi-lagi bila kami melihat wanita disamping abang aku. Dia sangat setia dan baik. Nasihat dan teguran sudah diberi pada abang aku. Hatinya sangat keras.

Aku rasa sangat pelik kenapa abang aku berperangai begitu. Bukan tidak ditegur, bukan tidak dinasihati. Jika abang dan teman wanitanya terbaca, aku mohon, berikanlah kata putus buat kami. Kami tak suka cara kamu yang sangat bebas kemana berdua.

Jika kamu berdua masing-masing serius, percepatkanlah urusan untuk berkahwin. Masing-masing sudah mempunyai kerja bagus, gaji, rumah, kereta yang bagus. Kami sekeluarga memang dah buntu bagaimana nak ditegur,nak dinasihati lagi. Apa pun, kami sentiasa doakan mereka cepat-cepat kahwin.

Ikhlas daripada adikmu,

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *