Hai, sebenarnya tak tahu nak mulakan penulisan ini macam mana, setelah sekian lama meninggalkan dunia penulisan terasa macam kekok pula hendak dimulakan.
Buat para pembaca nukilan atau luahan saya pada hari ini, boleh panggil saya ‘adik’ ye kerana ini adalah kisah dan luahan seorang adik buat abangnya.
Saya bahasakan diri saya di dalam confession ini sebagai aku supaya pembawaan cerita saya pada kali ini terasa santai sahaja.
Sebagaimana tajuk penulisan aku, aku serba sedikit ingin bertanya hal-hal berkaitan adik beradik terutamanya untuk anak lelaki.
Aku dibesarkan di dalam keluarga yang ramai, tidak perlulahku sebut aku anak ke berapa dan berapa bilangan adik beradikku. Hanya perlu diketahui, aku merupakan anak yang tengah, tidak di hadapan dan tidaklah bongsu.
Keluargaku sebuah keluarga sederhana bak kata masyarakat sekarang golongan B40.
Tidaklah susah dan tidaklah senang bak kata orang dulu-dulu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tetapi tidaklah perlu bercatu makanan kerana aku juga sudah bekerja dan sedang membina kerjaya sendiri.
Berbalik pada cerita tadi, aku mempunyai seorang abang. Puas aku memikirkan samada mahu bertanya pendapat atau tidak tetapi makin dipendam makin hati aku gusar dan aku risau menjadi luka yang amat dalam.
Abang aku berumur lewat 30-an sudah bekerja dan berkahwin tetapi belum dikurniakan cahaya mata.
Ada beberapa perkara yang membuatkan aku tidak berkenan dengan sikap dan perangai dia.
Pertama sekali sudah tentu aku tidak suka dia merokok. Aku ada seorang anak buah yang masih kecil, selepas dia merokok di luar rumah, dia terus masuk ke dalam rumah dan terus memegang anak buah aku.
Dalam hati hanya tuhan sahajalah yang tahu betapa geramnya aku. Mesti korang pelikkan kenapa aku tak tegur. Salah satu puncanya adalah mak aku.
Mak aku selalu pesan, adik beradik jangan bergaduh, tetapi bagi aku ayat itu membuatkan aku terasa mak aku lebihkan abang aku dan inilah puncanya aku menyampah dengan abang aku.
Sudahlah tidak boleh ditegur nanti melenting dan merajuk macam dunia ini sahajalah untuk dia.
Mak aku pula selalu suruh jaga hati abang aku sorang ini. Aku pun peliklah, kenapa ya anak lelaki memang kena hormat macam raja ke? Padahal paling tak berfungsi.
Belum lagi nak minta tolong seribu satu alasan diberikan. Tapi kalau disuruhnya kita buat macam-macam boleh pula.
Belum lagi masa makan sama-sama disuruhnya itu ini, dia lupa ke aku pun tengah makan, dia punya malas memang another level. Kadang pelik juga kenapa tidak disuruh isterinya sahaja yang ambilkan.
Rasa sakit hati tetapi tidaklah aku kurang ajar dengan dia, aku cuma bermonolog dalam hati sahajalah mengomel sorang-sorang yang aku sorang je dengar.
Kalau bab makan pun satu hal, dulu dia bukan kisah pun siapa punya makanan ke tidak, yang dia tahu buka peti ais nampak apa-apa makanan dia nak dengan selambanya dia makan. Kalau ditegur melenting macam paling tidak bersalah.
Teringat kakak aku dia simpan makanan dia dalam peti ais kalau tak silap coklat, kesian kakak aku tengok-tengok coklatnya tinggal pembalutnya sahaja.
Aku tahu ramai je berdendam dengan abang aku tetapi sekarang ini masing-masing sudah dewasa dan boleh berfikir.
Belum habis lagi bab makan, aku tak tahu mana silapnya, abang aku ada beli rumah berdekatan rumah mak aku.
Lupa aku nak cakap aku belum berkahwin dan tinggal dengan mak aku. Disebabkan itu, kerap jugalah dia akan ada dirumah ini dan kerap jugalah lauk rumah ini tidak cukup.
Kalau nak kira berapa kali dia belanja kami, jarang sangat boleh kira pakai jari berapa kali je dia belanja kami tapi itu pun tak pasti samada duit dia atau siteri dia.
Tapi takpelah bab ini aku tak ambik peduli sangat kalau dia belanja barang basah pun aku dah gembira tapi itulah…
Keluarga aku kan golongan B40. Bukan kedekut ye kawan-kawan, tetapi sama-sama beringatlah yang ada dekat rumah ini ramai.
Kalau setiap bulan ada hulur angpau ke dekat mak ayah aku takde lah aku ralat sangat. Ini satu sen pun tidak diberi, malah meminta pinjam lagi adalah.
Kesian aku tengok mak aku bila abang aku nak pinjam duit. Aku harap dia pulangkanlah duit itu.
Nak kata abang aku kerja tak bagus tetapi kerja bagus dah, pendapatan bulanan tetap, kereta hebat-hebat, rim dan aksesori kalau boleh nak tukar setiap bulan. Haishh, dunia-dunia.
Dia baik cuma sikap dia yang orang tak boleh tahan, aku jadi tak gembira bila dia ada dekat rumah ini dah macam parasit.
Ada satu masa itu dia guna mesin basuh mak aku nak dibasuhnya baju-baju dan segala pakaian dia yang tebal-tebal, kau rasa tak beragakkan.
Aku yang duduk rumah mak aku pun sebersalah nak guna mesin untuk basuh benda-benda tebal macam itu, paling-paling pun korbankanlah sikit duit pergi dobi baru RM10.00 je.
Kesian mak aku dah satu hal nak kena betulkan mesin itu. Masa dapat tahu itu, hati aku rasa panas je Cuma fikir abang je kalau tak sudah dibahasakan sahaja lelaki tua ini.
Lagi yang aku tak gemar, sesuka hati masuk bilik tak ketuk dulu pintu. Bagi aku perkara ini sangat kurang ajar dan tidak sopan.
Iya lah, masuk bilik perempuan tanpa ketuk pintu dulu, mana nya masa itu aku tengah tukar pakaian ke kan dah satu hal.
Jenis aku bukan suka kunci pintu sebab bilik itu bukan bilik aku seorang. Jadinya, korang-korang yang tengah baca ini tolonglah ajar anak-anak lelaki dan perempuan adab-adab yang dah termaktub di dalam ajaran islam sejak dari kecil,
Sebab nanti dah besar nak tegur pun susah pastu lama-lama nanti jadi tabiat yang sukar dibendung dan sangat berbahaya serta sukar untuk dicegah.
Lupa pula, kan tadi aku ada cakap dia tinggal berdekatan rumah mak aku, jadinya memang keraplah dia ada dekat rumah aku. Rasa macam nak pindah duduk dekat tempat lain tapi memikirkan mak aku, aku gagahkan diri redha dengan keadaan.
Sampai orang ingat aku ini macam orang tak betul sebab asyik terperuk dalam bilik je. Kadang-kadang itu aku lagi suka keluar seorang-seorang dari duduk dekat rumah yang buat aku panas.
Kadang-kadang aku rasa aku ke yang bermasalah dalam keluarga. Mana taknya sebab aku je yang paling jarang nampak di rumah walaupun aku ada tapi macam takde.
Lagi pula aku bukan ada sesiapa nak luah masalah aku, lagi-lagi dalam keluarga walaupun keluarga aku ramai tapi aku tak pernah meluahkan perasaan aku sebab aku tahu keluarga aku macam mana. Tahpelah bab ini nanti aku cerita nanti-nanti kalau ada masa.
Berbalik kepada abang aku, aku perasan yang abang aku ini suka cakap besar dan suka menunjuk dekat orang luar yang dialah terpaling berfungsi. Sikit-sikit nak tayang dekat media sosial kalau dia ada buat sesuatu pekerjaan yang membanggakan.
Bagi aku, aku mampu senyum sinis je sebab dah tahu perangai dia yang ‘terpaling’ itu.
Kalau dalam keluarga besar lagilah orang akan puji-puji dia sebab dikatakan dia lah yang terpaling baik dan berfungsi. Takpe macam biasa aku hanya mampu diam dan senyum sinis je dari tepi.
Satu lagi cerita sedih yang aku akan ingat dan dendam sampai bila-bila, suatu haritu tayar kereta aku pancit dekat tepi highway waktu malam dan jalan lengang. Aku telefon dia nak minta tolong apa yang patut, sebab aku tak tahu nak buat apa.
Kau tahu apa dia cakap masa aku telefon dia “call lah orang lain, abang tak boleh datang esok kerja” wei kalau kau dalam situasi ini, kau tak kesian ke dekat adik kau yang sorang-sorang tepi highway dengan tayar pancit dan dalam ketakutan padahal dah dekat dengan kawasan rumah.
Nasib baiklah aku memang rapat dengan seorang sepupu aku ini, kau tahu tak dia dengan suami dia sanggup datang semata-mata nak tolong aku dan selesaikan dari A sampai Z. Terharu betul waktu itu dan dalam masa yang sama kecewa teramat dengan darah daging sendiri.
Satu lagi, bab barang-barang orang lain di dalam rumah ini. Aku cukup tak puas hati, dia kalau boleh nak jimat duit sampai sanggup guna barang orang lain untuk kepentingan sendiri. Kita punya susah-susah cari duit tapi senang-senang je dia nak guna barang kita.
Ada satu masa itu, kereta dia ada je elok parking berbumbung ye, yang kereta aku ini elok je kena terik matahari tapi sibuk nak guna kereta aku padahal kereta dia lagi elok.
Alasannya malas nak keluarkan kereta, masa itu hati aku dup dap dup dap rasanya menahan kemarahan. Bukannya aku tak tahu dia nak jimat minyak dengan tol. Lepas itu kalau aku tak bagi dikatakan kita kedekut.
Aku bukan kedekut cuma risau dan jenis jaga barang sendiri lagi-lagi jenis barang yang nak pakai lama macam kereta. Lagi satu, aku tahu cara dia guna barang-barang kita macam mana berhemat atau tidak.
Dia jenis bawa kereta laju dan main langgar je bonggol tanpa simpati dekat kereta kita. Belum bab penghawa dingin kalau boleh nak tercabut dah kipas kereta aku. Aku takde tempat nak mengadu, kalau diluah mati mak dan ditelan mati bapak.
Aku cerita ini bukannya aku benci cumanya kadang sikap seseorang boleh mempengaruhi perwatakan kita. Aku lebih kerap marah-marah dan jadi suka terperap dalam bilik sahaja sehinggakan timbul perasaan seronoknya kalau tiada sesiapa yang ganggu. Tenang betul rasa.
Abang aku bukanlah jahat yang level pengganas yang membunuh, tetapi sikap dia buat mental aku terbeban dan sakit sebab memendam dan akibatnya dia adalah seorang manusia yang membunuh aku secara senyap-senyap sikit demi sikit.
Aku harap kepada yang membaca nukilan aku ini diharapkan boleh beri kata-kata semangat dekat aku samada patut aku pindah atau masih tetap tinggal di rumah yang aku anggap sudah tiada seri ini lagi.
– Adik (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit