Abang Berbaju Jingga

Lokasi : Universiti Islam Antarabangsa, tahun 2004 & 2006.

“Aliah, aku sakit perut sangat ni.” Tangan saya memegang perut yang sedang sakit.

“Kau pergilah bagitau committee in charge bagitau kau sakit perut. Aku tengok ramai yang ke tandas macam kau”. Aliah menasihati saya, mungkin dia risau melihat saya terlalu kerap ke tandas.

“Baiklah, aku pergi bagitau” balas saya dan laju saya mengatur langkah ke meja urusetia. Rupanya ramai yang sakit perut macam saya, jadi saya terpaksa beratur untuk ke kaunter urusetia. Semasa beratur saya melihat seseorang sedang meninjau-ninjau ke arah saya. Saya terpaku dan malu sendiri.

“Perasan! Takkanlah abang tu tengok aku.Eh, itu macam abang baju jingga hari itu,” bisik hati saya.

Sungguh saya terlalu malu untuk berdepan dengan dia, saya menukar barisan dan beratur di kaunter yang lain untuk mengelak berjumpa dengannya.

Kaunter itu dijaga oleh dua orang kakak senior, dan saya lebih selesa melaporkan kepada mereka. Giliran saya telah sampai, dan saya melaporkan kesihatan saya kepada urusetia tersebut.

“Tunggu sekejap di sana, kamu akan dibawa beramai-ramai ke klinik. Nanti ada committee yang akan tolong bawakan. “ Jelas salah seorang kakak senior itu.

Beberapa minit kemudian,

“Ahmad, tolong bawakan mereka ni boleh? “ tanya kakak senior kepada urusetia yang bertugas.

Saya menunduk malu dan berselindung di sebalik rakan yang lain “Alamak! Itu abang baju jingga. “ saya mengomel sendirian.

Kami dibawa ke klinik oleh abang berbaju jingga tersebut. Klinik tersebut di dalam kampus universiti sahaja. Oleh kerana kami pelajar tahun pertama, kami tidak arif tentang selok-belok kawasan kampus dan abang berbaju jingga bertanggungjawab untuk membawa kami ke klinik.

Rupa-rupanya kebanyakkan kami yang sakit perut itu terkena keracunan makanan. Kami diberi ubat dan direhatkan daripada mengikuti aktiviti riadah pada petang hari.

Abang berbaju jingga setia menunggu kumpulan kami sehingga selesai berjumpa dengan doktor. Semasa saya keluar dari bilik doktor, saya lihat sahabat yang lain telah balik ke dewan dan hanya saya yang tertinggal.

Abang berbaju jingga datang menyapa saya,

“ Awak boleh balik sendirian kan? Saya pergi dulu ya. “

Saya menggangguk faham dan senyum sahaja sedangkan sebenarnya saya tidak tahu pun jalan untuk pulang ke dewan. Maklumlah, pelajar baru! Tambahan pula,kawasan di universiti agak besar dan saya mungkin boleh tersesat.

Kelibat abang berbaju jingga semakin hilang. Saya samar-samar mencari jalan ke arah dewan. Agak jauh saya berjalan namun saya masih di sekitar kawasan yang sama.

Semua bangunan nampak sama sahaja bagi saya. Menyesal rasanya tidak mahu mengaku tidak tahu jalan tadi. Ego dan malu tidak bertempat saya ini.

“Adik pelajar taaruf ya, sila ikut akak ke dewan, program dah nak mula.” Seorang kakak menegur saya.

Lega sekali saya kerana akhirnya saya dapat pulang ke dewan.

******************************************************************************

Hari berlalu, minggu taaruf bagi pelajar baru sudah tammat, saya pun sudah mula masuk ke kelas. Semasa perjalanan ke Kuliah, saya kerap kali terserempak dengan abang berbaju jingga. Kadangkala kami berselisih dan dia pasti akan memberi salam.

“Assalammualaikum.” Lembut sekali dia menyapa saya.

Saya tertunduk malu dan tersenyum simpul. Segan apabila tiba-tiba dia datang menyapa. Rasa berdebar-debar pun ada.

Saya berlalu pergi tanpa menjawab salamnya.

Keadaan itu berlarutan sehingga saya habis tahun pertama. Saya kerap terjumpa dengan abang berbaju jingga. Dia tetap akan menyapa dan memberi salam setiap kali kami terjumpa.

Terasa aneh sekali kerana kami sering berselisih. Setiap kali berselisih, abang baju jingga yang akan menegur saya dahulu.

Reaksi saya tetap jua sama, hanya tersenyum dan tertunduk malu serta cepat-cepat mengatur langkah ke kelas untuk menghadiri kuliah. Saya meninggalkan abang berbaju jingga itu terpinga-pinga.

“Baya, abang kau!” sengaja Aifa mengusik saya semasa melihat abang berbaju jingga itu berlari ke arah saya.

“Kalau dalam satu hari terjumpa orang yang sama sampai tujuh kali, kemungkinan dia adalah jodoh la tu!” sahabat saya Alina tambah mengusik saya. Saya keliru dan malu, tidak tahu hendak memberi reaksi apa dan bagaimana.

Bohonglah sekiranya saya kata saya tidak tertarik padanya. Dia sangat berbudi bahasa orangnya. Saya memerhatikan dia selalu berhenti dan menyapa sahabat-sahabatnya serta bersalaman setiap kali dia berjumpa rakannya.

Saya pula amat pemalu orangnya. Segan hendak memulakan bicara dengannya. Saya beranggapan dia seorang yang peramah dengan semua orang agaknya.

Mungkin dia mencari peluang untuk berkenalan dengan saya dan akhirnya dia berjaya menemui dan mesej saya di laman Friendster. Kami mula berkenalan dan berbual ringkas sahaja.

Perbualan kami terhenti di situ dan saya tidak membalas panjang perbualan itu.

Setahun berlalu, dia pun sudah habis belajar di universiti. Tiada lagi abang berbaju jingga yang akan terserempak dengan saya.

Suatu petang, saya sengaja duduk di cafe di mana kami selalu terserempak dan berharap dia akan lalu. Walaupun saya tahu dia sudah habis belajar namun saya masih mengharapkan agar dapat berjumpa dia lagi.

“Assalammualaikum” suara lelaki itu seperti saya pernah dengar.  Saya menoleh dan melihat susuk tubuh abang berbaju jingga ! Dia benar-benar di hadapan saya. Saya tersenyum gembira dan menyahut salamnya.

“Waalaikumussalam”.

“Awak apa khabar?, saya datang ni ambil transkrip peperiksaan akhir saya. Alhamdulillah, saya sudah bekerja sebagai PTD”.

Eh, saya tak bertanya pun apa-apa, memandai sahaja dia bercerita perihal pekerjaannya. PTD tu apa pun saya tidak tahu.

“Baguslah, semoga maju jaya! Saya balik dulu!”

Sekali lagi saya meninggalkan abang berbaju jingga terpinga-pinga. Saya sendiri tidak pasti kenapa saya bertindak begitu, gemuruh agaknya bertentangan mata dengan dia.

Malam itu, saya mendapat pesanan ringkas di telefon bimbit

“Will you marry me?”

Eh, biar betul abang berbaju jingga ini?! Kenal pun tidak, tiba-tiba ajak saya kahwin?

Aneh.

Setelah difikirkan sebenarnya saya tidak pun tahu tentang dia dan keluarganya. Malah kegemaran dia pun saya tidak tahu langsung cuma yang pasti, dia seorang budak yang baik.

Saya memberikan jawapan balas.

“Kalau betul awak serius, jumpalah ayah saya dahulu. Minta izin ayah saya.”

Dia benar-benar serius nampaknya, dia datang ke rumah saya dan meminta izin dengan ayah saya.

Bila mana kita dah jumpa orang yang kita yakin dia baik dan boleh jadi suami kita, tak perlu ragu-ragu lagi untuk terimanya.

– Mawar Nafastari (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *