Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat yang bukan beragama Islam. Terima kasih kepada pihak admin IIUM Confessions yang sudi menyiarkan artikel aku yang tidak seberapa ini.
Aku ingin berkongsikan suatu sosok yang pada penghematan aku sendiri, memang seseorang yang hebat bahkan dihormati dek keilmuan serta akhlak yang dimiliki.
Sosok tersebut tak lain tak bukan merupakan abang kandungku sendiri. Siapa lagilah yang ingin bercerita mengenainya melainkan adiknya sendiri?
Aku bukanlah dengan sengaja mahu memuji, mengangkat dia sebagai seseorang yang disegani atas sebab dia abang kandungku sendiri melainkan bagi aku ianya memang layak pun untuk dipuji serta disegani.
Tiada siapa pun pernah menyangka bahkan bapaku sendiri pun akan martabat abangku yang diangkat di dalam kedudukan kemuliaan sehinggakan disegani oleh sebahagian orang lain.
Malahan, jikalau disoroti kembali kisah silamnya yang penuh dengan kegelapan.. hampir 90% manusia tidak akan mempercayainya!
Ianya bermula tatkala abangku telah berhenti sepenuhnya (total abstinen) daripada penyalahgunaan barang terlarang sekitar 5 tahun dahulu.
Kemudian, dia mulai berhenti daripada merokok sehinggalah dia istiqamah di atas jalan perubahan yang 360 darjah tersebut sehinggalah sekarang ini.
Di antara amalan-amalan kebaikannya yang aku perasan adalah dia tak pernah meninggalkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran setiap kali lepas Subuh dan Maghrib.
Kemudian diiringi pula dengan zikir pagi dan petang yang sahih dari sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri.
Waktu itu adalah ketika dia bekerja sebagai penghantar insurans, cukai jalan dari rumah ke rumah. Sehinggalah dia menggunakan duit gaji yang telah dikumpul itu untuk menyambung pelajaran pula di dalam bidang agama.
Semenjak dia bergelar mahasiswa, antara amalan tersembunyinya yang aku sedari ketika ‘mamai’ adalah dia akan bangun 2 jam sebelum menjengah waktu Subuh.
Rupa-rupanya dia seringkali mengerjakan solat malam yang di mana ianya ternyata mengangkat martabat seseorang Muslim serta antara asbab doa mudah dimakbulkan.
Allah Ta’ala juga mengurniakan suara yang merdu kepada satu-satunya abangku tersayang tu. Dia juga sering memberikan nasihat kepadaku di dalam menjalani kehidupan di atas dunia yang penuh dengan pancaroba ini.
Oh ya! Abangku walaupun agak ‘arif di dalam ilmu agama, dia jarang sekali ingin ‘menunjuk’ seperti salah satu caranya ialah dengan kerap memakai jubah serta serban sebagaimana asatizah, pelajar-pelajar pondok yang lain.
Dia hanya memakai ketika ingin mengajar di masjid sahaja. Itu pun jarang-jarang sekali.
Aku sangatlah ingin mengesyorkan kepada mana-mana gadis akan abangku tersebut bagi menamatkan zaman bujangnya itu.
Demi jiwaku di dalam genggaman Allah, aku berani ‘promote’ abangku itu setelah berulang kali menimbang tara.
Jikalau perkongsianku ini mendapat sambutan yang hangat, ingin sekali aku berkongsikan pula bagaimana dia berdepan (adapt) dengan kekecewaan di dalam percintaan terdahulu yang mana rata-ratanya adalah gadis dari negara seberang sana.
– Bongsu Manjahh (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit