Assalamualaikum pada semua pembaca yang disayangi Allah. Maafkan saya jika confession ini sedikit panjang untuk anda semua membacanya.
Saya Kakak dari selatan tanah air. Berumur hampir 30-an. Saya ada empat adik yang semuanya perempuan. Saya kakak, anak pertama. Seperti di tajuk, saya ingin luahkan tentang abah saya serta ibu saya secara amnya.
Latar belakang keluarga abah ialah keluarga yang senang ada banyak tanah. Adik beradik abah kebanyakannya kerja gaji besar-besar. Latar belakang keluarga ibu pula ialah keluarga yang serba kekurangan.
Ibu dan abah dijodohkan oleh orang tua mereka dan dijodohkan kerana masing-masing merupakan anak yang paling tidak pandai dalam keluarga mereka. Ibu cantik orangnya. Abah biasa-biasa saja.
Walaupun abah berlatar belakangkan keluarga yang senang, tetapi abah belajar sampai sekolah rendah sahaja kerana abah anak bongsu yang kurang kasih sayang ayahnya. Arwah atuk iaitu ayah kepada abah pergi menghadap Ilahi semasa abah kecil.
Orang kata, ibu beruntung kahwin dengan anak orang senang. Dapat tinggal di rumah besar iaitu rumah yang kududuki sekarang yang telah banyak rosaknya dan dimakan anai-anai. Tetapi hanya Allah sahajalah yang tahu derita ibu. Ibu banyak mengalirkan air mata dirumah ini.
Dari saya kecil saya selalu perhatikan abah. Abah meninggi suara pada arwah emaknya, iaitu nenek saya. Abah tak jaga arwah nenek semasa nenek sakit. Ibulah yang basuh kencingnya, tadah muntahnya.
Abah malas bekerja walaupun abah boleh menoreh getah kerana dibelakang rumah saya ada kebun getah yang sekangkang kera.
Abah kerja bawa lori. Tetapi selalu ponteng dengan alasan kencing manis. Tak larat. Abah main nombor ekor. Sudah dinasihatkan tetapi tidak diterima. Jadi ibulah yang membantu abah.
Saya dan adik-adik membesar sebahagian besarnya dari hasil titik peluh ibu menoreh getah dan sebahagiannya dari hasil tak berkat nombor ekor abah. Selalu saya nampak abah minta duit ibu setelah ibu jual getah torehannya yang hasilnya tidak seberapa.
Ibu selalu menangis. Jika hujan turun lagi sedihlah ibu merenung kebun getah dibelakang rumah dari tingkap. Bila mendung ibu risau. ”Doakanlah hujan tak turun kakak..” kata ibu padaku dengan linangan air mata.
Abah tidak solat manakala ibu seorang yang menjaga solatnya. Abah solat kadang-kadang jika ada orang datang rumah atau menginap di rumah orang. Abah tidak pernah mengajar saya solat.
Tidak pernah mengajar saya walau satu pun huruf jawi. Abah tidak puasa dan abah berani makan terang-terangan di hadapan anak-anak abah yang masih kecil di bulan Ramadan.
Kami lima beradik semua pernah melihat tetapi buat-buat tak perasan kerana takut untuk menegur. Ibu turutkan kehendak abah. Ibu sediakan makanan untuk abah walaupun hati ibu sakit.
Abah juga mengatakan bahawa dia suka sangat ada anak perempuan kerana jika anak lelaki tanggungjawabnya besar. Perlu diajar ke masjid. Abah selalu kutuk anak lelaki orang kencing di masjid.
Ibu juga mengatakan bahawa semasa ibu dan abah baru berkahwin abah selalu kata mahukan anak perempuan. Katanya anak perempuan senang dijaga. Dan ditakdirkan.. kami semua perempuan.. Abah tidak tahu betapa beratnya menanggung anak perempuan..
Saya iri hati dengan kawan-kawan dan sepupu-sepupu yang ayahnya boleh menjadi imam solat. Abah selalu merasa diri pandai.
Semasa saya kecil, saya selalu melihat abah memaki-maki ibu. Dikatanya ibu bodoh dan sebagainya. Sememangnya ibu seorang yang lambat faham sesuatu perkara.
Kerana semasa saya kecil banyak yang telah saya lihat tentang abah dan ibu, personaliti saya telah terbentuk menjadi seorang yang tegas.
Saya bersekolah agama dan saya belajar banyak salah yang telah abah lakukan. Saya nekad untuk tegur abah kerana saya tidak sanggup sesuatu yang buruk berlaku pada abah kelak di akhirat.
Walaupun saya tahu abah tidak boleh ditegur tetapi saya mahu cuba.
Bagi saya, saya seorang kakak kepada adik-beradik yang tiada lelaki jadi saya perlu berjiwa kental. Saya berasa bertanggungjawab untuk memberi teguran kepada keluarga jika ada salah. Jika tidak, siapa lagi yang boleh diharapkan.
Beberapa tahun lepas kaki abah bisul. Hampir dipotong kerana kencing manis. Ibulah yang banyak menjaga abah. Abah hanya berbaring diatas katil masih belum boleh berjalan. Suatu hari yang menyedihkan.
Ibu kemalangan. kaki ibu patah. Maka saya lah sebagai kakak perlu menggantikan tempat ibu. Adik kedua di universiti. Adik ketiga sehingga kelima masih bersekolah. Saya terpaksa berhenti kerja sementara kerana tiada siapa boleh diharapkan lagi.
Mujurlah ada bantuan zakat dan jkm serta adik-beradik abah dan ibu yang ikhlas menghulur. Hari-hari saya ulang-alik dari hospital ke rumah yang memakan masa 45 minit. Saya mandikan ibu, saya mandikan abah. Tiada siapa yang kurang dan tiada siapa yang dapat lebih perhatian dari saya.
Setelah setahun abah mula boleh berjalan menggunakan tongkat. Abah mula solat akhirnya setelah sekian lama. Tetapi solat abah tidak penuh. Jika ada yang keluarga kami inginkan, kami semua akan berpesan-pesan untuk sama-sama berdoa dalam solat.
Apabila doa itu dimakbulkan, abah lah yang pertama berkata, ”alhamdulillah.. walaupun solat tak penuh tapi doa abah makbul.”
Abah selalu cakap mengenai agama dengan orang lain. Abah sudah mula menjadi penasihat orang lain. Mengingatkan orang lain tentang bersyukur. Menegur orang lain tentang agama.
Apabila ada yang terlajak subuh ke pukul 7, jika abah sembahyang subuh, dengan bangga abah berkata, ”nanti kubur terbakar”. Tetapi abah masih tidak solat penuh 5 waktu. Kadang-kadang abah tidak solat langsung seharian.
Dan abah masih menunjukkan seakan-akan dirinya penuh keimanan. Abah sudah menunjukkan yang dia merasakan dirinya lebih baik dari orang lain.
Abah boleh bawa motor walaupun pakai tongkat. Selalu abah tidak pulang pada waktu mahgrib sehingga habis waktu. Abah duduk dikedai makan berbual-bual dengan kawan-kawan.
Walaupun abah pulang waktu mahgrib, abah tetap tidak solat mahgrib. Jika pulang kerumah, dan ada yang dia tidak puas hati dengan kawan-kawannya, abah mula bercerita keburukan kawan-kawannya kepada ibu.
Abah seorang yang boleh bercakap 3 jam tanpa henti. Susah nak potong cakap abah. Ibu lah yang selalu menadah telinga.
Dalam adik beradik saya, saya lah yang selalu menegur abah. Kerana ibu sudah tidak boleh menegur lagi. Abah tidak terima.
Ibu seorang yang lembut. Saya pulak seorang yang tegas. Tapi hati saya tidaklah setegas cara saya. Hati saya selalu sayu jika melihat abah berjalan memakai tongkat.
Kerana ketegasan saya abah tidak mahu mendengar langsung teguran saya. Baginya saya tidak layak untuk menegur dia. Abah beri saya amaran jangan sampai jadi anak derhaka.
Beberapa hari yang lalu, abah pulang diwaktu mahgrib, abah mahu memukul kucing saya dengan penyapu lidi kerana kucing bergaduh.
Kerana dulu abah pernah memukul kucing saya yang lain menggunakan penyapu lidi dengan sangat kuat sehingga matanya sedikit berdarah, saya cuba untuk mengambil penyapu ditangan abah kerana tidak mahu perkara yang sama berlaku lagi.
Abah bulatkan matanya dan berkata kepada saya sambil pegang penyapu, ”Kau binti siapa?! Kau jangan sampai jadi anak derhaka! Aku boleh cederakan kau tahu tak? Kau fikir tak?”. Ayat yang masih jelas di telinga saya sampai hari ini.
Terkejut saya dan sedihnya hati saya mendengarnya. Saya cuba pegang tangannya untuk meminta maaf tetapi ditepis. Berkali-kali saya cuba. Dan abah mengugut saya untuk membuat laporan polis.
Bila ibu saya dan adik-adik saya yang melihat menegur abah, abah kata mereka telah dihasut oleh saya. Sedangkan mereka menyaksikannya sendiri.
Saya mengaku, saya bukan anak yang baik. Saya tegas dengan abah mungkin tak sesuai. Saya memilih menjadi tegas kerana ibu sudah menjadi lembut. Nampaknya abah sudah tak sukakan saya. Saya tanya abah, adakah abah terima teguran yang baik dari saya.
Katanya tidak. Baginya saya tidak layak menegur. Dari kata-katanya, abah seperti mengharapkan supaya saya dapat bakal suami yang tidak baik. Saya mahu pergi dari rumah. Tetapi ibu perlukan saya disisinya. Ibu kata saya permata hatinya..
Saya tak sanggup tinggalkan ibu menahan hati dan bersedih sendirian di rumah. Saya mohon pada pembaca, doakan saya kuat serta dapat jodoh yang baik ya. Saya takut harapan abah menjadi kenyataan.
Terima kasih kerana sudi membaca. Semoga pembaca sentiasa sihat dan gembira.. Assalamualaikum.
– Kakak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit