Achalasia Cardia

Assalamualaikum, saya amat gembira sekiranya admin menyiarkan cerita ini dengan harapan saya dapat berkongsi kisah penyakit saya dengan orang awam sebagai satu ilmu.

Saya ingin berkongsi tentang kisah saya sebagai penghidap ‘Achalasia Cardia’ sejak saya berumur 15 tahun lagi. Simptom pertama yang saya alami adalah gangguan menelan yang makin berlarutan menjadi teruk.

Sebelum tu, secara ringkasnya apa yang saya faham tentang penyakit ini adalah gangguan pada hujung saluran pemakanan (esofagus) yang menyempit dan menyukarkan makanan untuk masuk ke perut.

Untuk info yang lebih lanjut, boleh cari di laman web yang memaparkan tentang info ini.

Mengikut carian saya, penyakit ini sangat ‘rare’ di Malaysia.

Saya masih ingat lagi ketika itu saya sedang menduduki peperiksaan awal tahun dan diserang demam selama seminggu lebih. Saya alami batuk berkahak yang amat teruk dan lebih teruk lagi berat badan saya turun mendadak.

Paling menyedihkan apabila sampai suatu saat segala titik air yang saya minum semuanya muntah.

Saya boleh bayangkan umpama ada bola golf yang tersekat di tekak. Pernafasan saya juga terasa kurang stabil dan semput seperti salur pernafasan saya terasa sempit.

Simptom yang juga saya alami adalah muntah semasa tidur. Boleh jadi saya perasan saya muntah waktu tidur dan terus pergi ke tandas ATAU bangun daripada tidur terlihat sisa makanan melekat di baju yang sangat banyak.

Sungguh hanyir baunya! Makanan yang masih belum tercerna dan juga makanan yang saya makan pada waktu pagi.

Paling teruk lagi apabila saya muntah, makanan tu ada sedikit daripadanya keluar melalui hidung dan terasa amat perit. Kalau sambal atau makanan pedas memang terseksa.

Disebabkan hal tu, saya tak boleh tidur flat. Saya perlukan bantal yang banyak di kepala ataupun tidur duduk.

Boleh dikatakan hampir setiap hari sampaikan saya rasa tak bermaya untuk ke sekolah. Tidur terganggu dan selera makan hilang

Kalau baring tengok tv sekalipun, makanan dan minuman yang saya makan akan keluar daripada hidung menitik – nitik.

Dari segi waktu makan pula, saya sering mengalami sesak nafas dan dada berasa ketat semasa menelan makanan yang sangat sukar untuk ditelan.

Lebih teruk lagi, saya perlu memuntahkan semua makanan yang saya makan hanya untuk menyelesakan tekak.

Secara jujurnya, setiap kali pulang sekolah saya akan menangis kerana melihat kawan saya yang boleh rehat dan makan seperti biasa walhal saya hanya duduk berdiam diri.

Saya rasa itu sahaja yang saya ingin kongsikan untuk coretan kali pertama ini.

Saya berharap jika ada di antara pembaca confession saya ini mengalami simptomp sedemikian, eloklah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin kerana risiko kerosakan esofagus akan bertambah dari masa ke masa.

Sekian, terima kasih.

– Aira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *