Ada Apa Dengan Aku

Assalamualaikum salam hormat… Di keheningan malam ini, aku mahu meluahkan sesuatu yang tidak sepatutnya dibaca oleh mereka yang mahu berjaya, kerana kisah aku ni tidak ada perkara yang harus dicontohi.

Namun aku mahu menulis di sini kerana masih dahagakan nasihat, komen dan doa untuk aku melompat bangun berlari dan terbang tinggi meninggalkan kekelaman silam. Jika ada yang nak kecam silakan untuk aku rasa sedarlah dari khayalan.

Aku ibu tunggal dengan sepasang anak yang berada di sekolah rendah. Duduk di rumah ibu ayah.. disebabkan dulu aku suri rumah jadi kini aku tidak bekerja.

Status tidak bekerja ini menjadikan aku bagaikan biawak hidup. Menumpang dan masih bersandar pada ibu ayah dengan duit pencen dan sumbangan adik beradik yang lain.

Ya, jangan tak tahu perempuan janda juga ada yang malas macam biawak hidup. Aku boleh bangun lewat tak subuh biarkan anak mengadap handphone di waktu cuti berjam dan aku tidur. Sebab aku tidur lewat melayan handphone juga…

Jadi atuk neneknyalah yang akan siapkan sarapan, makan tengahhari, makan petang malam… Benda ni aku dapat rasakan sangat tak wajar tak waras melepaskan tanggung jawab menjaga anak kepada ibu ayah yang sudah dimamah usia…

Ibu akan leter aku melampau… Banyak kali leteran pedasnya hinggap di telinga dan aku rasa bersalah malah rasa hina diri kenapa aku ni teruk sangat.

Aku tak normal kah. Oku kah. Mental gila kah. Malas ya amat…. Sampai kan tempat tidur tak berkemas, tandas berkulat, sampah berulat… Aku buat tak tahu..

Bila aku lihat hidup orang lain dari perkongsian di media sosial. Ya ampun jauh sangat aku ketinggalan dan tak ada pencapaian.

Jadi, aku ada penyakit rendah diri untuk berhadapan dengan kawan atau saudara kerana tiada apa benda menarik untuk aku ceritakan.

Malah aku dapat rasakan mereka yang pernah jadi rakan sekelas tak pandang dah aku ni. Pandang jijik barangkali.

Yelah dengan malas aku ni nampak selekeh jelah duduk rumah atau keluar. Jika pergi kenduri pun rasa macam ada pandangan yang rasa kenapalah jemput aku yang selekeh ni.

Aku ok je jika keluar baju tudung berkedut, muka tak mekap. Mesti orang malu jika nak kawan rapat dengan aku kan…

Lagipun aku tak ada benda menarik atau hebat nak ditayang jadi untuk apa nak suka aku. Sedih kan aku tak ada kawan. Kawan aku paling best sekarang ni anak aku jelah.

Aku kena jadi kawan best untuk anak aku sebab mereka pun tak ada kawan best.

Sudahlah sepupu dan saudara belah ayahnya tak ambil kisah tentang mereka, mereka tersisih dengan atuk nenek sebenar belah ayah untuk merasai suasana bersama kerana aku tak izinkan.

Keluarga mereka toksid walaupun macam warak. Bekas suami kaki dadah kecewa gila.

Sebenarnya orang boleh juga sangka aku warak atau zuhud sebab aku bertudung labuh saiz xxl. Aku juga pernah rasa perasan bagus sebab suka tudung labuh dan hairan dengan mereka yang tak rasa bersalah tudung saiz s tersembul dada.

Tapi, aku malu sendiri sebab aku kaki tinggal solat, malas teramat bab masak. Tapi sayang teramat pada ibu ayah dan anak anak. Mereka bagai nyawa yang andai tiada tak sanggup rasanya..

Ada apa dengan aku… Dengan hidupku begini aku rasa kalau negara diperintah oleh sesiapa pun parti aku tetaplah tak berubah.

Negara atau dunia dah macam2 perubahan. Dengan kemodenan dan kehancuran akhlak permainkam syariah penunggang agama penunggang syaitan…

Dunia yang hina jika meletakkan dunia di hati lupa akhirat.

Aku yang sering tinggal solat, berkahwin dengan ahli maksiat kerana aku juga ahli maksiat… Pakai tudung labuh!

Mereka yang jaga solat, juara tilawah, guru kelas agama tudung pendek je. Ni yang konon bertudung labuh ada yang nampak mata je tapi rupanya hati kotor, nampak salah orang dan benci orang gila dunia.

Betul ada yang kata jangan tengok luaran… Tengok hati dan akhlak… Berjubah beserban berniqob belum tentu ahli Syurga jika mulutnya kuat cerca.

Jadi, ada lah satu kelebihan aku ni. Sabar… bayangkan aku boleh sabar tak pernah marah bertahan lima tahun dengan suami tak bertanggungjawab kaki segala dosa besar kecuali membunuh.

Mungkin ada juga kebaikan dia sebagai suami dan ayah tapi bila cerita dari sebelah pihak ni malas nak ceritalah bab baik tu…

Persoalan sekarang…. Ada apa dengan aku di usia 30an masih tak cukup simpanan nak buat umrah… Daftar Haji pun belum. Umur berapa agaknya dapat rezeki tu…

Dah nak menyimpan duit mana kalau tak bekerja. Aku ni bila buat kerja sikit kepala tak fokus, lemah dan kerja banyak terbengkalai.

Kerja rumah je pun bukan kerja dengan orang. Jadi teruk kan aku ni mesti orang yang sangat berusaha berdikari rajin dan berjaya capai sejuta pertama tak boleh tengok orang pemalas macam ni…

Hantar ambil anak sekolah tu adalah tapi nak semak kerja sekolah mereka pun aku tak buat… Jadi, aku harapkan cikgu je…

Ingat lagi masa pdpr tahun lepas tertekan betul aku nak sempurnakan tugasan cikgu pada anak murid… Gagal rupanya nak buat sekolah dari rumah. Jadi bab mengaji pun mereka masih merangkak.

Aku ada niat sangat nak anak jadi soleh solehah, hafiz hafizah, tapi dengan kemampuan dan diri ibu ayah anak ini yang tunggang langgang bagaimana nak realisasikan impian tu… Orang lain dah hantar anak sekolah tahfiz…

Sedih la fikir sendiri, tolong fikirkan untuk aku… Minta maaf andai ada yang tergurus dan tersedak baca cerita aku ni… Aku ni rendah diri sebab ada apa dengan aku.

Nak jadi baik, nak rajin, tapi…. Dah usia sebegini masih melemah lagi… Masih bersedap nak tidur lama agaknya mati nanti boleh bersedap ke di alam barzakh…

Aku bukan tak doa… Niat yang baik selalu ada… Tapi masih di takuk lama. Maafkan aku, lupakan aku…

Semoga kalian terus sahaja cemerlang dan biarkan aku dengan caraku. Jangan diganggu walaupun kau tak bagi nafkah anak aku tak tuntut sebab aku belajar reda jadi miskin. Jika ada lebih aku sedekah.

Ada apa dengan aku. Ada Allah yang baik walaupun aku tak baik.

Terima kasih semua.

– LaraMajnun (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *