Ada Apa Dengan Ayah

Seperti orang lain, aku juga punya ayah yang aku panggil abah. Namun tak seperti orang lain, aku tidak punya kenangan manis dengan abah.

Memang benar tiada. Kosong.

Pernahkah abah memelukku erat-erat dengan kasih sayang? Adakah abah memujiku tiap kali aku tertib berperilaku atau tidak buat perangai?

Banggakah abah apabila aku lancar membaca pada usia 6 tahun walau aku tidak berpeluang belajar di taman didikan kanak-kanak-kanak? Semua ini aku tidak tahu dan aku tidak ingat apa reaksi abah.

Kerana aku hanya seorang budak kecil pada ketika itu, mana mungkin aku boleh mengingati dengan jelas.

Jika aku tidak memiliki kenangan dengan abah, mengapa aku mencuba berkongsi kisah aku dengan abah di dalam segmen IIUM Confession ini? Kerana aku rindu. Aku rindu dengan abah.

Jika pembaca-pembaca semua tertanya-tertanya tentang penceritaanku ini, abahku berada nun jauh di Pulau Borneo semasa aku lahir.

Emak dan adik beradikku yang lain ditinggalkan di Semenanjung. Semua itu atas tuntutan kerja abah. Pada waktu itu, abahku seorang anggota tentera yang ditugaskan di perbatasan negara di Negeri Sarawak.

Dalam setahun hanya beberapa kali sahaja abah balik ke rumah. Itupun bukan suatu cuti yang panjang. Membesarlah aku dalam dakapan dan perhatian emak.

Kala rakan-rakan lain menjalani kehidupan harian bersama kedua ibu bapa, situasi aku berbeza. Tiada aktiviti yang menyeronokkan dengan abah.

Tiada siapa yang membawaku untuk solat di surau berhampiran. Tiada siapa yang memastikan kelakuanku akan menepati norma karektor seorang lelaki.

Aku cuma ada emak. Emaklah duniaku. Namun aku bahagia begitu dan tidak pernah mempersoalkan keadaan

Di rumah emak masih ada tersimpan gambar-gambar lama kami sekeluarga. Ada gambar percutian kami di Bukit Bendera, Pulau Pinang.

Aku berdiri jauh dari abah sambil mencebik muka. Emak kata, aku baharu sahaja dimarahi abah sebelum gambar dirakam.

Abah marah kerana aku berlari ke tengah jalan raya sebaik sahaja sampai ke hotel penginapan. Abah bimbang percutian bertukar duka jika aku kemalangan.

Setelah menyelesaikan tugasan di Pulau Borneo, abah kembali ke Semenanjung. Kali ini abah ditempatkan di sebuah kem tentera di Seremban, Negeri Sembilan.

Bertahun abahku di sana. Emak dan anak-anak masih di rumah yang sama di Kuala Lumpur. Aku tidak tahu sebab apa emak tidak menuruti abah untuk tinggal bersama di kem tersebut.

Yang aku ingat setiap bulan, emak akan membawaku mengambil wang nafkah di sebuah kem tentera di Kuala Lumpur. Itulah waktu yang menyeronokkan. Emak akan membelanjaku permainan ataupun manisan sebagai upah menemaninya.

Atas sebab-sebab tertentu dalam perhubungan suami isteri, abah memutuskan untuk berkahwin lain. Sekaligus abah dan emak berpisah.

Sejak itu abah tidak menjenguk kami adik beradik lagi.

Alasan apa abah berbuat demikian, tidak pula aku mengerti. Itulah kali terakhir aku bercakap dengan abah dan masa itu aku di dalam Darjah Satu. Hubungan yang terputus tidak pernah dibaiki sama ada usaha kami adik beradik ataupun abah.

Sama ada abah ada denganku atau abah tiada, aku tidak berasa apa-apa. Aku langsung tidak cemburu dengan rakan-rakan lain.

Yang paling aku tidak suka, ada pula guru kelas yang memerliku apabila kad laporan persekolahanku tidak pernah ditanda tangan oleh abah.

Menghukum tanpa memeriksa. Pada aku, kisah aku dibesarkan oleh emak tidak perlu aku bercerita kepada orang lain kerana ia hanyalah kisah duka lara yang menyakitkan.

Tahun ini sudah masuk tahun yang ke-15 abah kembali ke alam barzah. Aku tiada bersama abah di saat-saat pengakhiran hidupnya. Berita pemergian abah hanya aku ketahui setelah jasad abah ditanam.

Mak Long yang memberitahuku. Mak Long adalah kakak sulong kepada abah. Aku hanya sempat menziarahi kubur abah sehari selepas itu. Aku ulang ziarah pada tahun hadapannya bersama anak-anakku.

Aku sekarang sudah semakin menua. Sudah 51 tahun usiaku. Anak-anak makin meningkat dewasa. Dan kenangan-kenangan lalu muncul satu-satu. Aku tidak berjaya mencipta kenangan dengan abah, jadinya aku rindu.

Jika masa boleh berputar semula ke waktu yang lepas, mahu aku wujudkan momen-momen indah dengan abah. Mahu aku leraikan egoku.

Walau abah meninggalkanku, aku patut mencuba memulihkan hubunganku dengan abah. Agar aku dapat mengingati abah, dapat ingat wajahnya, dapat merasai hangatnya rangkulan abah.

Ya Allah, ampunilah aku. Begitu banyak khilafku, begitu besar kejahilanku.

Abah, moga ada kesempatan untuk kita bertemu di syurga, insha Allah.

Nukilan,

– Shahriza MS (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *