Aku tinggal dalam kejiranan sebuah bukit di Selangor. Semasa kecil dulu aku dibesarkan dalam suasana kejiranan yang rapat di perumahan teres. Bertegur sapa, saling mengenali dan bergaul mesra. Itu cerita masa kecil.
Apabila berkeluarga sendiri, aku mendekati jiran-jiran dengan cara aku diajar sejak kecil, iaitu dengan sapaan dan senyuman. Solat berjemaah dan majlis ilmu di surau aku sertai walaupun belum konsisten. Begitu juga mengikuti aktiviti kejiranan di taman apabila tiada komitmen lain.
Aku ringankan mulut untuk bertegur dan bersembang dengan jiran sekeliling, sama ada pertemuan pertama ataupun berkali-kali. Paling kurang, senyuman dan isyarat lambaian tangan dibuat.
Ada jiran yang menyambut baik dan mahu berkawan. Ada yang seolah-olah malu dan was-was nak berkawan. Ada yang jawab sepatah dan diam kembali.
Malah ada jiran yang umpama lupa yang aku pernah berborak rancak dengannya sebelum ini. 70% respons yang diterima agak suam-suam kuku untuk aku melangkah kepada hubungan jiran yang simbiosis.
Aku suka perhatikan kedudukan jiran apabila mereka hadir majlis tertentu. Mereka lebih gemar duduk berhimpit-himpit dengan inner circle sendiri walaupun ada ruang masih luas di tempat lain. Yang kurang dikenali dan kurang pengaruh, duduklah tanpa teman di sisi.
Aku cuba santuni lebih rapat dengan jiran paling dekat. Pun begitu, harapan aku dan isteri untuk memiliki jiran seperti fasa kami dibesarkan dahulu tidak menjadi kenyataan.
Malah, seorang jiran terdekat pernah berkelakuan buat-buat tak kenal walaupun aku dan isteri duduk bersebelahan meja dengannya di kedai makan.
Aku cek diri sendiri, adakah aku dan isteri ada masalah penampilan diri yang tak disukai? Adakah kami jenis yang suka mengumpat dan menyakitkan hati orang?
Adakah kami yang sombong yang tidak menyapa atau menyantuni mereka? Setelah muhasabah diri, akhirnya kami cuba bersangka baik dengan apa jua respons kejiranan yang diterima.
Dalam pada itu, aku perhatikan orang-orang yang berpengaruh/ ramai kawan/ ada jawatan persatuan biasanya diberikan terlebih perhatian.
Contohnya, kalau golongan ini mesej dalam grup sembang pasti ada sambutan mesej yang menggalakkan. Walaupun mesej cetusan hanya hal yang remeh.
Lain pula keadaannya kalau yang memulakan mesej di grup sembang adalah orang yang kurang dikenali atau kurang pengaruh.
Kadang-kadang langsung tiada mesej yang bersambut walaupun isu yang diutarakan isu yang penting. Senario sebegini juga kelihatan di FB, ramai like dan komen kepada ciapan inner circle mereka sahaja.
Pernah satu masa, kecoh pasal ramai penduduk taman yang tak bayar yuran keselamatan penduduk sehingga pengawal keselamatan sulit untuk digajikan.
Kebetulan aku dapat tengok senarai penduduk yang tak bayar. Ada yang bertahun lamanya tak bayar. Malah antara defaulter adalah orang yang berpengaruh di dalam taman dan ada yang disanjung atas sumbangan pada komuniti.
Namun, aku tak nampak teguran diberikan secara terus terang dalam grup oleh orang-orang kuat persatuan yang juga sahabat rapat sebahagian defaulter yuran.
Tak nampak usaha keras persatuan untuk menuntut bayaran daripada mereka. Di mana keadilan kepada pembayar konsisten yuran? Aku lunaskan yuran kerana memikirkan ada perut yang perlu diisi dan aku tidak mahu zalim kepada orang sedemikian.
Kadang-kadang hati makin panas apabila melihat mesej ‘geng jiran yang ada pengaruh’ menegur dan membesarkan kesilapan orang lain dalam grup sembang.
Kalau mereka yang membuat onar seperti buat pembakaran terbuka yang menyesakkan nafas jiran lain dan mengotorkan laman rumah, banyak pula hujah kononnya untuk membersihkan kebun tanaman mereka.
Orang kuat persatuan dan aktivis human right (yang lantang bersuara kepada orang di luar inner circle sahaja) hanya mendiamkan diri seolah-olah memberi restu apabila berlaku senario begitu. Adakah mereka berada dalam sindrom penafian yang teruk?
Begitu juga bila ada aduan tentang isu kucing atau parking kereta. Kesemua mesej yang dicetuskan mendapat sambutan berbeza bergantung pada pengaruh orang yang memulakan mesej.
Seolah-olah grup sembang di wasap atau telegram ditubuhkan untuk menyantuni perbualan antara jiran-jiran yang selektif sahaja.
Tambah memanaskan hati, tak kelihatan pula aduan terbuka dibuat oleh yang berpengaruh jika pelaku atau pencetus isu daripada geng mereka sendiri.
Baru-baru ini ada seorang jiran yang dijangkiti Covid-19 dan berkuarantin di rumah. Dia isi google form persatuan penduduk sebagai pemakluman. Katanya kepada aku, tak perlu rasanya dia uar-uarkan dalam grup sembang penduduk mahupun FB atau IG.
Seminggu sebelum itu, seorang jiran lain yang dijangkiti segera disantuni dengan bantuan makanan asas oleh persatuan penduduk. Asbab dia berkongsi cerita di FB dan mungkin juga dia seorang yang ada pengaruh di taman.
Melalui ciapan di grup sembang, persatuan penduduk digambarkan aktif memberi bantuan asas kepada jiran yang terkesan Covid-19 tanpa prejudis.
Namun, untuk jiran yang berkongsi cerita itu, tiada sebarang bantuan yang diterimanya sehingga tamat kuarantin.
Bukanlah dia terlalu berharap dengan bantuan itu, cuma dia berasa kecewa dengan sikap selektif sebahagian jiran. Pada aku pula, perasaan terkilan kepada kejiranan taman semakin bertambah.
Aku cuba bersangka baik barangkali google form yang dihantar jiran itu tidak menembusi emel orang kuat persatuan kerana masalah teknikal IT.
Barangkali kebetulan kesemua ajk terlepas pandang. Mereka pun ada tugas hakiki, apatah lagi mereka tidak dibayar gaji untuk kerja-kerja persatuan.
Namun ia masih tidak menyedapkan hati aku tentang sikap pilih bulu dan sikap selektif yang kerapkali ketara kelihatan sepanjang aku tinggal di sini. Sememangnya ada masalah yang perlu dibetulkan. Denial syndrome perlu disedarkan.
Jadi, aku dan isteri berusaha buat beberapa ketetapan. Setiap kali ada isu yang melintas, kami cuba menjauhkan diri untuk mengulas selagi ia tidak ada kena-mengena dengan kami.
Jika ada sedikit kaitan, kami mengelakkan untuk melayan sebarang provokasi di grup sembang, diam itu lebih baik.
Disebabkan mengikut pesan agama dan pesan orang tua tentang kepentingan hidup berkomuniti, kami cuba sebaik mungkin terus menyantuni jiran walau apa jua sambutan yang diterima sebelumnya.
Kami cuba mencipta alasan untuk bersangka baik dengan apa jua respons kurang senang yang diterima. Kami akan meningkatkan hubungan harmoni dengan jiran yang sudi dan ikhlas berkawan dan berjiran.
Ketetapan terakhir yang dibuat adalah dengan jalan meluah di ruang ini. Mana tahu ia dapat memberikan sedikit kesedaran dan memanjangkan sekelumit manfaat.
Aku masih ingat pesan mak tentang pentingnya hidup berjiran kerana ada masanya kita memerlukan jiran apabila diuji sesuatu oleh Tuhan.
Aku betul-betul berharap semangat kejiranan yang tulin akhirnya berjaya direalisasikan. Doakan aku semoga terus berupaya mencipta alasan untuk bersangka baik dengan layanan kurang menyenangkan daripada jiran setaman.
– BNS (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit