Assalamualaikum semua. Saya baru setahun mendirikan perkahwinan dan sedang mengandung trimester ke-3. Berkahwin pada umur awal 20an, suami akhir 20an.
Pertama sekali, maaf kerana menghantar confession masalah rumahtangga dan hal dewasa di sini. Saya berfikir bahawa menulis di platform ini adalah lebih baik berbanding menulis di group KRT yang penuh dengan makcik pakcik bawang yang pendapat mereka tidak berapa membantu.
Sepanjang setahun perkahwinan kami ini, suami amat jarang menyentuh dan memenuhi nafkah batin saya. Berlainan dengan suami isteri normal lain di luar sana, di mana isteri menghadapi masalah nafkah zahir tetapi tidak batin, lain halnya dengan masalah saya.
Beberapa isteri lain di luar sana, suami mereka culas bab nafkah zahir tetapi batin memang on time. Saya pula, nafkah zahir Alhamdulillah suami cukupkan tetapi batin saya tidak terjaga dan terbiar.
Normal bagi pasangan yang baru berkahwin untuk selalu bersama dan berkasih sayang tetapi sedihnya suami hanya menyentuh saya beberapa kali sahaja sepanjang berumahtangga ini. Saya hanya mendapat sekali selang beberapa bulan. 2 kali jika bernasib baik.
Setelah saya hamil, suami makin jarang melaksanakan tanggungjawabnya. Yang terakhir kali adalah pada 3 bulan lepas.
Saya ada bertanya jika terdapat apa2 masalah tetapi suami menafikan dan menggantung saya tanpa penjelasan. Suami sihat dan ‘straight’ tetapi agak lemah. Saya tidak kisah. Tetapi mungkin dia malu dengan diri sendiri.
Masalah menjadi makin berat (bagi pihak saya) bilamana saya mendapat tahu bahawa suami melayan video2 tidak senonoh di internet. Hati saya sangat sakit.
Dia mempunyai saya sebagai isteri yang sah dan halal untuk melayaninya tetapi kenapa memilih untuk tidak mempedulikan isteri dan melihat benda haram orang lain? Suami tidak tahu bahawa saya sedia maklum yang dia melayani benda2 buruk di internet.
Perkahwinan merupakan ladang pahala tetapi saya berpendapat bahawa perkahwinan kami ini hanya banyak menambah dosa. Saya ada mengajak dan memujuk suami apabila berkehendak tetapi ditolak mentah2 beberapa kali sehingga saya menjadi tawar hati. Saya menjadi malu sendiri.
Adakah suami tidak lagi mahukan saya kerana fizikal saya yang berubah disebabkan kehamilan ini? Adakah dia takut jika akan terjadinya apa2 kesan ke atas saya dan kandungan?
Normal untuk lelaki (walaupun berdosa sebenarnya) untuk menonton video2 tersebut tetapi tidak normal bila ada yang sah depan mata tetapi boleh buat tak tahu. Pelik kan bila singa tak terkam mangsanya untuk makan?
Saya sudah buntu untuk menyelesaikan masalah ini. Disebabkan mendapat penolakan mentah2 beberapa kali, saya sudah senyap dan lebih banyak memendam perasaan sendiri.
Saya juga manusia normal yang bernafsu. Saya berkahwin salah satunya untuk menyalurkan nafsu di jalan yang betul tetapi kenapa jadi sebegini? Saya sangat menjaga diri sebelum bernikah untuk suami tetapi tidak berfungsi setelah menjadi isteri.
Adakah saya boleh meminta suami melepaskan saya atas sebab kehendak batin saya yang tidak dapat dia penuhi? Saya berasa sunyi dan kosong. Terkadang syaitan ada menghasut untuk membuat dosa di belakang tetapi Alhamdulillah saya masih lagi ada iman, tahu mana baik dan buruk.
Jangan suruh saya untuk fokus beribadah kerana saya telah lakukannya. Apa guna ada suami depan mata tetapi saya hanya boleh lihat dan pandang tanpa melakukan apa2? Baik saya tidak perlu kahwin. Sama sahaja.
Berapa banyak kali saya rasa menyesal dengan perkahwinan ini. Saya tidak tahu fungsi saya sebagai isteri. Lebih kepada pembantu rumah kerana saya tidak bekerja. Jadi segala kerja rumah, memasak, mengemas rumah, saya yang lakukan.
Saya tidak tahu sama ada saya mahukan nasihat ataupun sokongan. Saya hanya ingin suami saya berperanan seperti suami normal di luar sana dan saya ingin meluah segala yang terbuku. Saya tidak mahu mengaibkan suami dengan menceritakan perkara dalam bilik ini kepada orang yang dikenali.
Keluarga dan rakan2 fikir kami adalah pasangan suami isteri yang normal tetapi sayang, itu hanyalah pada nama dan atas sijil nikah sahaja. Kehidupan kami berdua sama seperti housemate kawan2 bukannya suami isteri.
Adakah terdapat isteri lain di luar sana yang menghadapi masalah yang sama dengan saya? Masyarakat dan agama banyak menekankan tanggungjawab isteri dalam melayani suami.
Berdosa jika menolak tanpa sebab tetapi suami boleh pula melakukan perkara tersebut terhadap isteri tanpa dikecam oleh masyarakat dan agama? Adakah isteri tidak mempunyai nafsu? Adakah isteri hanya barang atau tempat untuk suami melepaskan kehendak tetapi tidak sebaliknya?
Kami masih tidur di satu tempat yang sama tetapi berjarak dan mempunyai bantal atau sesuatu di tengah yang menambah jarak antara kami. Suami yang tidak berapa mahu saya mendekati dia.
Isteri tidak normal,
– Pn. Lebah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit