Ada Penawarkah Untuk Masalah Dalaman?

Sebelum tu saya nak ucapkan terima kasih kepada admin atas kesudian untuk post luahan ini. Moga pandangan dan lontaran yang positif daripada kawan-kawan membantu saya untuk membuat langkah baru.

Saya perkenalkan diri saya sebagai Anne dan berusia awal 30 an. Saya merupakan seorang gadis yang ceria apabila berinteraksi dengan kawan-kawan sekerja dan pada masa yang sama saya mempunyai satu masalah yang sukar dikawal,

Iaitu selalu tidak tenang, cemas, gugup yang sukar dikawal apabila berhadapan sesuatu tugasan yang tidak biasa dilakukan ataupun apabila perlu bercakap di hadapan khalayak atau individu berlainan jantina.

Apabila berhadapan dengan masalah ini, tangan dan kaki saya automatik akan berpeluh dan menggigil.

Otak saya seolah-olah di “block” seperti tidak mampu berfikir. Dan untuk maklumkan saya juga mempunyai masalah HIPERHIDROSIS sejak sekolah rendah lagi.

Kalau di sekolah, selalu sahaja kertas kajang (untuk menulis essay/karangan) bagi sesuatu matapelajaran akan basah sehinggakan guruku akan memikirkan kertasku berminyak dan kadang kala memberi kesan kepada penulisan yang telah dihasilkan kerana menjadi comot.

Berbalik kepada masalah saya kini, apabila usia saya semakin meningkat saya cuba untuk memberanikan diri untuk berkenalan dengan berlainan jantina di platfom cari jodoh dengan tujuan untuk mendirikan rumah tangga. Namun hati tetap berbolak balik untuk berkenalan.

Dan sehinggalah saya berkenalan dengan seorang guru yang baik adab dan tuturnya. Asalnya saya ingin menolak, namun guru tersebut dengan bersungguh- sungguh cuba mencari nombor ibu bapaku untuk meminta izin berkenalan denganku.

Dan bermulalah episod perkenalan. Dipendekkan cerita, saya bersetuju untuk menerimanya sebagai pasangan hidup dan kami telahpun bertunang.

Namun situasi saya sekarang semakin dalam keadaan membimbangkan, hampir setiap hari saya akan menangis apabila memikirkan saya bakal berkahwin, hati saya ingin namun luaran saya seperti memberontak.

Tatkala tunang, tangan saya berpeluh-penuh sehinggakan menggigil, malah seperti ingin jatuh terhuyung hayang kerana terlalu berdebar. Saya sukar mengawalnya dan sedih dengan keadaan saya.

Bukan sekadar itu, saya juga merasakan serba tidak kena dengan apa sahaja yang saya telah lakukan.

Seperti contoh, saya telah membeli kain yang bakal dipakai di majlis nanti, namun setelah beli saya rasa menyampah dengan citarasa saya. Saya rasa fed up sehinggakan menangis yang sukar dikawal.

Saya tidak pasti apa masalah saya. Saya rasa berseorangan itu mungkin lebih menenangkan. Ingin melihat wajah sendiri dicermin pun saya rasa rendah diri apatah lagi membayangkan pakaian seperti itu dipakai kelak.

Selalu sahaja fikiran negatif menjengah, dan suatu hari saya menyatakan hasrat kepada ibu bapa saya untuk tarik diri daripada pertunangan ini asbab ketidakstabilan saya namun kata ibu,

“Andai kata dia adalah jodohku, akan ada jalan kemudahan, andai dia bukan pasti akan ada halangan..”

Namun jawapan ini melemahkanku. Saya terbayang andai saya melakukan perkara yang memalukan ibu bapaku di majlis kelak, itu lebih menyakitkan. Gambar pertunangan pun satu pun tidak lagi saya lihat demi menjaga emosi dan kestabilan.

Risau andai ia seperti menjadi trauma siang dan malam andai dilihat. Dan mungkin sayalah antara insan yang mungkin untuk tidak menghulurkan tangan ketika salam (pembatalan wudahu) dlm majlis nanti.

Bayangkan bertunang pun dah menggigil seluruh tubuhku apatah lagi yang bakal menyarungkan adalah seorang lelaki. Mungkin sesetengah orang akan fikir mengada-ada @ gedik apabila melihat video2 pernikahan seperti itu tapi kita tidak pernah cuba memahami masalahnya.

Jadi, ada tak sesiapa yang mempunyai masalah seperti saya. Jujur ini bukan luahan mengada-ada@gedik tapi ini adalah hakikat panik yang saya hadapi.

Sejak bertunang saya akan elak untuk tengok mana-mana gambar perkahwinan @ pernikahan kerana ia akan mengganggu emosi saya (menangis dan menggigil) dan memberi kesan kepada pekerjaan saya.

Andai ada jalan keluar bagi menyelesaikan masalah saya, bantulah saya yang sudah kelelahan.

– Sis Anne (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *