Ada Tiga Ibu

Dalam hidup aku, aku ada tiga Ibu.

Yang pertama ialah Umi. Ibu kandungku.

Yang kedua ialah Mak. Ibu yang menjagaku selepas aku dilahirkan.

Yang ketiga ialah Ma. Ibu mertuaku.

UMI

Aku telah dilahirkan pada tahun 1980an oleh seorang wanita yang hanya aku tahu kewujudannya dengan jelas ketika umurku 21 tahun.

Sepanjang hidupku, aku hanya pernah berjumpa dengannya 2 kali iaitu semasa aku dilahirkan olehnya dan yang kedua semasa aku cuba menjejakinya pada umurku 22 tahun.

Pertemuan aku dengannya pada aidilfitri itu tidak sampai 1 jam, tapi cukup untuk buat aku tahu betapa banyaknya pengorbanan dia terhadap aku agar aku boleh membesar dengan aman dan tumbuh tanpa persepsi negatif masyarakat.

Umi melahirkan aku tanpa ikatan pernikahan akibat dikhianati dan akhirnya aku diserahkan kepada keluarga lain untuk dipelihara.

Asbab trauma, walaupun hanya aku yang dilahirkan olehnya, dia lupa akan tarikh melahirkan, malah katanya perasaan apa-apapun semua harus dibuang jauh kerana air matanya telah kering akibat peristiwa hitam itu.

Aku; hasil daripada peristiwa perit itu dihantar jauh-jauh daripada asalku agar aku boleh bina identiti baru, agar aku punya keluarga yang sempurna, agar aku punya masa depan yang lebih cerah.

Umi? Dia masih menyembuh dari trauma, masih lagi bangkit dari tohmahan masyarakat walaupun dia adalah mangsa, masih lagi takut dengan pandangan sinis manusia.

Aku selalu membayangkan pasti hatinya sakit dan pedih ketika berjumpa denganku semasa umurku 22 tahun.

Aku mengaku aku adalah anaknya, telah diberikan kepada seorang hamba Allah sebelum aku diberikan pula kepada Mak. Pada awal pertemuan aku sangka dia akan menghalauku, tapi tidak…

Dia menyambutku, berkelakuan tenang dan memegang tanganku sepanjang perjumpaan. Dia memandangku dan berkata; ‘Fahamkan kenapa makcik buat semua ini?”… Ya, makcik. Dia menggelarkan dirinya makcik.

Mungkin juga untuk mengusir kejanggalan jika tiba-tiba memanggilnya Mak atau Ibu atau apa-apa sahaja panggilan yang menunjukkan akulah zuriatnya, atau mungkin sekadar ingin menyekat sebak dan derita kembali bertaut selepas bertahun-tahun dia cuba lupakan segalanya.

Itulah kali terakhir aku bertemu Umi. Lebih 10 tahun berlalu, aku masih ingat akan raut wajahnya, alunan suaranya. Hampir semuanya sama seperti aku.

Jika dahulu aku tidak pernah memikirkan betapa sakitnya dia bertemu aku selepas bertahun lamanya, sekarang baru aku mula faham….

Pasti kehadiranku membuat jiwanya jadi goncang, emosinya jadi terumbang ambing, akalnya jadi hilang punca, hatinya pasti sekali remuk seremuk remuknya.

Hasil peristiwa hitam kembali datang menjengah, tapi dia, masih lagi seorang ibu. Tidak aku dihalau, tidak aku ditolak, tidak aku diherdik.

Telah dia berikan restu ke atas kehidupanku sejak aku lahir hingga akhir hayatku… Namun sebagai balasan restu itu, jadikanlah pertemuan itu pertemuan yang terakhir kalinya kerana katanya “dunia ini bukan untuk kita, syurga nanti untuk kita bersama”.

MAK

Ketika Mak mendapat aku, usianya telah mencecah 50 tahun. Anak-anak lain sudah dewasa, menginjak umur 20an kesemuanya. Hidup Mak susah, bukan orang senang.

Kalau aku buat kira-kira dan perincikan situasi Mak pada masa itu, jelas aku diambil dan dijadikan miliknya dengan niat ikhlas dan tulus, memegang anak kecil ini tidak beribu apalagi ayah, tiada siapa-siapa ingin membela nasib maka Mak ambil aku dan didik aku menjadi anaknya malah lebih lagi…

Dia tidak berpelajaran, tetapi akalnya luas dan terbuka, dia tidak bekerja dan hanya berharap pada suami (Abah) yang bekerja tidak tentu hasilnya kerana kerja kampung tetapi dia tetap mengambil anak ini jadi tanggungannya. Tidakkah itu semua bebanan kalau difikirkan?

Berkat didikan Mak dan Abah pada anak-anak yang lain, masing-masing hulur duit kepada Mak dan Abah semampunya untuk dipelihara anak yang baru diambil ini; Aku.

Susu yang aku minum ada hasil titik peluh abangku membasuh kereta, lampinku ada hasil abangku seorang lagi yang bekerja kilang di kota, manakala beg sekolah dan alat tulisku ada hasil kakak yang berdiri 12 jam di kilang berdekatan rumah Mak.

Bagaimana hati Mak begitu ikhlas itu menjadikan aku benar-benar rasa kerdil. Bagaimana Mak menyayangi aku sehingga dia pernah katakan dia sanggup memasukkan aku ke dalam rahimnya agar aku tidak merasa asing, agar aku tidak merasa kurang, agar aku tidak merasa berbeza…

Padahal kasih sayangnya sahaja telah terbukti cukup luas buat aku yang bukan darah dagingnya… Bagaimana harus aku balas jasa ini, sedangnya kasihnya ini menjadikan aku punya kehidupan. Sehingga ke hari ini, Mak sentiasa ada di sisiku.

Mak berkorban meninggalkan kampung halaman untuk sama-sama tinggal bersamaku agar aku dapat menjaganya dengan mudah.

Ya, aku yang menjaganya kerana aku sangat-sangat ingin menjaga Mak. Abang-abang dan kakak telah berpeluang menjaga Mak sebelum ini maka inilah peluang aku pula untuk berkhidmat kepada Mak.

MA

Pertama kali aku bertemu Ma adalah ketika pertemuan kali kedua dengan suamiku. Ma terus membahasakan dirinya sebagai Ma.

Ma tahu kesemua latar belakangku kerana suamiku (yang pada ketika itu adalah kawan dan masih dalam sesi berkenalan) telah menjelaskan segala-galanya. Ma terbuka dan menerimaku tanpa prejudis.

Selepas berkahwin, Ma banyak memberikan laluan kepada suamiku agar memberikan perhatian buat aku dan Mak. Ma selalu berbual-bual dengan Mak, menjadikan Mak amat sayang pada Ma.

Ma menjadikan suasana di rumah kami tidak sunyi di mana ianya sangat baik untuk Mak memandangkan usia Mak telah mencecah 80an dan perlukan teman berbual agar pemikiran tetap tangkas.

Ma, ibu yang amat aku kagumi. Bagaimana dia selalu memahami situasi anak-anak dan mengalah dengan anak menantu.

Bagaimana dia sentiasa mengingatkan aku dan suamiku agar menjaga Mak sebaiknya dan tidak merasa cemburu dengan besannya, malah dia menjadikan besannya seperti seorang kakak yang dia sentiasa ambil berat.

Bagaimana Ma tetap terus ceria biarpun kadang-kadang ada perkara buat dia terasa hati, tapi dia ambil masa yang singkat untuk segera menyejukkan hati sendiri kerana dia tahu, melalui redhanyalah anak-anak akan bahagia dan melalui restunya jugalah anak-anak dipermudahkan segala urusan.

Ma sentiasa mengingatkan kepadaku bahawa anak dan menantu sama sahaja, semua adalah anak. Disebabkan kasih sayang inilah, Ma sentiasa prihatin dan mudah risau akan anak-anak dan menantu-menantu. Ma selalu tidak mahu ada siapa-siapa rasa terpinggir.

Ma suka memuji setiap menantu kepada anak-anak dan menantu-menantu yang lain agar setiap ahli keluarga dapat melihat sisi baik setiap anggota dan saling sayang menyayangi sebagai adik beradik.

Biar Ma orangnya sederhana, tapi empati dan jiwanya besar. Aku amat-amat bersyukur punya ibu mertua yang amat memahami dan prihatin.

UMI, MAK DAN MA

Biar ketiga-tiga wanita ini berbeza, tapi ketiga-tiga mereka adalah ibu dalam hidupku. Hidup mereka penuh dengan pengorbanan perasaan dan jiwa serta kudrat untuk anak-anak.

Bagaimana indahnya Allah jadikan naluri keibuan itu sehingga menjadikan seorang insan mengetepikan kepentingan diri dan kehendak peribadi.

Bagaimana tangan mereka yang sudah tua itu, penuh dengan kedutan dan urat-urat tangan kejelasan, bahkan tangan mereka tidak kuat menggenggam lagi namun apabila tangan tersebut menadah tangan kepada Ilahi tiada permintaan mereka yang terhijab daripada Yang Maha Pencipta.

Setiap kali aku lihat wajah Mak dan Ma bila tesenyum atau ketawa walaupun kadang-kadang tiada yang lawak tetapi mereka tetap ketawa, pada saat itu aku rasa aku insan yang amat bertuah sekali Allah kurniakan kesempatan untuk menatap wajah sebahagia itu.

Dalam hati rasa mengalir satu kehangatan kasih dan terbit perasaan yang amat mendalam sekali, sehingga buat rasa berdosa atas ketelanjuran sikap, kata dan perbuatan terhadap mereka.

Saat mereka menadah tangan selepas solat, ku dapat rasakan keikhlasan dalam setiap titipan doa masing-masing buat anak-anak dan tidak mahu aku ganggu kekhusyukan itu.

Dan ini adalah 2 wanita yang telah menerima aku seadanya walaupun mereka tidak melahirkan aku tetapi aku jugalah anak mereka.

Umi… Biar jarak memisahkan, biar dunia membataskan. Aku adalah anakmu, satu-satunya anakmu.

Asbab pengorbananmu mengandungkanku dalam keadaanmu difitnah dan disalah sangka, asbab kekuatanmu melahirkanku, asbab bekalan doamu sejak aku kecil di mana Umi sentiasa mendoakanku memperolehi yang terbaik di dunia dan di akhirat, aku beroleh kehidupan yang baik.

Biarlah coretan ini jadi pelepas perasaanku, agar aku sentiasa mengenang jasa Umi, Mak dan Ma sehingga ke akhir hayatku.

– AI (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *