Adab Bila Pulang Ke Kampung

Assalamualaikum semua. Aku selalu jadi pemerhati manusia. Manusia termasuk aku memang takkan lari dari melakukan kesalahan, tapi kadang-kadang kesalahan yang dilakukan berulang dan tidak boleh diterima akal.

Benar, zaman sekarang ramai yang terpelajar, tapi ramai juga yang tiada “common sense”. Aku beri contoh situasi setiap kali balik kampung, tak kisahlah orang tua kandung atau mertua.

1. Bawalah buah tangan.

Janganlah datang melenggang. Sekurang-kurangnya belilah sesuatu yang boleh menggembirakan hati orang tua. Buah-buahan ke, songkok untuk abah ke, telekung untuk mak ke. Kalau balik untuk beraya, belilah biskut raya.

2. Belikan keperluan harian/barang dapur.

Sesekali balik tu, belilah stok barang dapur untuk mereka. Cek apa yang nak habis kat dapur tu. Barang kering barang basah. Ini tidak, balik bercuti habiskan beras kat rumah orang tua. Lepas tu balik rumah masing-masing, tinggallah orang tua terkontang-kanting.

3. Tolong masak.

Aku faham, ramai yang balik kampung nak merasa air tangan mak. Tapi kalau dah seminggu kat kampung, seminggu juga mak lah yang berhempas pulas kat dapur, anak menantu main order saja memang melampau. Kononnya nak rehat di kampung, penat dengan kerja.

Tak fikir pula mak yang berpuluh tahun kena jaga kebajikan anak-anak sampai ke besar. Terutamanya kepada anak dan menantu perempuan. Jangan bagi alasan, tak pandai masak, tak sempat nak masak sebab anak masih kecil dan macam macam lagi.

Kadang-kadang dalam hal ni, suami kena tegur. Kalau tak pandai masak, boleh bantu basuh pinggan, susun pinggan, buat air atau apa saja. Ini baru anak satu, dah bagi alasan tak boleh masak, nanti anak merengek. Habis tu, masa mak lahirkan 5 6 orang anak dulu, sapa yang masak? Atau hari-hari beli bungkus sebab mak tak sempat masak?

Ada setengah kes, bila time masak tak nampak batang hidung, bila time makan, dia muncul dulu. Lepas makan, tak basuh pinggan, tak tolong kemas. Aduh, mana pergi common sense?

4. Tolong kemas rumah/selenggara rumah.

Ringankanlah tangan tolong kemas rumah, basuh baju yang bertimbun. Lagi-lagi yang balik bawak anak-anak. Anak-anak pula jenis tak reti duduk diam, bersepah satu rumah. Banyak cerita yang aku lihat dan dengar sendiri, semua kerja si mak merangkap nenek yang dah tua yang kena buat. Lepas tu, kemaslah bilik, tengangkan cadar.

Sebelum anak-anak balik, mak ni berialah tukar cadar bagi, nak bagi anak selesa. Si anak pula, bangun tak pernah kemas katil, balik ke rumah masing-masing pun dibiarkan cadar terburai, selimut tak berlipat. Bilik macam tongkang pecah. Ini realiti ya.

Lagi satu, tanya juga pada mak abah, kalau ada kerosakan paip ke, longkang tersumbat ke, tolonglah perbaiki apa yang patut. Cek juga kenderaan, motor cukup anginke, kereta dah serviske. Ringankan sedikit beban mereka.

5. Jaga aurat/batas.

Ini pun ramai yang masih ambil mudah. Mungkin ada yang baru tahu, tapi sebab dah terbiasa, jadi malu nak ubah. Jangan malu. Benda wajib buat, jangan ada perasaan malu. Tegurlah kalau sayangkan suami isteri atau anak-anak.

6. Hulur wang.

Waktu nak salam sebelum masing-masing pulang, hulurlah sedikit wang. Percayalah orang tua ni kadang-kadang malu nak minta, walaupun mereka sendiri tengah takde duit. Ada juga yang masih mampu, jadi memang tak berharap pada anak, tapi hulurlah juga. Biarlah mereka merasa hasil kerja keras anak menantu sendiri.

Sekian saja dari aku, kalau ada penambahan, pandai-pandailah komen ya. Ingat, mak abah adalah syurga kita. Gembirakan hati mereka sebelum mereka menutup mata. Maaf jika coretan ini kasar atau buat sesiapa sahaja terasa. Aku hanya menulis berdasarkan pengalaman sekeliling.

Terima kasih.

– Si Manis Madu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *