Adab dan Adat Berziarah

Assalamualaikum admin. Terima kasih sudi membaca dan menyiarkan confession saya (harapnya sudilah admin post).

Harapnya para pembaca sudi membaca dengan hati yang tenang, juga sekiranya ada kekasaran bahasa di dalam post ini saya dahulukan dengan ucapan maaf terlebih dahulu, juga harap maaf sekiranya gaya bahasa atau tulisan saya kurang tersusun mahupun menarik.

Saya seorang pelajar dan berumur 22 tahun. Masih baru mengenal dunia dan tiadalah kesempurnaan pada diri saya melainkan hanya ingin menzahirkan teguran juga peringatan buat kita semua, terutamanya pada saya yang menulis ni.

Apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan pemerhatian saya dan ianya tidaklah menggambarkan keseluruhan masyarakat Islam kita bersikap sedemikian, namun mereka yang sedemikian tetap ada dalam kalangan kita.

Beberapa minggu yang lepas, saya sempat ke hospital bagi menziarahi saudara saya yang dimasukkan ke hospital. Keadaannya sudah agak kritikal, disebabkan itu ramai saudara mara yang lain datang berkumpul di hospital. Kejadian pada waktu tersebut adalah pada waktu petang sekitar  pukul 4 petang.

Alhamdulillah ramai saudara mara yang datang bagi memberi kata-kata semangat kepada keluarga beliau.

Namun, bila tiba waktu solat Asar yang hanya bergerak ke surau untuk solat hanyalah beberapa orang sahaja. Bagi yang perempuan mungkin ada yang uzur tapi yang lelaki? Keadaan ini berlarutan sehinggalah masuk waktu solat Maghrib berkumandang. Bahkan mereka yang lain begitu asyik berborak sehingga masuk waktu solat Isya’. Kita yang masih sihat, berusahalah untuk menjaga amal ibadah kita dengan sebaiknya, jangan ditinggalkan begitu sahaja. Ya saya tahu, saudara mara yang datang itu mahu tahu bagaimana keadaan beliau tapi cukuplah sekadar kita bercerita apa yang kita tahu. Sedih hati saya melihat anak-anak beliau membaca surah Yasin sedangkan saudara mara yang lain sibuk berborak. Seharusnya kita hormatilah keadaan ahli keluarga beliau yang tengah bersedih. Sekiranya kita mahu berborak, keluarlah dan carilah tempat yang sesuai.

Jadi apa yang saya nak sampaikan di sini adalah, sudah cukup bagus tindakan kita untuk datang menziarahi saudara kita yang sakit, memberi kata-kata semangat kepada ahli keluarganya yang lain, namun janganlah suruhan Allah kita abaikan. Sebaik-baiknya kita doakan kesejahteraan beliau apabila selesai kita solat. Tambahan pula, kita sudah berada di hospital dan surau pun tidaklah jauh mana, tidakkah timbul rasa keinsafan itu bila melihat keadaan saudara kita yang sedang menunggu ajalnya. Tidakkah kita mendapat pengajaran bahawa yang hidup itu pasti mati, yang sihat itu boleh jatuh sakit pada bila-bila masa sahaja dengan izin Allah? Tidakkah kita nampak bahawa amal ibadah kita itulah peneman kita ketika hendak bertemu Allah? Sebaiknya kita tunaikan solat dan minta kepada Allah untuk permudahkan bagi beliau menghadapi sakaratul maut mahupun kurniakan kesejahteraan pada kesihatan beliau.

Ya, tak semestinya kita boleh berdoa selepas solat sahaja tapi itulah yang sebaiknya. Apa yang penting, solat janganlah kita abaikan. Kita datang menziarahi orang yang sakit adalah untuk memberi pengajaran kepada kita, bahawa dugaan Allah terdapat dalam pelbagai bentuk dan salah satunya adalah badan yang tidak sihat. Kita ambillah pengajaran bahawa kita yang masih sihat tubuh badan ini haruslah memperbanyakkan amal ibadah kita, manfaatkan tubuh yang sihat ini pada jalan Allah.

Sekiranya kita nak berborak sekalipun, hormatilah ahli keluarga beliau. Lagi pula, waktu untuk berborak ni bila-bila masa pun boleh. Sebaiknya waktu yang sedang kritikal dan penuh kesedihan ini, kita sedekahkanlah bacaan ayat-ayat Al-Quran kepada beliau yang sakit, mohon doa agar Allah permudahkan bagi beliau. Mulut kita ini, makin banyak bercakap makin bertambah dosa melainkan kita bercakap perkara-perkara yang bermanfaat. Risau sekiranya cerita yang keluar daripada mulut kita mengenai beliau menimbulkan fitnah dan rasa kurang senang daripada ahli keluarga beliau. Manfaatkanlah waktu kita berziarah itu untuk berdoa sebanyak-banyaknya kerana mungkin pada waktu lain kita tak terfikir pun untuk mendoakan kesejahteraan beliau.

Saya melihat peristiwa begini seolahnya telah manjadi adat orang kita. Kita menziarahi orang sakit tapi solat kita tinggalkan begitu sahaja tanpa ada sedikitpun rasa insaf, kita lebih banyak berborak kosong berbanding mendoakan beliau yang sakit. Kita tidak menjaga adab berziarah bahkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dijadikan adat. Seharusnya dengan menziarahi mereka yang sakit, rasa keinsafan itu timbul untuk tetap taat kepada Allah dan iman yang lemah itu kembali kuat. Jagalah adab sewaktu menziarahi orang yang sakit.

Peristiwa begini, sudah berkali-kali saya alami dan saya mengharapkan agar saya dan pembaca sekalian dapat mengubah situasi begini. Di dalam peristiwa begini, saya pasti ada di antara kita yang bersikap sedemikian, ayuhlah kita ubah sikap tersebut. Seperti yang saya katakan tadi, kita menziarahi mereka yang sakit adalah untuk dijadikan pengajaran kepada kita. Tiadalah manfaatnya sekiranya sesudah kita menziarahi mereka tapi tiada satu perubahan pun yang berlaku pada kita yang mendekatkan kita kepada Allah swt, sebaliknya kita semakin leka dengan dunia.

Dan saya juga percaya, ada dalam kalangan pembaca yang sama sebagaimana saya bahkan jauh lebih baik berbanding saya. Ayuhlah sama-sama kita ubah situasi begini. Saya yakin, sekiranya kita sendiri yang sedang kritikal yang hanya menanti masa untuk dijemput bertemu Allah, apa yang kita harapkan adalah doa-doa daripada ahli keluarga, saudara mara, dan sahabat handai kita berbanding borak-borak kosong mereka.

Untuk makluman, saudara saya tersebut telah meninggal dunia setelah beberapa hari dimasukkan ke hospital. Saya mengharapkan agar para pembaca semua sudi untuk sedekahkan al-Fatihah kepada beliau. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Sekali lagi, saya minta maaf sekiranya ada kekasaran bahasa dan doakanlah agar saya diberi kefahaman dalam agama. Terima kasih.

– NA

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit