Adab Yang Kian Dilupakan

Bismillah. Hari ini saya ingin menceritakan mengenai antara adab yang sekarang kian dilupakan, iaitu adab bermuamalat antara lelaki dan perempuan.

Islam tidaklah mengharamkan terus muamalat antara lelaki dan perempuan,kerana ada masa yang mungkin kita perlukan bantuan yang berlawanan jantina dengan kita.

Namun, ada batas-batasnya kerana had garisan antara muamalat yang dibenarkan, Ukhwah yang suci murni dengan ikhtilat yang membawa kepada fasad (keburukan) hanyalah senipis sehelai benang sahaja. Terpesong sedikit? Susah gamaknya.

Antara adab-adab tersebut:

1. Berbaik dengan kedua-duanya.

Apabila kita seorang wanita, dan kita baik dengan seorang lelaki, berbaiklah juga dengan isterinya. begitu juga sebaliknya.

Jika kita sudah bernikah, lebih baik ajak suami kita berbaik dengan rakan kita yang lelaki itu.

Ini akan amat menyejukkan dan menyenangkan hati pasangan kita dan pasangan rakan kita, dan ini antara usaha yang membawa kepada keharmonian rumahtangga, InshaAllah.

2. Bercakap mengenai topik yang sesuai.

Pilihlah topik perbicaraan yang sesuai, seperti makanan dan pelancongan contohnya. Lebih elok sekiranya suami berbual dengan suami, isteri berbual dengan isteri.

Pandangan saya, janganlah masalah rumahtangga diceritakan kepada yang berlawan jantina (terutamanya jika yang berlawan jantina itu bujang).

3. Jangan dicampuradukkan hal profesional dengan hal peribadi.

Saya tidak menafikan, ada hubungkait antara keperibadian dan profesionalisma, yang amat panjang untuk diceritakan kerana kita bekerja dengan manusia yang ada emosi.

Cuma, Apabila berbincang perkara yang profesional, lebih elok fokus kepada hal profesional.

Hal ini kerana, jika dicampurkan antara keduanya, hidup biasanya menjadi lebih rumit.

Apapun, yang penting, saya berpandangan bahawa lelaki dan wanita yang baik, mereka tidak akan mencampurkan soal emosi, perasaan secara keterlaluan dalam bekerja, mereka fokus menaikkan karier mereka.

4. Pilih waktu yang bersesuaian untuk bermuamalat.

Bagi saya, untuk urusan profesional, pilihlah waktu pejabat kalau boleh. Jika terpaksa, bermuamalatlah secara tegas tetapi hormat, atau bermuamalatlah melalui pasangan mereka.

Untuk urusan sebagai kawan, seeloknya tidak perlu bermuamalat sehingga melampaui batas (ber cia-chia contohnya)

5. Jika gathering/ ziarah, bawa pasangan/ rakan sejantina sekali.

Hal ini kerana untuk mengingatkan kita, bahawa kita perlu menjaga batas. Jika kita ada pasangan, ini membantu mengelakkan kes kekasih lama bertemu kembali.

6. Jika bertemu di luar, tegurlah pasangan yang sama jantina sekali.

Jika bertemu kawan kita yang berlawan jantina dan pasangannya sekali diluar, tegurlah pasangannya sekali. Bukankah manis dipandang?

7. Baikkan, jangan ambil kesempatan (kecuali jika berkaitan kes berat).

Jika rakan kita menceritakan hal rumahtangganya, bagi saya nilai dahulu situasi.

Jika gaduh-gaduh manja, ingatkan dia untuk terus setia dengan suaminya, atau lebih baik referkan dengan pasangan kita/ orang yang bersesuaian (terutama jika kes berat).

Namun, bagi saya, lebih baik masalah diceritakan kepada yang sama jantina, ya idok?

8. Jika simpan nombor rakan yang berlawanan jantina, simpan sekali nombor pasangan nya jika ada. Jika tiada, boleh simpan pasangan/ rakan contohnya.

9. Bawa teman.

Jika urusan memerlukan kita berdua sahaja dengan yang berlawanan jantina, seeloknya bawa teman/ pasangan kita supaya mereka boleh bantu ingatkan garis-garis panduan yang telah Islam tetapkan.

10. Jaga gaya bahasa mulut dan tubuh.

Jaga mulut dan gaya bahasa tubuh. Jika boleh, cuba jangan flirting terutamanya kepada pasangan orang. Bebahasalah dengan tegas tetapi sopan.

Mungkin ada yang akan menggelarkan saya ‘syadid’, kolot dan seumpama dengannya dalam hal ini.

Namun, percayalah. Untuk menjaga diri dari fitnah yang berleluasa masa kini, ditambah dengan cabaran teknologi dan suasana yang kian mencabar, adab-adab ini amat perlu ditekankan, terutama dalam berurusan dengan yang lawan jantina.

Namun, apa yang lebih penting, jaga batas, jaga hati terutamanya dalam hal profesional, baik di alam nyata mahupun maya untuk kebaikan dunia dan akhirat :)

#selfreflection #jagahati #jagaiman

– FN (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *