Adakah Aku Derhaka Kerana Berkecil Hati Dengan Mak?

Nama aku Amira dan aku berumur 38 tahun. Mak aku mewarisi pencen terbitan daripada arwah ayah aku. Aku ada seorang abang, seorang kakak & seorang adik lelaki. Aku bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan.

Kisah sedih aku bermula sejak aku berkahwin dengan lelaki yang bukan pilihan keluarga aku.

Sejurus tamat pengajian diploma, aku terus berkahwin dan hasil perkahwinan tersebut, aku dikurniakan seorang anak. Kami bercerai selepas tiga tahun berkahwin dan aku pulang ke kampung dan tinggal bersama mak ayah.

Anak aku di bawah jagaan aku dan bekas suami memberi nafkah bulanan tanpa culas sehingga hari ini. Aku mula bekerja sebagai kerani biasa di sebuah syarikat dan mak aku mengasuh anak aku.

Bulan pertama bekerja, setiap hari mak bagi aku RM10.00 untuk tambang bas dan makan. Apabila aku dapat gaji pertama, semuanya aku urus dan belanja mengikut pendapatan yang diperolehi.

Selain aku, abang dan adik lelaki aku juga tinggal sekali di rumah mak ayah aku. Ketika itu, mereka belum berkahwin. Pekerjaan pertama aku, mak ayah aku minta aku berhutang dengan boss aku untuk membayar roadtax dan insurans kereta abang aku.

Ketika itu, aku baru tiga bulan bekerja dan alhamdulillah boss aku baik. Mungkin dia bersimpati dengan nasib aku sebagai ibu tunggal serta pendapatan yang kecil, maka boss meluluskan pinjaman sebanyak RM1000.00.

Setiap bulan gaji aku dipotong sebanyak RM200.00 dan aku tidak layak wang advance. Ketika ini gaji aku cuma RM570.00 sebulan.

Selesai bayar hutang dengan syarikat pertama, aku berhenti kerja kerana aku mendapat tawaran baru.

Aku sentiasa mencari pekerjaan baru dari masa ke masa dengan tawaran gaji yang lebih lumayan untuk aku menampung perbelanjaan aku & anak aku. Selang setahun di syarikat ke-2, aku bekerja di syarikat ke-3.

Ketika ini, adik aku pula mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi. Bagi menyelesaikan urusan pendaftaran dan pembelian alatan ke institusi pengajian tersebut, mak ayah aku minta aku berhutang dengan boss sekali lagi.

Alhamdulillah boss meluluskan pinjaman sebanyak RM1000.00 dan aku perlu bayar secara potongan gaji selama 3 bulan sahaja. Adik aku masuk ke institusi pengajian tinggi dan aku ikat perut untuk selesaikan hutang tersebut. Ketika ini gaji aku cuma RM750.00 sebulan.

Pernah satu hari aku beri mak aku RM250 kerana mak aku menyuarakan hasrat untuk membeli sebuah meja makan baru. Hari-hari aku balik kerja dan aku tertunggu-tunggu bila agaknya meja makan yang mak aku pesan akan tiba.

Selang seminggu, mak aku ajak aku ke kedai perabot dan mak aku pesan meja makan dan aku perlu bayar sekali lagi RM250.00 . Aku bertanya kepada mak aku tentang duit yang aku telah beri untuk mak aku beli meja makan.

Pada ketika itu, mak aku membalas bahawa duit sudah habis digunakan untuk membeli barang lain di rumah. Aku hanya diam mendengar penjelasan mak aku dan di dalam otak sedang mencongak kewangan peribadi aku pada bulan tersebut.

Selepas 3 tahun bekerja di pelbagai syarikat, aku lulus temuduga di jabatan kerajaan. Gaji permulaan yang aku terima termasuk elaun ialah RM1600.00

Pada permulaan kerja di jabatan kerajaan, aku meminjam kereta abang aku kerana jarak perjalanan antara tempat kerja dan rumah mak aku agak jauh.

Tambahan pula, kawasan tempat kerja aku tiada laluan bas awam. Sepanjang meminjam kereta abang aku, aku yang bertanggungjawab soal minyak kereta dan roadtax insurans kereta tersebut. Servis kereta sahaja aku tidak buat kerana ketika itu aku tidak cakna tentang servis kenderaan.

Setahun bekerja, aku membeli sebuah kereta sendiri. Tapi aku masih ke tempat kerja dengan kereta abang aku. Aku tinggalkan kereta aku di rumah jadi abang aku boleh bawa mak aku naik kereta aku yang baru dan elok untuk urusan peribadi.

Dalam tempoh itu, radiator kereta abang aku pernah rosak dan aku bayar untuk proses servis tersebut. Itu kali pertama aku belajar selok-belok servis kenderaan tambahan aku juga ada kenderaan sendiri untuk diselenggara.

Semenjak aku bekerja di sektor awam, mak aku acap kali menggunakan aku untuk kepentingan diri dan adik beradik yang lain.

Setiap tahun menjadi rutin untuk aku membayar roadtax insurans untuk kereta abang aku walaupun ketika itu aku sudah tidak menggunakan kereta abang aku lagi.

Bahkan sehingga ke hari ini aku masih dipertanggungjawabkan untuk membayar roadtax insurans kereta abang aku walau ia sudah melangkau 10 tahun aku berbuat demikian. Abang aku bermasalah soal kerja. Dia tiada kerja tetap dan kuat berjoli tapi mak aku tak pernah marah atau merungut.

Mungkin mak aku beranggapan abang aku ini tidak pandai dalam pelajaran jadi dia sukar bertahan dalam pekerjaan. Bahkan mak aku tanggung perbelanjaan abang aku dan sangat kasihan dengan abang aku. Walhal abang aku ada kudrat dan ada sumber untuk bekerja.

Setelah empat tahun aku bekerja di sektor awam dan adik bongsu aku juga sudah mula bekerja. Adik bongsu aku berhasrat untuk berkahwin. Di sini aku mula merasakan mak aku tidak adil dengan aku.

Mak mendesak aku untuk buat pinjaman peribadi kerana mak ingin menambah 2 buah bilik dan ubah suai mana-mana bahagian rumah yang usang untuk persiapan majlis perkahwinan adik bongsu aku.

Aku dengan berat hati berhutang dengan bank sebanyak RM20000.00 dan kebetulan aku mendapat wang KWSP sebanyak RM15000.00 kerana aku sudah cukup tempoh matang dalam skim berpencen.

Berbekalkan sejumlah wang tersebut, aku ubah suai rumah, membeli perabot untuk 2 bilik tersebut yang mana salah satunya kini menjadi bilik aku dan menyediakan belanja untuk majlis perkahwinan adik lelaki aku.

Di mana kakak aku? Kakak aku sebenarnya sudah berkahwin dan ketika aku didesak oleh mak untuk membuat pinjaman peribadi bagi pengubahsuaian rumah, kakak aku seorang jurutera dengan pendapatan mencecah RM5000.00 sebulan.

Suami kakak aku juga seorang pegawai kerajaan dan mereka telah dikurniakan 3 orang cahaya mata. Tetapi satu sen pun mak aku tak minta kepada kakak aku bahkan mak tak bagi anak-anak yang lain mengganggu kakak aku.

Pada mak aku, kakak aku sudah berkeluarga, ada anak yang perlu ditanggung, makan pakai dan lain-lain jadi gaji kakak aku hanya cukup-cukup makan untuk keluarga kakak aku.

Lagipun mak aku terlalu berbangga dengan kakak aku yang bergaji besar, berkahwin dengan pegawai kerajaan berbanding dengan aku yang gagal dalam perkahwinan. Kakak aku simbol kejayaan keluarga kami.

Jadi kami semua tidak boleh mengganggu kejayaan kakak aku dan kakak aku sendiri juga tiada empati untuk membantu kami walau dia bergaji besar.

Setiap bulan, mak aku tidak pernah merasa gaji kakak aku walau seringgit. Kini kakak aku sudah berhenti kerja dan semua kebanggaan itu menjadi kubur tanpa nisan.

Tahun berganti tahun dan Malaysia dilanda COVID-19. Aku bersyukur kerana aku ialah penjawat awam. Aku tidak terjejas dari segi pendapatan tetapi abang aku menganggur sehingga kini. Bebanan aku semakin bertambah kerana perbelanjaan bulanan di rumah semakin meningkat.

Setiap bulan mak aku ada pencen RM1300.00 dan aku hanya akan beri mak aku RM700 sahaja. Hal ini kerana abang aku akan ambil duit mak aku untuk keluar. Dia tiada inisiatif untuk bekerja di industri gig atau mana-mana biarpun kita sudah memasuki fasa endemik.

Belanja sebanyak RM700 tersebut hanya bertahan seminggu dan mak aku akan berharap pada aku untuk minggu-minggu seterusnya untuk beli bahan basah dan kering sehingga pencen berikutnya.

Jadi baki RM600 itu aku akan bahagikan per minggu untuk perbelanjaan kami di rumah. Tapi RM600 juga tak mencukupi sebab jika berbaki, abang aku akan ambil dan keluar entah ke mana-mana. Abang aku akan balik rumah setiap malam tapi dompet tidak pernah berduit.

Jadi perbelanjaan dapur memang aku kena tampung selebihnya. Jika aku bawa mak aku keluar makan, mak aku mesti akan beli tapau untuk abang aku dan jika aku beli makanan dari luar, aku kena beli banyak untuk abang aku sekali.

Tapi selama ini mereka tidak pernah beli apa-apa untuk aku dan anak aku. Mereka keluar makan, seronok sendirian sedangkan aku tidak pernah ada lebihan wang untuk berseronok atau berbelanja untuk diri sendiri.

Di mana adik aku? Selepas berkahwin, adik aku duduk di rumah mertua dan dia tidak pernah beri mak aku belanja semenjak adik aku beli kereta sendiri.

Bahkan wang gaji dia hanya untuk anak isteri dan mertua dia saja. Susah payah kami di rumah, makan tak makan, adik aku tak pernah peduli.

Dia hanya akan singgah ke rumah untuk tengok apa yang mak aku masak, makan dan balik ke rumah mertua dia. Tak pernah selama dia berkahwin, dia beli makanan atau barang kering hatta roti sebungkus untuk disedekahkan kepada kami.

Kami hanya merasa duit dia bila dia panggil kami ke majlis hari lahir anak dia atau apabila mertua dia buat kenduri. Bahkan mak aku begitu teringin untuk ikut adik aku berjalan-jalan tapi adik aku tak pernah ajak mak atau bawa mak aku sekali ke mana-mana.

Pernah suatu hari mak aku ajak aku ikut adik aku bercuti sebab mak aku teringin nak bermain dengan cucu dan aku pula terpaksa keluar belanja untuk menunaikan impian mak aku. Sedih rasa di hati aku sebab bila aku kumpul duit sikit, ada saja perancangan yang tak diduga.

Kini, aku menanggung keberhutangan yang tidak tertanggung lagi. Semasa PKP, aku mohon moratorium dan duit tersebut aku guna untuk beli telefon baru, tilam untuk aku, pakaian dan selebihnya memang habis untuk belanja makan di rumah.

Oleh kerana semua orang stay at home, maka mak aku kerja masak masak masak dan perbelanjaan dapur sebulan mencecah sehingga RM1 ribu dan sekali ke pasar mak aku akan berbelanja RM100 ringgit.

Mak aku akan panggil adik aku datang makan atau mak aku masak dan dia arahkan aku untuk hantar ke rumah adik aku.

Jadi aku tak dapat menyimpan wang moratorium ketika itu. Duit moratorium saja yang aku ada untuk aku berbelanja untuk diri sendiri.

Adik-beradik yang lain hanya bangun, makan sambung tido dan ulang sehingga kita habis PKP. Mak aku tak pernah merungut dengan abang aku tapi bila bahan basah & kering habis, duit habis, mak aku akan beritahu aku.

Aku rasa sedih! Semua kerosakan dan tanggungan lain di rumah di bahu aku termasuk bil-bil, gas memasak dan sebagainya.

Aku taktau apa yang ada dalam fikiran mak aku dan adik-beradik aku yang lain. Bagi aku mereka semua toksik! Tahap kehidupan aku, aku tidak boleh beli baju baru, aku tidak boleh beli barang diposkan ke rumah, aku tidak boleh ada sesuatu yang baru.

Andai mak atau ahli keluarga aku nampak, mereka pasti akan sengaja boros. Bahkan mak aku sendiri juga dengan semerta teringin nak itu ini, berjalan ke sana sini.

Aku tiada kebebasan bergaji walau duit aku sendiri. 1 benda yang aku beli untuk diri aku pasti ada 1 benda di dalam rumah yang dirosakan untuk aku baiki.

Bahkan setiap kali raya, mak aku akan masak macam kenduri dan pelawa semua orang datang rumah dan akulah tukang biaya. Aku terlalu stress sebab aku yang janda kena tanggung orang yang berkeluarga dan orang bujang yang tiada tanggungan.

Pada usia aku sekarang, aku berimpian untuk memiliki kediaman sendiri, ada sedikit pelaburan untuk hari tua dan kehidupan yang stabil.

Tetapi aku gagal kerana keluarga aku yang terlalu toksik. Sikap mak yang terlalu menekan aku dan menyalahkan aku berkahwin awal dan mempergunakan aku menyebabkan setiap hari aku berkecil hati dengan mak.

Adakah aku berdosa dan menjadi anak derhaka kerana berkecil hati dengan mak?

Aku tahu para pembaca pasti bertanya kenapa aku tidak keluar dari rumah ketika aku ada kesempatan? Buat pengetahuan semua, ketika aku mula bekerja di sektor awam, ayah aku meninggal dunia.

Mak aku agak kemurungan dan abang aku keluar menyewa di luar, adik aku berkahwin dan tinggal dengan mertua, kakak aku juga tinggal di negeri lain.

Jadi aku sahaja yang tinggal di rumah dan aku tidak tergamak meninggalkan mak aku sendirian apatah lagi mak aku baru kehilangan suami.

Mak aku juga pesakit darah tinggi dan ada temu janji bulanan di klinik. Mana mungkin aku mampu meninggalkan mak aku sendirian, dia ialah mak aku! Tapi akhirnya aku terpaksa menanggung bebanan yang aku tidak duga ini.

Kahwin semula ? Ya, aku memang ada keinginan untuk berkahwin semula. Aku pernah bercinta tapi hubungan kami dihalang oleh mak aku.

Setiap calon aku, mak aku tolak mentah-mentah. Bercinta dengan duda anak, mak aku beritahu nanti aku akan susah sebab aku juga ada anak. Bercinta dengan duda tiada anak, mak aku beritahu nanti bekas isteri dia akan ganggu rumah tangga kami.

Bercinta dengan lelaki bujang, mak aku beritahu lelaki itu tiada pengalaman berkahwin nanti dia tak mampu menjaga aku dan anak aku.

Semua lelaki yang aku perkenalkan kepada mak aku, semua ditolak mentah-mentah dan kini baru aku faham.

Mak aku takut kehilangan aku kerana mak aku akan kehilangan sumber kewangan dan seseorang untuk menyara adik-beradik yang lain.

Aku sesungguhnya penat memikirkan kewangan peribadi aku. Aku pernah terfikir untuk menjadi sugar baby seseorang untuk aku keluar dari belenggu kewangan ini. Sekurang-kurangnya aku ada sedikit wang untuk aku belanja diri sendiri.

Tapi aku masih ada keimanan dan setiap hari aku berdoa semoga Allah S.W.T. mempermudahkan urusan aku, melapangkan hari-hari aku dan memberkati rezeki aku. Aku tahu sekarang mak aku sudah buka mata bahawa apa yang mak aku buat kepada aku selama ini tidak adil.

Semua ini kerana kakak aku berhenti kerja mengejut. Mak aku mungkin malu kerana mak aku terlalu mengagungkan kakak aku bahkan semua orang beranggapan bahawa mak aku senang kerana anak-anak bekerja dan banyak membantu.

Tapi rupa-rupanya semuanya dari aku, seorang ibu tunggal yang dipinggirkan oleh keluarga.

Walau apa jua perasaan mak aku, ia tidak dapat mengembalikan kesenangan aku sekelip mata. Abang aku tetap tidak bekerja bahkan tiada inisiatif untuk bekerja.

Nasihat aku kepada semua pasangan apabila anda sudah berkahwin sila keluar dari rumah pusaka. Anda makan atau tidak makan, tidur atau tidak tidur, biar ia antara anda suami-isteri dan anak-anak.

Bantu keluarga seikhlasnya sahaja. Jangan jadi seperti aku. Aku hanya kuat mental sahaja dan anak aku ialah kekuatan aku. Aku tak dapat membayangkan jika aku tiada anak, adakah aku mampu mengharungi kesukaran ini sendirian?

– Amira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *