Adakah Dia Takdir Untuk Daku?

Assalamualaikum semua,

Saya menulis di sini hanya untuk mendapat pandangan dari golongan orang bijak pandai, apakah petunjuk di sebalik doa yang telah saya lantunkan.

Saya rasa yakin dengan petunjuk yang Allah bagi, namun saya juga berasa takut sekiranya saya hanya syok sendiri.

Saya baru sahaja pulang dari menunaikan umrah. Alhamdulillah rezeki Allah beri setelah sekian lama saya berdoa untuk berdoa di hadapan Kaabah dan menziarah kekasih kita semua Rasulullah SAW.

Dan pastinya saya juga membawa hajat ketiga yakni ingin berdoa bersungguh-sungguh tentang jodoh saya yang masih tidak kunjung tiba.

Alhamdulillah, ketika melakukan tawaf sunat, saya diberi peluang untuk berdoa di Multazam 30 minit lamanya, tanpa diganggu tanpa dikacau oleh jemaah lain, sungguh tenang.

Saya menangis semahu-mahunya, luahkan kepada Allah segala kesakitan yang saya rasa.

Namun jangan ada salah faham, sifat Allah ni tidak bertempat dekat mana-mana (boleh doa di mana sahaja), cuma di hadapan Kaabah pastinya aura dia sungguh luar biasa. Kepergian saya ke Baitullah juga kerana membawa hati yang kecewa dan saya masih ingat akan doa saya:

“Ya Allah, jangan Engkau pautkan hati daku kepada lelaki yang bukan ditakdirkan untuk menjadi milik daku, namun sekiranya Engkau pertemukan daku dengan seseorang lelaki yang memang ditakdirkan untuk daku, Engkau jentiklah hati daku, dan Engkau jentiklah hati lelaki itu supaya kami dapat tahu ini adalah signal jodoh daripada-Mu, wahai Allah.”

Usai berdoa, saya meneruskan aktiviti di Makkah seperti biasa. Saya rasa Allah makbulkan doa saya, saya tengok lelaki kacak mana sekalipun tak pernah berbekas di hati saya, sungguh Allah itu memakbulkan segala doa.

Sehinggalah berbaki lagi 4 hari sebelum saya pulang ke Malaysia. Ketika makan di kafe hotel, saya berjumpa dengan seseorang lelaki, sempat bersabung mata sekejap dan terus menusuk ke hati saya yang paling dalam.

Orangnya biasa, namun saya tak tahu kenapa hati saya tertarik melihat dia. Saya cepat-cepat istighfar dan terus memohon petunjuk dari Allah.

Hari demi hari kami memang kerap dipertemukan, dan setiap kali kami bertemu pastinya warna baju kami pakai sama, dia tersenyum, saya tersenyum namun kami hanya membawa hal masing-masing kerana saya pun tidak tahu latar belakang beliau. Namun rasa itu makin lama makin kuat.

Dua hari sebelum pulang ke tanah air, saya diuji dengan uzur syarie, kecewa bukan kepalang. Hari yang sama juga saya tidak berjumpa lelaki tersebut di mana-mana kafe atau lobi hotel. Oh ya, kami menggunakan travel agency yang sama yakni Andalusia namun kami dari group yang berbeza.

Lalu saya pergi membawa diri, pusing-pusing ambil video supaya dapat mengubati rindu saat pulang ke Malaysia nanti. Semasa perjalanan hati saya tak berhenti berzikir-zikir dan saya berdoa:

“Wahai Allah, sekiranya benarlah lelaki itu jodohku, jodoh yang telah Engkau pilihkan buat daku, tolonglah wahai Allah, tolong pertemukan kami sekali sahaja lagi dan kurniakanlah daku petunjuk yang nyata.”

Setelah berdoa, saya balik ke hotel macam biasa. Saat saya menolak daun pintu hotel, wajah lelaki itu merupakan orang pertama yang saya nampak. S

aya tak pasti ini petunjuk ataupun ujian kerana bahkan sehingga ke hari ini kami tidak pernah berhubung. Saya sudah pun selamat pulang ke Malaysia. Dia masih di sana.

Namun yang saya yakin, Allah memberi petunjuk yang paling nyata adalah kerana saya takut dia ini suami orang. Jadi saya doa semoga Allah bagi petunjuk, dan tiba-tiba ketika di dewan makan ada pakcik ni datang bertanya kepada dia, “Anak datang dengan isteri ke seorang?”

Dia tersenyum dan menjawab, “Pakcik, saya tak kahwin lagi, tak ada siapa-siapa lagi.” Tapi sayangnya, tetap saya tidak tahu namanya. Tag pun dia tidak pakai.

Takut, sebab saya dah banyak kali kecewa akibat pemikiran sendiri, jadi sangat takut. Tapi di tanah haram lah saya sentiasa menyaksikan doa dijawab within a second. Cuma untuk bab ini saya sangat takut, takut untuk percaya—saya leburkan segala ketakutan ini hanya dengan doa.

Rupa dia sangat biasa, namun sifat keperibadian dia sungguh luar biasa. Sentiasa tersenyum dan menyantuni orang tua dengan sangat-sangat baik.

Janganlah mengecam saya tak jaga pandangan di tanah haram, pastinya saya menjaga cuma ketika makan kita akan berkumpul semua sebab dewan makan satu sahaja, di situlah saya curi-curi dengar perbualan mereka.

Moga Allah pertemukan kami kembali dengan keadaan yang terbaik bersama dengan restu dan reda Allah.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *