Adakah Ini Keputusan Terbaik

Aku menolak kerja yang aku telah ditemuduga dan diperintahkan melapor diri. Betulkan ini keputusan yang terbaik buat masa sekarang? Apakah aku akan menyesal dikemudian hari, dalam 2-3 tahun akan datang?

Hi, aku Tirah, usia sekitar pertengahan 20-an. Baru-baru ini, aku baru diberhentikan secara VSS (Voluntary Separation Scheme). Yang pasti, aku diberhentikan secara paksa rela.

Kenapa aku diberhentikan? Atas dasar politik bisnes dan gila kuasa. Bukan aku sahaja yang terlibat, seluruh anggota jabatan aku turut diberhentikan. Diberi alasan, perkhidmatan jabatan aku tidak diperlukan lagi.

Tidak mengapa, itu cerita lama. Lepas diberhentikan, dengan penuh semangat aku menjejak kaki ke kilang-kilang berdekatan rumah mak abah, menghadiri karnival kerjaya, temuduga terbuka dan buat ‘job hunting’. Alhamdulillah, aku terus memperoleh kerja kilang A di KL. Gaji bak kata orang, boleh lah nak hidup.

Mak Abah mestilah nak yang terbaik untuk anak mereka. Awalnya, mereka tak bersetuju dengan gaji yang diberi tetapi bagi aku, gaji itu layak untuk pencapaian aku yang tak seberapa. Aku yakin dengan rezekiNya, sebanyak mana kita berusaha, sebanyak itulah yang kita layak. Mereka akhirnya memberi restu untuk aku pergi ke sana.

Dalam masa yang sama, abang long aku ditawarkan kerja di luar negara dengan gaji yang agak lumayan. Abang long terus berhenti kerja dan menerima tawaran tersebut. Dia membawa isteri dan anaknya tinggal di sana. Aku gembira dan juga terasa berat kerana tanggungjawab mak abah telah jatuh ke bahu aku.

Walaupun kak ngah bawah abang long, kak ngah sudah berkahwin dan sudah menjadi tanggungjawab isteri untuk mematuhi turutan suami. Adik-adik aku bekerja dan belajar di selatan Malaysia. . Maka, aku kini menjadi penjaga untuk mak abah.

Abah jatuh sakit. Mak tidak boleh memandu. Aku lah yang membawa mereka ke hospital untuk tujuan perubatan. Tarikh untuk aku melapor diri di kilang A semakin hampir. Keputusan semuanya di tangan aku, tiada halangan dari keluarga.

Aku berfikir, mana mungkin ada lagi peluang pekerjaan sebegini pada masa akan datang. Aku tidak mahu merosakkan karier aku. Mana satu, peluang ini satu lonjakan dalam bidang karier aku. Wallahu’alam Dia Maha Mengetahui.

Dan aku jugak berfikir, satu hari nanti jika mak abah jatuh sakit, siapa yang mahu menjaga mereka, membawa ke hospital? Biarpun pertolongan aku itu kecil tapi bagi diri ku, itu satu penghargaan untuk berkhidmat pada mak abah.

Buat masa sekarang, lebihan pampasan pemberhentian aku mampu bertahan dalam 6 bulan untuk menampung belanja harian mak abah. Dan aku masih aktif mencari kerja yang lebih sesuai dan berada dekat dengan mak abah. Bukan alasan aku untuk memilih kerja, tetapi mak abah sudah menjadi keutamaan aku.

Jauh dalam hati, aku takut satu hari nanti, aku menyesal dengan pilihan aku dan aku tak ingin berperasaan sedemikian.

Adakah aku membuat keputusan yang terbaik?

– Tirah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *