Adakah Kerana Aku Terlalu Menyintainya?

Nama samaran aku Pantoprazole, berusia 45 tahun, ibu tunggal, dan mempunyai seorang anak dara yang dah tinggal berasingan pun denganku kerana tuntutan tugas masing-masing.

Aku telah hidup bersendirian sejak 18 tahun lalu tanpa kehadiran seorang yang bergelar suami atau kekasih.

Selama itu juga aku sangkakan aku kuat dan boleh hidup normal macam manusia lain. Rupa-rupanya tidak.

Aku terjerumus dalam dunia kemurungan dan episod ini bertambah teruk dengan ketiadaan anak di sisiku (sejak dia sambung belajar di Universiti dan terus bekerja).

Dulu ibu bapa sering datang ke rumah bercuti dan adik-beradik akan berkumpul di rumah aku. Rumah aku selalu meriah sebab ada kehadiran mereka dan aku tidak merasa kesunyian.

Tapi setelah ibu bapaku jatuh sakit dan tidak dapat berjalan jauh, tiada lagi yang sudi menziarahi aku di sini.

Ditambah pula aku tidak pandai memandu, dunia aku makin terasing. Rutin aku cuma rumah dan pejabat. Outstation jauh-jauh pun makin kurang.

Aku yang dulu aktif dalam aktiviti masyarakat dan kebajikan, tak pasti atas sebab apa aku menarik diri perlahan-lahan dan tinggalkan semua itu.

Aku lebih selesa dan rasa selamat berkurung dalam rumah.

Aku seorang yang extrovert tapi dunia aku sekarang amat bertentangan dengan personaliti aku dan aku sedar makin hari ke sehari keadaan mental aku makin bertambah teruk.

Sehinggalah kehadiran seorang lelaki, Clonazepam (nama samaran) dalam hidupku. Clonazepam duda dan mempunyai seorang anak lelaki.

Awal perkenalan Clonazepam memberitahu yang dia mempunyai penyakit anxiety yang teruk. Pernah hidup terbaring saja selama 2 tahun kerana langsung tak boleh bangun.

Disebabkan itu, dia terpaksa berhenti kerja dan kini sudah mampu untuk bangun dan berjalan seperti biasa.

Cuma dia minta agar jangan buat dia dalam keadaan stress kerana penyakit dia akan datang kembali.

Dia juga kerana merasa kasihan dan ingin membantu aku, mengajar aku agar memandang dunia ini dengan positif.

Aku yang selama ini kerana kecewa dengan hidup aku, menjauhkan diri dari Allah swt perlahan-lahan dia tarik diriku untuk kembali.

Kami bercinta dan saling memberi sokongan. Namun percintaan kami lebih seperti sahabat dari pasangan bercinta.

Dia tidak romantik dan tak suka perhubungan yang tidak matang. Aku belajar untuk banyak bersabar, berlembut dan mengalah.

Tak pernah sekalipun kata-katanya aku bantah kerana aku terlalu menyintainya.

Sejak awal perhubungan lagi, Clonazepam sering berkata, jika satu hari nanti aku bertemu dengan lelaki yang jauh lebih baik dia rela lepaskan aku.

Jangan terlalu mengharap pada dia kerana dia sedar diri dia banyak kekurangan.

Malah dia memberikan keizinan kepada aku untuk keluar dengan mana-mana kawan lelaki, kerana dia tak mahu aku terus mengurungkan diri dalam rumah.

Dia terlalu sibuk dengan kerja dan kekangan kewangan dan kesihatan juga menyebabkan dia tidak mampu untuk membawa aku keluar selalu.

Tapi banyak dugaan yang hadir. Selalu masalah bermula apabila aku mudah terpengaruh dengan kata-kata orang sekeliling kami.

Aku walaupun tidak pernah meninggikan suara malah amat berhati-hati memilih kata-kata kerana tidak mahu dia merasa tekanan, tetap juga dianggap mahu mencari gaduh.

Akibatnya aku banyak memendam perasaan.

Bila pertelingkahan makin kerap berlaku, dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan percintaan ini. Katanya hati makin tawar dan tiada lagi rasa cinta itu.

Dia minta agar kami terus bersahabat, sedangkan bagiku permintaannya itu amat kejam.

Bagaimana untuk bersahabat dengan orang yang pernah aku cintai dan kini telah membuang aku?

Sehingga kini dia masih menghubungi aku, masih memaklumkan aktivitinya.

Aku berkali-kali mohon agar dia block no telefon aku agar aku tidak dapat menghubunginya lagi.

Tapi dia tetap tak nak atas alasan aku masih sahabat dia.

Aku pula yang macam orang gila, bila berkali block, unblock, delete dan save kembali no dia.

Tiap-tiap hari akan call walau cuba menahan diri dari menghubungi dia. Dia pula akan tetap menjawab call aku atau call aku.

Kini, aku cuba mencari pengganti tempat dia. Berpuluh-puluh orang yang aku kenal tiada satu pun dapat menggantikan dirinya.

Setiap kali berkenalan dengan orang baru, tetap nama dia dan kisah kami akan aku ceritakan. Lelaki mana yang mahu kalau dalam hati aku masih ada dia.

Aku tak tahu, kenapa begitu payah sekali untuk aku lupakan dia. Aku tahu, aku tak boleh berterusan seperti ini. Tapi hati ini tetap degil.

Setiap kali solat, aku berdoa agar dapat melupakannya. Tapi tetap juga dia melekat dingatan malah makin kuat.

Sudah juga ku minta agar ibuku tolong mendoakan aku, berubat sana-sini. Tapi masih begitu.

Kini walau air mata sudah kering untuk aku tangisi, tapi hatiku semakin kosong dan hari-hari kujalani dengan begitu sukar.

Adakah apa yang aku alami ini adalah disebabkan aku terlalu menyintai dia atau disebabkan masalah kemurunganku yang menyebabkan aku tidak boleh menerima kehilangan?

– Pantoprazole (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Being alone can be good but it is also can be bad. Saya rasa akak tak boleh lupakan dia sebab akak tak ada banyak benda lain nak fikir. Mungkin akak sebenarnya nak cuba escape dari perasaan kemurungan tu. Saya sarankan akak mulakan aktiviti kemasyarakatan tu balik. Slow slow start balik and don’t be too hard on yourself. Thank you for being a strong woman until now. You should rest when you are tired and it is okay. Akak should start a new life too, you can do it!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *