Assalamualaikum pada semua readers IIUM Confession,
Disebabkan banyak post pasal rupa paras jadi ukuran, aku pun nak cerita tentang kisah hidup aku.
Aku seorang isteri yang berumur 40 an dan baru berkahwin di masa PKP.
Sedikit penjelasan tentang diriku. Aku seorang yang sederhana sahaja baik dari segi pemakaian, rupa paras dan tingkah laku.
Bagi orang yang mengenaliku mereka akan melabelkan aku sebagai seorang yang mudah mesra, kelakar dan menarik.
Tapi pada aku, aku seorang yang membosankan, selekeh, kasar, introvert dan homely person. Pendek kata tak ada yang menarik pada diriku.
Dari zaman sekolah, aku ni seorang yang kasar (tomboy) sebab aku bersekolah di sekolah semua ladies sampai ke form 5. Terjumpa lelaki pun samada ketika tusyen atau melalui orang lain.
Tapi fitrah masih ‘straight’ suka lelaki. Alhamdulillah lepas SPM aku dah bertukar jadi perempuan tulen.
Masa zaman sekolah walaupun aku berpenampilan ‘boyish’ ada ja lelaki yang meminati sampailah aku ke IPT pun akan ada yang jatuh hati termasuk pensyarah.
Tapi aku belum terbuka hati untuk serius semuanya ku anggap teman biasa.
Bila menjengah ke alam pekerjaan, alhamdulillah mudah sahaja bagi aku walaupun keputusan aku sedang-sedang bukan cemerlang.
Tapi aku sering terpaksa ‘job hopping’ banyak kerja disebabkan selalu dapat bos atau rakan sekerja lelaki yang miang dan annoying.
Aku bukan kata aku ni anti lelaki tetapi aku cuba untuk elak sebarang konflik, skandal dan ketidakselesaan juga ketenangan bekerja.
Dan bukan aku sesuka hati nak berhenti. Aku pun faham bukan senang nak cari kerja.
Kalau yang bujang lagi tu tak mengapalah aku faham tapi ni ramai yang mendekat miang tu suami orang dan ada yang boleh aku panggil datuk umurnya.
Aku bertemu jodoh dengan si K tapi jodoh kami tak panjang disebabkan si K bersifat material dan ada OCD juga sebab-sebab lain.
K ni masa awal berkahwin dulu ramai kawan dan famili aku terkejut sebab aku tak memilih rupa.
Bukan nak cakap aku ni cantik sangat ke hapa tapi nampak ketarala perbezaan kami. K tak hensem tapi taklah buruk.
Apa yang menyedihkan ialah sebelum berpisah K ada beritahu dia suka dan berkahwin dengan aku hanya disebabkan rupa aku yang cantik.
Betapa sedihnya bila orang hanya suka pada rupa anda.
Ada kawan pernah cakap pada aku yang aku helok sebab itu senang dapat kerja dan ramai orang tak kira golongan senang berkawan dengan aku.
Aku cuba sangkal perkara ini dengan berkata itu rezeki dan cara kita berinteraksi dengan orang itu yang penting. Aku anggap dia sedih sebab dia masih menganggur dan masih tidak berjumpa jodoh.
Aku berjumpa jodoh sekarang di medsos. Kenal tak lama terus nikah sahaja. Si dia seakan sama dengan yang lama iaitu L bila duduk sebelah aku akan nampak perbezaan antara kami.
Aku sebenarnya agak skeptikal dengan lelaki takda rupa ni sebab arwah nenek aku pernah nasihat ‘ Cari yang ada rupa sekurang-kurangnya bila dia berperangai buruk, hati kita tak sakit sangat’.
Arwah merupakan antara menentang keras semasa aku berkahwin dengan K dulu. Nak buat macam mana dah jodoh kan. Aku harap dia betul-betul cintakan aku walaupun aku nanti dah tua berkedut seribu bukan kerana rupa aku.
Aku ramai kawan-kawan yang cantik rupa dan perangai. Kebanyakan diberi ujian serupa iaitu tidak bahagia dalam percintaan mahupun perkahwinan. Seorang kawan aku yang bagi aku cantik sangat pun dah cerai kali ketiga.
Yang tau kisah aku pun ada yang cakap “Eh dia ni cantik pun kena cerai”.
Ada orang berpendapat rupa paras ni macam satu ujian buat dia dan pasangan. Tapi aku yakin ramai yang mampu bahagia bila bertemu pasangan yang sesuai pada perkahwinan terbaharu.
Aku doakan agar semua yang belum mendapat jodoh akan cepat bertemu jodoh.
Pilihlah orang yang betul-betul sayangkan anda bukan sebab rupa, sebab kerja atau harta anda. Yang dah bertemu jodoh semoga diberi anak-anak yang soleh solehah dan keluarga bahagia.
Doakan aku juga ya.
– Sad Petunia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit