Adakah Semua Wasiat Perlu Dicabar?

Assalamualaikum semua. Hi, saya Madam Z, nak cerita sedikit mengenai wasiat.

Memandangkan sekarang ni semua orang hebat memperkatakan mengenai harta pusaka, eloklah juga saya menerangkan sedikit mengenai wasiat.

Ini kerana rata-rata komen netizen di media sosial ini mengatakan wasiat boleh dicabar. Jika wasiat boleh dicabar, jadi apa fungsi wasiat? Kenapa ada wasiat pula?

Hibah, wasiat, harta sepencarian ada fungsi dan hikmah-hikmahnya yang tertentu.

Bagi sesiapa yang belum tahu lagi, wasiat adalah untuk bukan waris, hibah pula adalah untuk waris dan bukan waris, untuk sesiapa sahaja, tak semestinya waris.

Jadi kenapa kena ada wasiat?

Wasiat ini sebenarnya membuka ruang untuk kita bersedekah/berwaqaf/berinfak. Wasiat ni tak semestinya untuk individu, ia juga boleh diberikan kepada institusi contoh seperti masjid, surau, rumah anak yatim, ngo-ngo dan sebagainya.

Maksimum bahagian untuk wasiat adalah satu pertiga. Itu maksimum. Tidak semestinya kena wasiatkan betul-betul satu pertiga.

Contoh harta kita ada sejuta, satu pertiga tu adalah lebih kurang 300ribu, boleh je kita peruntukkan dalam 100ribu sahaja untuk diwasiatkan. Contoh nak bagi ke rumah anak yatim, atau maahad tahfiz supaya anak-anak tahfiz di situ sentiasa dapat mendoakan kita.

Yang si waris-waris pula, janganlah bila si arwah ada mewasiatkan harta-harta tertentu, terus ditolak mentah-mentah, mentang-mentanglah boleh dicabar. Ah, wasiat ni boleh dicabar, aku nak cabar juga.

Bagilah peluang untuk si arwah tu membuat amal jariah. Jika harta anda pun dah banyak dan bila dikira-kira bahagian faraid yang anda dapat tu dah lebih dari cukup, apa salahnya beri peluang untuk si arwah melunaskan hajatnya untuk bersedekah.

Lainlah jika dikira-kira bahagian faraid, eh, macam tak cukup pula untuk kelangsungan hidup, jadi sesama waris boleh berbincang untuk menolak wasiat tersebut. Yang penting adalah kebajikan waris-waris, untuk kelangsungan hidup, bukan untuk memenuhi nafsu semata-mata.

Seriau juga bila membaca komen-komen netizen mengenai wasiat, bak kata wasiat tu tidak berguna langsung dan boleh dicampak terus ke dalam tong sampah.

Jadi di sini saya ingin membetulkan sedikit persepsi netizen mengenai wasiat ni. Ada hikmahnya Allah membenarkan wasiat ini.

Begitu juga dengan faraid. Semuanya nak buat hibah seolah-olah faraid ini tidak berguna langsung.

Iye, mana-mana harta anda yang anda memang berhasrat untuk berikan kepada seseorang, hibahlah. Tapi hibah boleh jadi makruh atas sebab-sebab tertentu. Boleh rujuk rancangan Pusaka Atau Puaka di Astro Oasis di mana di situ PU Syed ada bagi banyak penerangan mengenai harta pusaka ni.

Itu sahaja coretan kali ini, harap dapat memberi manfaat kepada semua.

– Madam Z (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *