ADHD Yang Tidak Diakui

Nama aku Sarah. Aku memang menyedari kelainan yang ada pada diri aku sejak umur 6 tahun lagi. Aku sering terlambat setiap kali ada aktiviti penting. Sekolah, percutian keluarga, hari sambutan Aidilfitri, atau apa sahaja. Aku fikir semua orang seperti aku.

Aku mudah terasa, mudah takut, mudah menangis, dan sering menjauhkan diri dari orang.

Setiap kali aku gagal dalam apa2 perkara walaupun hanya kerja sekolah yang tidak dapat dijawab, tidak mudah untuk berkawan, takut dengan orang sekeliling, hanya satu dalam fikiran aku, tidak mahu hidup.

Tahun demi tahun berlalu, aku masuk ke sekolah rendah, menengah, universiti, dan bekerja. Fikiran aku masih sama seperti dahulu.

Aku mudah berfikir untuk mati, jika aku tidak dapat membuat sesuatu secara sempurna. Kesan stress, trauma dan apa berlaku akhirnya merosakkan kehidupan aku.

Aku mula selalu sakit dada, pening kepala, sakit badan dan seumpamanya. Aku mula melakukan kerja berulang kali sehingga kerja aku tidak dapat disiapkan. Aku menaip dan memadam berkali-kali pekerjaan aku supaya ia sempurna.

Suatu hari kepala aku menjadi sangat sakit, dunia seakan berputar, dan bergoyang. Akhirnya aku mengalah dan pergi ke klinik berdekatan.

Apa yang mengejutkan aku Doktor tersebut mencadangkan aku pergi ke klinik psikiatri kerana simptom yang aku alami.

Aku juga memberitahu Doktor tersebut aku telah beberapa kali mengalami sesak nafas, menggeletar jika aku terlalu marah atau takut. Dunia seperti menghempap aku. Seakan tiada jalan keluar.

Aku mencuba mendapatkan pendapat Doktor di klinik kedua. Ya, ujian DASS aku sangat teruk. Aku mengalami kemurungan.

Aku sangat terkejut dan tidak boleh menerima keadaan itu. Aku dinasihatkan untuk segera pergi ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Stigma masyarakat tentang rawatan psikiatri sangat menakutkan aku. Akhirnya aku pergi ke hospital di tempat kecemasan.

Aku ditahan untuk sementara waktu untuk melakukan medical checkup secara menyeluruh. Darah, air kencing, jantung, aku di check untuk memastikan jika aku ada penyakit fizikal yang lain.

Ya, hasil laporan mengesahkan aku tidak berpenyakit secara fizikal. Aku mengalami kemurungan yang sudah lama.

Air mata aku mengalir berterusan pada hari tersebut, aku terbaring di wad kecemasan berseorangan ketika itu. Hanya memberi tahu kakak ku secara personal di aplikasi whatsapp.

Doktor psikiatri memberi aku konsultasi pada aku petang itu. Semua perasaan bercampur baur, dan paling menakutkan ialah aku masih bekerja sewaktu itu. Persekitaran bekerja yang membiasakan gurauan secara lucah, mencarut menambah lagi tekanan pada aku.

Aku juga pernah dikacau secara lucah berhadapan dan juga di mesej. Aku juga pernah dipegang oleh kawan lelaki ku yang aku percayai sewaktu itu. Aku memarahi nya dan meminta tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Tapi dia memarahi aku semula dengan mengatakan tidak perlu bersedih dengan perkara yang sudah lepas. Aku terkejut, kejadian itu seperti menyalahkan aku kerana mencuba menegurnya.

Aku memaafkan nya berkali-kali dan memberi peluang kepada nya. Aku terlalu sunyi dan keseorangan pada ketika itu.

Aku hanya memafkannya kerana aku sangat takut aku akan hilang orang yang aku percayai. Fizikal aku memang nampak elok. Aku boleh makan, ketawa, dan berborak seperti biasa. Tapi tidak untuk mentalku, semakin lama aku semakin sunyi.

Akhirnya aku membuat keputusan memberitahu kawan lelaki aku tentang keadaan aku bahawa aku sedang sakit dan perlu akan rawatan. Dia mula menunjukkan reaksi tidak suka. Sejak dari itu dia mula menampakkan sisinya yang lain.

Dia memaksa aku untuk terus melupakan kesedihan aku dan mengatakan semua nya akan berlalu. Dalam pada itu, dia berjanji untuk menikahi aku pada masanya.

Dia terus menutup kesalahannya yang selalu menggunakan perkataan lucah nya pada aku dengan mengatakan cinta dan sayang nya yang terlalu besar untuk aku.

Aku mula takut akan keadaan itu, akan tetapi kerana aku begitu memerlukan seseorang untuk meluah masalah aku, aku terpaksa bertahan dengan sikapnya. Harapan aku sudah terlalu tinggi pada nya untuk mengambil aku sebagai isterinya yang sah.

Sehinggalah pada suatu hari, aku disahkan mempunyai simptom Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). Sekali lagi hidup aku semakin gelap, aku mempunyai diagnose oleh Doktor bahawa aku mempunya Major Depressive Disorder (MDD) dan ADHD.

Perkara tersebut sangat menyakitkan aku, walaupun aku sudah dapat mengagak lama keadaan tersebut. Aku meminta untuk berpisah pada kawan lelaki aku. Aku sangat takut jika dia menyalahkan aku setelah berkahwin nanti.

Ya, pada mulanya dia tidak mahu, tapi setelah aku memberitahu bahawa aku mempunyai ADHD, dia membuat keputusan untuk pergi.

Dia memberi banyak alasan tentang jarak kami yang jauh (Kedah dan Johor), penolakan keluarga nya terhadap aku, dan mengatakan bahawa orang yang berpenyakit mental adalah berbahaya.

Perkara yang aku takutkan sudah berlaku. Orang yang paling aku percayai telah meninggalkan aku. Aku berasa sangat terhina akan perbuatan nya. Dia langsung tidak bertanggungjawab setelah apa yang dilakukan terhadap aku.

Aku berasa sangat marah dan mendoakan dia akan dapat balasan yang sama setiap kali aku teringat perkara tersebut.

Aku juga telah berhenti kerja kerana keadaanku yang semakin teruk. Dalam pada tahun yang sama, aku hilang pekerjaan, mendapat penyakit, dan ditinggalkan dia.

Perancangan aku musnah, penyakit aku semakin teruk. Fikiran aku mula tidak stabil. Perasaan kuat untuk mati amat menganggu aku. Tapi, aku tidak melakukan nya kerana Allah masih membenarkan aku hidup.

Sedikit demi sedikit keluarga aku mula mengambil tahu dan mengambil berat. Ada juga adik beradik aku yang mula tidak berpuas hati tentang aku yang mendapat perhatian lebih, tidak dapat melakukan kerja rumah dan sebagainya.

Bil dan ubat hopital terlalu mahal. Aku hanya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana lebih murah. Akan tetapi, oleh kerana

Hospital Kerajaan kebanyakan tidak begitu mempercayai akan ADHD dewasa, rawatan aku tidak dapat dilakukan secara menyeluruh.

Keluarga aku ada yang berterusan membangkang keputusan aku untuk mendapatkan rawatan di Hospital Swasta kerana bil yang terlalu mahal.

Aku sangat tertekan dengan keadaan itu. Aku menjadi sangat bersalah untuk meminta bantuan. Aku pernah berfikir untuk meminta sumbangan orang ramai untuk mendapatkan rawatan dan terapi untuk ADHD. Tapi, perkara tersebut terlalu memalukan untuk aku.

Ya, keluarga aku ada yang menerima dan ada yang tidak. Aku tidak menyalahkan mereka sepenuh nya, tetapi ia sangat membuat aku kecewa. Antara simptom ADHD aku ialah tidak fokus (mudah berangan), dan tidak dapat menerima nasihat dengan baik.

Ia bukan lah kerana aku menganggap aku sentiasa betul, tetapi setiap kali aku menerima nasihat, hati aku seperti ditoreh pisau dan luka itu semakin parah.

Aku cuba memberi tahu keluarga dan doktor kerajaan akan keadaan tersebut bahawa aku akan down apabila menerima nasihat. Doktor tersebut hanya mengatakan “baguslah orang bagi nasihat”. Perkara tersebut menambah lagi kekecewaan aku.

Apa yang menjadi masalah ialah setiap kali aku menerima nasihat, aku sangat ingin mati kerana aku tahu betapa aku tidaklah melakukan sesuatu betul secara keseluruhan.

Adik beradik aku mula mengambil langkah menasihati aku. Keadaan tersebut menambah luka aku yang telah dalam. Aku mula menjauhi adik beradik aku kerana risau akan reaksi aku, aku mula menjerit, menengking dan menangis terlalu kuat sehingga badan akan terasa lemah.

Keluarga aku adalah keluarga yang terluka. Ada seorang kawan ku di media sosial memberitahu bahawa reaksi aku dengan menengking seseorang adalah kerana trauma aku masa kecil.

Aku tidak mempercayai nya kerana aku sangat yakin bahawa keluargaku adalah yang terbaik untuk aku. Mereka selalu membantu aku dari segi fizikal seperti menyediakan rumah, makanan dan duit apabila aku memerlukan.

Suatu peristiwa terjadi ketika aku cuba mengadu dan menceritakan tentang masalah ku pada suatu hari. Salah seorang adik beradik ku menasihati aku tentang selalu memaafkan orang dan ibu ayah. Aku mula menjerit dan mengamuk.

Aku menengking adik beradik aku yang paling aku sayang. Apa yang membuat kan aku terkejut ialah mereka memberikan reaksi yang sama terhadap aku. Mereka juga menasihati aku dalan keadaan tersebut.

Satu persatu keadaan mula terungkai. Kesakitan dan luka dalaman yang diwarisi tetapi hanya terlihat ketika kami sedang berperang mulut.

Aku sangat berharap agar suatu hari nanti aku menjadi sihat semula, dan aku juga berharap keluarga ku yang terluka mendapat kesembuhan yang sama. Ia sangat menyakitkan aku setelah apa yang berlaku.

Aku tidak dapat mengawal tindakan aku ketika tidak stabil emosi. Mudah sahaja aku berfikir untuk terjun sungai, tingkap dan sebagainya. Ia bukanlah kehendak aku. Tapi, ya aku begitu sakit. Aku sangat berharap aku dikurniakan kesembuhan dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Setiap individu ADHD mengalami simptom yang berbeza. Aku mengalami kemurungan kerana ADHD aku tidak pernah mendapat rawatan.

Ia bukanlah perkara yang aku terlalu bangga, tapi aku sangat berharap semoga keluarga aku memaafkan aku dan suatu hari nanti menerima bahawa aku memang berbeza kerana mempunyai ADHD. Ia bukanlah tertakluk pada simptom yang sama dan rawatan juga berbeza pada setiap individu.

Aku berharap Doktor Kerajaan lebih mengkaji dan memberi perhatian terhadap ADHD dewasa bukan hanya pada kanak-kanak sahaja.

Banyak individu ADHD yang tidak dapat rawatan, sukar, tidak mengakui dan menangguh rawatan kerana kesukaran yang dihadapi di Malaysia. Ubat-ubatan juga terlalu mahal seperti Ritalin, Concerta dan sebagainya.

Aku memohon, Kerajaan bantulah kami yang mengalami simptom ADHD dewasa. Kami juga berhak mendapatkan rawatan seperti kelainan berfikir yang lain seperti Autism dan Disklesia yang lebih diberi perhatian.

Sediakan peluang pekerjaan pada Individu yang sanggup mempelajari ilmu ini dan menjadi Doktor yang lebih prihatin bukan hanya sekadar ingin memberikan ubat tanpa menafikan kesukaran individu ADHD hadapi.

Itu sahaja kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca dan amat saya hargai jika admin approve post saya.

Kesakitan mental sama sahaja seperti sakit fizikal, bukan disebabkan lemah iman. Kita tidak mengatakan kepada orang yang sakit jantung supaya banyak berzikir dan banyak bersabar, seperti itu lah sepatutnya pesakit mental berhak mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Berhenti menganggap ia berkaitan hasutan syaitan atau apa sahaja.

Saya tidak menolak sepenuhnya akan menggunakan rawatan secara Islam, berzikir, berselawat, mempelajari akidah, tasawwuf dan sebagainya. Ia sangat membantu tapi rawatan di hospital, ubat ubatan, terapi juga patut digunakan supaya pesakit mental dapat sembuh dan hidup seperti biasa.

Ia adalah penyakit yang boleh sembuh jika mendapat rawatan sepatutnya dan mendapat sokongan secara betul oleh orang sekeliling. Cuba untuk mencintai diri sendiri amat sukar jika sudah terkena penyakit mental.

Akhir sekali, ADHD bukan penyakit mental tapi kelainan berfikir tidak seperti kemurungan.

Jika ada orang sekeliling anda yang anda rasa mempunyai kelainan seperti ADHD, bantu individu tersebut mendapatkan rawatan, ia tidak akan sembuh kerana ia bukan lah penyakit, tetapi boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan terapi yang betul.

Ia adalah takdir dan ujian yang diberikan kepada hambaNya yang mampu, bukan disebabkan faktor ibu bapa, kemalasan, degil dan seumpamanya. Ia adalah kelainan berfikir di otak kerana kekurangan dopamine (untuk motivasi dan kegembiraan).

InsyaaAllah, semoga Allah mudahkan perjuangan untuk kita sembuh, jika ada yang sedang sakit membaca post saya ini. Assalamualaikum.

– Sarah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *