“Adik Angkat”

Tiga kuntum mawar merah, kuning dan putih yang adik terima dari abang menjadi saksi kasih, cinta dan sayang abang pada adik. Adik faham sangat-sangat maksud 3 kuntum bunga yang abang berikan.

Tapi adik tak mampu dan takut untuk membalas perasaan itu kerana adik sedar diri, adik hanyalah “adik angkat” yang selalu abang sebut-sebut kan.

Mengapakah sukar abang untuk meluahkan perasaan itu, egokah abang? Mengapakan tidak perjuangkan perhubungan yang sekian lama terjalin?

Izinkan adik memanggilmu “abang” kerana kamu adalah “abang angkat” selamanya dan aku adalah “adik” mu selamanya. Enam tahun adik pertahankan hubungan ini. Adik turun kan ego sebab ingin kan perhubungan yang hakiki. Adik singkirkan semua cinta yang lain.

Tahun pertama perkenalan, adik baru habis SPM dan bekerja di sebuah kilang tempat abang bekerja.

Adik tidak mengenali abang pun dan langsung tidak berminat untuk berkenalan dengan lelaki-lelaki “technician” kerana adik hanyalah budak lepasan SPM yang berjawatan operator pengeluaran sahaja sedangkan abang lulusan Universiti Tempatan.

Dengan rupa abang yang tampan dan berpangkat, mana mungkin bergandingan dengan gadis kilang kan abang.

Tapi abang yang tegur adik dulu, abang rasa tercabar kerana adik kurang berminat dan sombong terhadap abang, sedang kan gadis kilang yang lain terlalu kagum dan memuja abang kerana paras rupa abang.

Hari-hari abang akan pasti menjenguk adik di kawasan adik bekerja dengan harapan adik akan membalas dan bercakap dengan abang.

Tapi memang adik sangat tidak berminat langsung berkenalan dengan lelaki. Abang tetap tidak berputus asa. Hari-hari terpacul dengan senyuman dan sapaan mesra.

Pada satu hari abang datang di kawasan adik bekerja untuk memberitahu bahawa abang akan bercuti, baru adik membalasnya dengan teruja kerana adik baru mendapat tahu abang berasal dari Pantai Timur,

Setelah abang memberitahu bahawa abang akan bercuti untuk balik kampung menyambut perayaan Raya Haji yang ternyata di bahagian Pantai Timur sangat meriah merayakan perayaan tersebut.

Adik memang sebenarnya meminati lelaki dari Pantai Timur dan semenjak itu kita menjadi rapat. Hanya kerana abang dari Pantai Timur, adik sangat suka berkawan dengan abang kerana orang Pantai Timur peribadi abang yang patuh pada Tuhan.

Hampir setiap malam kita akan menelefon di antara satu sama lain. Sehingga bil telefon kita naik mendadak dan pernah nombor telefon kita disenarai hitam kerana bil telefon terlampau tinggi.

Kalau tidak malam pasti akan telefon pada pagi, petang dan malam. Sehingga abang pernah di saman polis kerana memandu sambal memegang telefon kerana menelefon adik.

Sehari tidak bersua muka seakan setahun terpisah. Coklat “Time Out” menjadi saksi bila adik merajuk abang akan pujuk dan umpankan dengan coklat itu.

Aiskrim McDonald Oren makanan kegemaran kita kan abang. Rindu sangat nak merajuk dengan abang. Hampir setiap hari abang akan ambil adik pulang dan pergi kerja.

Kalau sama “shift” lagi senang nak balik sama. Sehingga adik ditukarkan “department” lain kerana aduan dari pihak yang mencemburi kita. “Shift” kita dah tak sama pon abang tetap menanti dan menunggu adik pulang dari kerja.

Dalam kereta kalau adik diam tanpa celoteh, nanti abang akan hulurkan jari dan kalau adik menoleh pada abang jari abang tercucuk pipi atau mulut adik ketika abang memandu. Sumpah adik rindu kenangan itu. Tapi batasan kita masih sama tetap adik dan abang angkat.

Entahlah apalah yang kita ceritakan sepanjang hari tapi kita seakan tak nak berpisah. Tasik Permaisuri, Cheras menjadi saksi tempat kita selalu bercerita dan ber “dating”.

Cerita tentang masa hadapan, tentang masa lalu tentang sedihnya abang bila percintaan abang dengan kekasih abang yang pertama tidak seperti diharapkan.

Abang selalu bercerita bahawa kasih dan sayangnya abang hanyalah pada cinta pertama abang yang semakin hari semakin jauh.

Abang juga selalu bercerita bahawa abang selalu mendapat surat layang dari peminat-peminat abang yang terdiri daripada gadis-gadis kilang dengan harapan supaya adik cemburu.

Mana mungkin adik tunjukkan perasaan itu abang, adik sedar diri sangat-sangat. Pernah suatu ketika abang bersuara pada adik, apa kita nak makan kalau adik selamanya kerja kilang dengan gaji tidak sebanyak abang.

Adik sedar diri dan adik mengambil keputusan berhenti kerja kilang untuk menyambung pengajian di Kolej Swasta untuk perbaiki taraf pelajaran adik setanding dengan taraf pelajaran abang.

Tahun ketiga kita bawa haluan masing-masing. Entahlah dunia rasa sangat-sangat gelap. Sunyi sesunyi sunyinya dan untuk mengubati jiwa lara adik menyambung pelajaran dengan bersungguh-sunguh.

Namun adik tidak mampu memadam memori tersimpan. Tipulah kalau kata tidak rindu. Bohonglah kalau kata tidak sedih. Semua perasaan itu adik simpan sedalam-dalamnya kerana adik tetap sedar diri.

Tidak sanggup adik menyatakan dan meluahkan perasaan yang terbuku kerana adik tidak sanggup lukakan hati adik sendiri. Dalam masa yang sama, abang sudah pun mengikat tali pertunangan abang dengan cinta pertama abang.

Adik tidak sedikit pun sedih, dia layak kerana dia lah perempuan yang banyak menolong abang ketika abang di Universiti. Adik tetap sedar diri.

Mungkin kerana abang terlalu rapat dengan adik menyebabkan abang selalu bersengketa dan sebab itu abang mula menciptakan jurang antara kita dan menjauhkan diri dari adik. Adik minta maaf abang.

Tahun Keenam, dan masa adik di tahun akhir pembelajaran, tiba-tiba adik jumpa abang balik, adik gembira bila pertama kali abang menelifon adik.

Pada masa adik jumpa abang sudah memutuskan pertunangan dengan cinta pertama abang. Hampir setiap hari adik termimpi-mimpi abang datang cari adik.

Dan hingga satu hari abang datang untuk pertama kalinya berjumpa adik di Kolej kediaman tempat adik belajar.

Kali ini abang datang bersama abang Khai, sahabat baik abang. Untuk mengelakkan berdua kita selalu keluar bertiga bersama abang Khai. Abang Khai juga saksi bahawa adik sangat-sangat sayangkan abang.

Tapi kali ini abang sudah semakin berani memperkenalkan adik dengan kawan baik abang, abang sudah tidak malu memperkenalkan adik pada adik beradik dan emak abang,

Abang juga tidak malu memperkenalkan adik dengan saudara mara abang tapi abang malu apabila saudara mara abang bertanyakan taraf pendidikan adik.

Tiba-tiba dari bertiga jadi berempat, abang bawa kakak yang juga kawan baik abang dan abang Jai. Kali ini adik tidak selalu bersama abang kerana abang mempunyai kawan-kawan yang baik sentiasa bersama abang.

Kemana-mana mana mungkin abang membawa adik kerana adikkan adik dan adik sentiasa budak di mata kawan-kawan abang.

Hingga suatu hari abang meluahkan dan melamar adik dihadapan kakak. Abang cakap bila adik habis belajar nanti abang akan berkahwin dengan adik. Adik malu dan diam sebab kakak menjadi saksi. Berbunga-bunga dan tidak sabar untuk menghabiskan pelajaran.

Tetapi mengapa tiba-tiba abang membenci adik selepas abang pulang dari Johor dengan kakak? Adik hanyalah lulusan Diploma Kesetiausahaan dan bagi abang jawatan setiausaha sangatlah hina sehingga abang menganggap satu hari nanti adik akan jadi “gundik bos”.

Hanya kerana jawatan abang menghina adik sehina hinanya. Sehingga abang melenyapkan, menghilangkan, melupakan diri adik selamanya. Khabar duka adik terima abang telah pun selamat di Ijab Kabul kan dengan kakak yang selama ini menjadi kawan baik abang.

Jika cinta itu kerana harta memang adik kalah, kalau cinta itu kerana pangkat dan jawatan adik kalah lagi dan jika cinta kerana rupa adik tetap kalah dan kalah selamanya.

Tapi, ketahuilah cinta adik bukan kerana rupa, harta dan pangkat tapi semua kerana cinta untuk mendapat keredhaan Allah.

Tahun Ketujuh, tiba-tiba abang telefon adik di nombor telefon emak adik yang mungkin abang pernah simpan. Dan abang khabarkan bahawa abang sudah mendapat cahaya mata yang baru.

Adik terus berfikiran rasional dan memarahi abang supaya jangan telefon adik dan mencari adik buat selamanya.

Mana mungkin adik akan menjalinkan hubungan dengan abang yang sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata. Abang tidak meneruskan perbualan apabila adik teruk memaki hamun abang.

Abang, adik tak nak mengeruhkan keadaan yang abang alami dan adik tak nak meneruskan hubungan dengan abang setelah abang sentiasa menyakiti dan menghina adik.

Hubungan sebagai “adik angkat” pun adik tak hingin. Ia akan menyakitkan hati banyak pihak terutamanya kakak. Benarlah kata bijak pandai mencari pasangan hendaklah sekufu. Kita tidak sekufu abang. Adik tidak sanggup melukakan hati kakak selamanya.

Untuk kali yang terakhir adik ingin ceritakan pada abang bahawa rezeki sebagai Setiausaha dalam bidang undang-undang amatlah lumayan. Dalam keadaan negara dilanda pendamik ini, jawatan ini tidak sedikit pun terjejas.

Alhamdullilah Allah kurnikan adik seorang suami yang sangat penyayang dan menerima adik seadanya. Terima kasih Allah kerana memberiku pengajaran yang sangat berguna.

Maafkan adik kakak adik tidak berniat untuk lukakan hati kakak, tapi untuk buat sekian lamanya adik meluahkan segala perasaan adik bahawa suatu ketika dahulu memang adik mengakui adik memang jatuh cinta pada usikan yang pertama.

Abang orang yang pertama adik cinta suatu masa dahulu. InsyaaAllah selepas ini adik akan akan buang segala memori. Adik tak nak lagi simpan memori ini. Adik akan padamkan kenangan itu disini.

Assalamualaikum…

– Tulips (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *