Kebelakangan ni memang kerap kali aku terbaca kisah Kakak Ipar vs Adik Ipar. Hal ni buatkan aku rasa nak kongsi kisah yang berlaku atas diri aku tahun lepas.
Aku dan suami kahwin dan mula tinggal di rumah yang kami beli sendiri sejak tahun 2020.
Masa tu hidup kami sangat bahagia, banyak privacy dan kalau gaduh pun kami gaduh manja yang boleh settle antara kami berdua dan tidak akan melibatkan keluarga.
Hidup kami tidaklah mewah tapi aku boleh katakan hidup kami stabil. Gaji aku tinggi dari gaji suami maka kebanyakan komitmen seperti beli barang dapur serta lauk, bil air, elektrik dan bil penapis air aku langsaikan.
Ansuran rumah pula 70% aku yang bayar, suami hanya bayar 30%. Kami selesa dengan pembahagian ini kerana aku faham situasi suami.
Dugaan bermula bila kakak ipar dapat tawaran kerja dekat ngan rumah kami maka dia minta kebenaran dari suami untuk tinggal di rumah kami.
Pada mulanya aku ok saja walaupun kakak ipar tidak pernah minta kebenaran aku. Dia hanya minta kebenaran dari suami. Rumah kami ada 4 bilik maka sebuah bilik kami khaskan untuk kakak ipar.
Tempat kerja suami juga jauh dari rumah kami jadi dia hanya akan balik semasa off day. Maka, kebanyakan hari hanya aku dan kakak ipar saja di rumah.
Aku mula rasa tidak selesa dengan perangai kakak ipar bila dia berkira soal makanan dan tidak menyumbang untuk belanja barang dapur. Kakak ipar juga tak pandai berdikari soal makan minum sendiri.
Aku tidak sempat masak sebelum pergi kerja dan selalunya akan bungkus makan malam untuk diri sendiri masa on the way balik rumah dari tempat kerja.
Kakak ipar akan sampai rumah dari tempat kerja lebih awal dari aku tetapi tidak pernah ada inisiatif untuk beli makanan.
Aku tidak kisah kalau dia tidak beli makanan untuk aku. Sekurang-kurangnya belilah makanan untuk diri sendiri agar aku tidak terbeban dengan soal makan minum dia.
Setiap hari aku terpaksa call kakak ipar tanya apa dia nak makan kerana aku rasa bersalah sekiranya beli makanan untuk diri sendiri saja. Kalau aku tidak beli makanan, dia akan berlapar dan tanya aku sekiranya ada apa2 makanan di dapur.
Tahun 2021 negara kita masih dibelenggu Covid dan masa kes naik aku terpaksa “work from home”. Kakak ipar pula masih pergi kerja seperti biasa.
Walaupun pendapatan aku tak terjejas masa ni, aku tetap fall into depression kerana merasakan diri seperti orang gaji dalam rumah sendiri.
Sejak aku WFH, kakak ipar menganggap aku terlalu free dan baju2 nya akan dihumban dalam mesin basuh macam tu saja dan aku lah yang terpaksa cuci dan jemur.
Bilik tempat dia tidur aku yang vacuum. Tandas yang dia guna aku yang sental kerana dia lepas tangan begitu saja bila lihat aku kerja dari rumah.
Di saat aku berhempas pulas bersihkan rumah, kakak ipar akan mengurungkan diri dalam bilik dan buat tak tahu. Kadang2 aku ternampak kakak ipar belikan makanan seperti coklat, buah atau keropok dan disoroknya dalam bilik.
Padahal semua makanan yang aku beli aku tak sorok dari dia… semuanya aku letak di dapur dan dia ambil makan kalau mahu. Hal ni berterusan lebih kurang 6 bulan dan aku makan hati.
Kadang kala aku merasa tertekan dan mengurungkan diri dalam bilik. Nak pergi jalan2 pun tak boleh kerana masa tu PKPB dan PKPP…. tak boleh rentas daerah dan negeri.
Suatu hari, aku luahkan semua ini kepada suami dan hal ni buatkan suami mengamuk dan melabelkan aku sebagai “berkira”.
Ya… aku dianggap berkira walaupun kebanyakan perbelanjaan rumah aku yang tanggung. Masa ni aku dan suami gaduh besar sehingga kedua-dua keluarga kami tahu.
Masa tu aku merasakan hubungan aku dan suami sangat keruh dan kami seakan-akan hampir bercerai.
Hujung tahun 2021, kakak ipar pindah keluar dan masa tu barulah hubungan aku dan suami beransur pulih walaupun sebenarnya aku berkecil hati dengan suami.
Kadang2 aku terasa fobia bila teringat dan sangat serik nak biarkan sesiapa menumpang selama berbulan-bulan di rumah aku.
Hubungan aku dan kakak ipar sekarang biasa2 saja. Kalau terjumpa, kami akan cakap hal penting saja. Tiada gelak tawa atau gurauan. Aku terasa seperti ada benteng di antara aku dan kakak ipar.
Kepada ipar2 di luar sana tidak kisah la adik ipar, kakak atau abang ipar…. tidak perlulah menumpang serumah dengan adik beradik yang sudah berkahwin. Biarlah mereka bahagia dengan hidup mereka.
Kalau menumpang 2 atau 3 malam tak apa tapi janganlah sampai berbulan-bulan lamanya. Kalau menumpang pun, silalah belajar adat menumpang agar tuan rumah tidak terguris.
Sampai hari ini aku masih tertanya-tanya, adalah aku yang salah dalam hal ini? Berkira kah aku?
– Leo (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit