Warga IIUM Confessions yang dikasihi lagi dihormati. Tujuan nukilan saya adalah untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penyelesaian kemelut keluarga saya sekarang. Nama yang disiarkan ini semuanya nama samaran.
Hakiki kemelut tidak memeningkan kepala saya tetapi saya yakin lagi pasti kemelut ini mengundang natijah buruk kepada mak dan ayah yang saya kasihi.
Kemelut bermula awal tahun 2021 apabila adik saya (Jamil, bukan nama sebenar) membuat pengakuan yang dia sudah berkahwin tanpa pengetahuan mak dan ayah.
Kurang lebih, sudah 5 tahun dia berkahwin tanpa pengetahuan kami adik beradik, apatah lagi mak dan ayah di kampung. 5 tahun pernikahan ‘sulit’ mereka Allah S.W.T limpahi jua berkat sepasang cahaya mata.
Jamil telah bernikah dengan gadis bernama Latifah (juga bukan nama sebenar) dan apa yang mengharukan, pernikahan mereka turuk disorok oleh Latifah daripada pengetahuan keluarganya.
Tidak banyak yang saya tahu berkenaan Latifah. Apa yang saya tahu, ayah tegas membantah percintaan Jamil dengan Latifah lantaran mereka bercinta ketika sedang menuntut di universiti ketika itu.
Mak tak kisah sangat sebab sayangnya pada Jamil (baca sampai habis baru anda faham sumpah kasihnya seorang ibu).
Kemelut semakin dramatik apabila Jamil selamba lagi yakin menyatakan hasratnya untuk menikahi isteri kedua (Hasnah, pasti bukan nama sebenar) yang latar belakang gadis ini lansung tidak diketahui saya.
Pertama kali saya bertemu Jamil, Latifah & Hasnah serentak dalam pertemuan ringkas (itulah juga pertama kali saya bertemu anak kecil lagi comel Jamil dan Latifah)
Dan apabila diselidik, Hasnah mengaku mengetahui status perkahwinan Jamil dan kononnya rela untuk menjadi isteri ke dua Jamil.
Bila saya tanya Latifah, dia juga redha dan rela dimadukan.
Dikhabarkan juga yang keluarga Hasnah ada menghubungi mak ayah kami di kampung menghantar ‘hint’ yang kononnya Jamil akan masuk meminang Hasnah dalam masa terdekat (eh, dah macam perigi cari timba pula!).
Saya sengaja tidak bertanyakan hal ini kepada mak ayah, khuatir mak ayah terkejut dari mana saya tahu perihal panggilan telefon itu.
Sejujurnya, saya tidak dapat sahkan lagi status pernikahan Jamil sama ada sah di sisi undang-undang Malaysia kerana mereka kononnya bernikah di Malaysia walhal prosedur pernikahan dan pedaftaran perkahwinan di Malaysia agak ketat.
Dalam fikiran, saya cuma mengandaikan pernikahan mereka dimetrai di Selatan Thai.
Saya juga tidak boleh sahkan sama ada Jamil telah terlanjur dengan Latifah yang menyebabkan mereka bernikah senyap- senyap kerana pada tahun sama mereka bernikah, anak pertama mereka juga lahir.
Tempoh pernikahan mereka dengan tarikh kelahiran itu tidak dapat saya pastikan lantaran tiada maklumat lengkap.
Di sudut hati kecil ini, saya nyata kesal adalah tindakan Jamil yang jelas membelakangkan mak dan ayah di kampung, seolah olah mak dan ayah sudah tiada lagi di dunia ini.
Bukan mahu mengungkit, Jamil memang anak emas keluarga saya lantaran dia anak bongsu dan jurang umur kami yang besar.
Sedang saya ke sekolah seadanya mengayuh basikal, ada masa berjalan kaki 5km jauhnya dari rumah, Jamil pada tingkatan 5 sudah senang menunggang motosikal ke sekolah.
Jamil mahasiswa kolej mewah swasta, sedang saya dan adik beradik lain graduan universiti awam sahaja.
Sedang saya dan adik beradik lain hidup biasa- biasa di universiti, Jamil sudah berkereta (kereta baru pemberian mak) seawal tahun kedua, kerana Jamil pernah kemalangan hingga menyebabkan dia tempang/ sukar untuk berjalan seketika.
Malah Ketika Jamil melanjutkan pengajian sarjananya sekarang, mak lah yang bergolok gadai membiaya yuran pengajiannya sementara menunggu pinjaman pengajiannya lulus.
Saya juga terkilan perangai kacang lupakan kulit Jamil terhadap mak dan ayah di kampung.
Semacam dia lupa ketika tiga kali dia kemalangan jalan raya (untuk pengetahuan warganet, kesemua 3 kemalangan yang dialami Jamil menyebabkan dia patah kaki dan terlantar di hospital untuk tempoh yang lama),
Mak dan ayahlah (juga ada kalanya adik beradik lain) yang tanpa jemu berulang alik dari hospital besar.
Hospital besar bukan dekat, lebih kurang 30km jauhnya dari rumah untuk menjaganya dan menguruskan makan pakainya selama 2 bulan!
Belum campur tebal muka mak ayah membayar ikat jamin polis Jamil Ketika dia buat ‘hal’ disekolah.
Bila dikenang, semua ini menjadi duri dalam daging buat saya adik beradik menyebabkan saya menyampah dan marah dengan perangai Jamil sekarang.
Paling dirisaukan, perkara ini pasti jadi buah mulut orang. Mak dan ayah bukanlah orang besar di kampung tetapi mereka sangat dihormati.
Kalau lah rahsia 5 tahun ini terbongkar, amatlah berat aib yang akan ditanggung oleh mak dan ayah yang saya kasihi.
Itu belum campur persepsi serong saudara mara mak dan ayah, seolah mak dan ayah tak pernah mengajar nilai dan moral yang baik terhadap kami adik beradik.
Ayah pula bukanlah dalam kesihatan yang baik sekarang kerana ayah menghidap penyakit tiga serangkai.
Jadi warganet, jelaskanlah kepadaku apa jalan terbaik untuk aku leraikan kemelut ini. Persetankan niatnya Jamil mahu kahwin dua kerana hal itu belum terjadi lagi.
Yang aku amat perlukan, wahai warganet IIUM Confessions semua, panduan bagaimana harus aku sampaikan kebenaran yang sangat pahit ini kepada mak dan ayah dengan penuh hikmah.
Kalau kalian ada pengalaman; petunjuk dan bimbingan jualah yang daku dambakan.
– Coretan oleh Mad yang marah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit