Adik Sayang Abang

Assalamualaikum. Terima kasih buat admin IIUM Confession yang sudi menyiarkan confession aku ini. Luahan ini tidaklah begitu serius, tetapi cukup menyentuh sensitiviti seorang adik yang mempunyai seorang abang yang mempunyai kelemahan dari segi mental.

Aku namakan abang aku sebagai H. H dilahirkan dalam keadaan normal fizikal. Pada mulanya mak, ayah, kakak-kakak dan abang aku menganggap H ni normal. Mereka perasan H ni lain daripada yang lain bila usianya menginjak umur 5 tahun. Mereka dapati H mulai lambat dalam proses pembelajaran, pemikiran dan perbuatan. H juga paling alim dalam keluarga. Kata mak, mungkin kejadian mak aku terdengar orang baca surah al fiil di telinga dengan suara yang kuat, seolah-olah menyergah ketika mengandungkan H, ada kaitan mengapa H tidak tinggal solat, jadi bilal dan pandai mengaji. Dia juga pandai buat kraftangan dan rajin berkebun. Anyam ketupat, buat bakul daripada kertas, hiasan penyu dan pokok-pokok sayur di rumah kami kebanyakannya dia yang buat dan tanam. H sekolah sampai tingkatan 5 saja, tapi sangat rajin bekerja. Aku sangat sayangkan abang aku ni dan aku rasa tergugat bila dia sering dipukul dan dibuli oleh orang luar sejak dia kecil sehinggalah sekarang.

Semalam, aku telah mendapat berita daripada abang aku yang kedua dan mak aku, mengatakan H dipukul oleh polis-polis (kata mak, dalam 4-6 orang polis memukul H). Aku terkesima. Nak menangis, tapi tak boleh. Aku dikelilingi staff pejabat dan supervisor aku ketika itu. Bimbang mereka tertanya-tanya kenapa pula aku menangis. Aku sangat sedih. H juga menelefon aku petang semalam, menceritakan bagaimana dia dipukul. Aku dapat rasa dia rasa terhina bila dipukul teruk. Memang aku sangat marah dengan polis-polis tu. Lazimnya, pada musim durian, H pergi ke kebun durian dan membawa sekali begnya yang berisi al-Quran dan tasbih. Memang kami sekeluarga dah terbiasa dengan sikap H yang suka membawa al-Quran dan tasbih ke mana sahaja dan memang setiap hari setelah pulang dari tempat kerja tengahari tu, dia akan singgah ke kebun durian untuk mengutip buah durian. Tapi baru sahaja dia masuk ke kebun, dia diserang oleh polis-polis yang sedang jalankan operasi dadah. H dipukul, kepalanya dipijak, tangan digari dan diheret ke kumpulan penghisap dadah, sedangkan H tak melawan. Memang kebun kami tu dah jadi sarang dadah. Marah juga aku dengan penghisap-penghisap dadah ni. Gara-gara mereka, H juga kena pukul. Aku rasa sangat kesal dengan tindakan polis-polis tersebut. Aku tak marah mereka jalankan ops tu, memang baik, tapi aku marah bila mereka tak meminta maaf daripada H. Mereka juga tak meminta maaf daripada mak ayah aku sebab memukul anak orang yang tak bersalah. Korang rasa? Bagi aku, meminta maaf pun dah cukup. Simple. Tapi macam biasa, manusia dengan ego berpisah tiada. H dilepaskan setelah mereka temui hanya al-Quran dan tasbih yang ada dalam beg H. H pulang ke rumah dalam keadaan kotor, seolah-olah dihumban ke dalam parit. Aku tak putus-putus tanya mak aku tentang H, bimbang jika H cedera teruk. Alhamdulillah tiada patah-patah, tapi kami sekeluarga tetap tak dapat terima cara ops mereka. Aku rasa polis-polis sekarang perlu masuk kelas psikologi dan yang sewaktu dengannya untuk kenal watak seseorang tu penagih dadah, penjenayah atau sebaliknya. Kalau tiada pelajaran sebegini, inilah akibatnya. Aku sangat risau bagaimana kalau H hidup keseorangan. Adik mana yang tak risau kalau hidup abangnya sentiasa dibuli dan dipukul. Ayah aku selalu pesan, kalau dah mak ayah dah tiada nanti, jagalah H. Aku memegang amanat ayah aku tu kuat.

Ketika H masih kecil, dia pernah dikurung di dalam almari kelas oleh budak-budak nakal. Tayar basikal H juga pernah dipancitkan oleh budak nakal. H juga pernah dihina oleh cikguku sendiri. Ya, IQ nya tidak setaraf dengan orang lain, tapi dia mempunyai sisi istimewa yang kami suka. Tapi jangan anggap mereka ni bukan manusia, tiada rasa marah dan kehabisan sabar. H pernah diejek, tapi at the end, pengejek tu kena tampar oleh H. H sering dipandang cemuh oleh masyarakat sekeliling. Dulu, memang aku tak dapat terima juga hinaan begini, tapi bila dah terbiasa, aku jadi kalis. Tapi kalis aku tetap ada hadnya. Kalau sampai memukul H yang tak bersalah, memang aku hilang sabar. Maaflah kalau korang rasa jengkel dengan luahan aku ni. Aku cuma meluahkan rasa tak puas hati aku. Kalau aku ada di rumah keluarga sekarang, aku dah boleh pertahankan abang aku. Tapi, aku dibatasi waktu dan jarak. Aku sedih juga perkara ni berlaku ketika aku tiada di rumah. Aku mungkin tak dapat mengubah cara pemikiran masyarakat yang memandang rendah terhadap orang-orang yang istimewa ini, tapi aku cuma berharap mereka bahagia dengan kehidupan mereka dengan menghina orang lain.

– Min

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit