Agama Sama, Tapi Ketegasan Beragama Berbeza

Assalamualaikum semua. Pertama sekali terima kasih admin kerana menyiarkan artikel ini.

Tujuan artikel ini adalah sekadar meluahkan rasa yang lama terbuku dihati kerana bagi aku, mustahil untuk aku ceritakan perkara ini kepada insan-insan terdekat dengan aku terutama keluarga kerana aku tak mahu membuka aib keluarga sendiri. Aib keluarga, aib aku juga.

Aku berasal dari negeri pantai timur dan berjodoh dengan orang negeri pantai barat dan kami masing-masing berusia di awal 30an.

Alhamdulillah dikurniakan suami yang baik, memahami dan banyak membantu dalam kerja rumah. Pada aku, dialah suami, teman, rakan baik tempat bercerita & meluahkan rasa.

Masa di tahun akhir universiti, pensyarah aku pernah berpesan,

“Nanti bila dah masuk alam pekerjaan, jangan terkejut kalau tengok rakan-rakan kerja tak solat. Apa-apa pun jangan tinggal solat” tapi lain ceritanya pada aku. Aku bertemu golongan “slamber tak smayang” ni bila aku masuk alam perkahwinan.

Aku terkejut… OK, family background aku biasa-biasa je bukan kaum kerabat ustaz ustazah. Tapi aku memang dilahirkan dalam keluarga yang berpegang pada “solat itu tiang agama”.

Aku tak maksudkan keluarga aku, keturunan aku, saudara mara aku ahli syurga. Kami juga hamba Allah swt yang lemah yang tak lari dari melakukan dosa, tapi bagi kami dosa meninggalkan solat amatlah berat bagi kami dan aku adik beradik sememangnya diajar untuk solat seawal usia.

Jadi, boleh bayangkan rasa pelik aku bila jumpa seluruh ahli keluarga mertua tak solat. Bukan pelik biasa-biasa pada aku. Pelik macam tengok orang berjalan pakai tangan kaki ketas (read: pelik luar biasa).

Jadi, disini bermula konflik dalam diri aku yang kadang-kadang aku luahkan pada suami aku sehingga mencetuskan kecik hati dan pergaduhan. Adik beradik suami aku SEMUA tak sembahyang.

Bayangkan, bila balik kampung mertua ramai-ramai, waktu subuh tu hanya aku dengan suami aku, mak ayah mertua yang bangun krik2 dalam kegelapan pagi solat subuh-sunyi.

Begitu contradict dengan keluarga aku, waktu subuh 6.30am kalau masing-masing tak bangun, nak runtuh pintu bilik kene kejut bangun.

Berpusu-pusu laju-laju ke bilik air nak tunaikan kewajipan since waktu subuh kan pendek. Kat rumah mertua aku, rileks je semua tak bangun & mak ayah mertua aku pun langsung tak berusaha nak kejut anak-anak diorang. Tak,memang tak kejutkan langsung.

Mak ayah mertua aku, aku perasan waktu subuh diorang bangun solat. Tapi jenis ding dong tak cukup 5 waktu.

Aku pernah perasan, satu hari tu mak mertua aku bangun awal pagi seawal sebelum subuh sebab ada ambil order masak untuk sarapan pagi. Dia dah setel masak, dia pergi COD makanan dengan adik ipar aku balik-balik waktu subuh dah habis.

Solat subuh dia burn. Nampak tak kelalaian mereka? Mak ayah mertua aku tak solat kalau keluar kemana-mana. Contoh, kalau pergi beraya rumah saudara dari sebelum zohor ke asar. Maksudnya zohor dan asar dia burn.

Kami bukan tak singgah masjid/ surau/ RNR tapi diorang memang buat tak tahu duduk dalam kereta tak pun ke tandas saja. Adik beradik suami aku tak payah cerita la. Geng “slamber tak smayang”. Tak malu pun tak solat.

Bulan puasa, keluar shopping seharian sampai maghrib waktu berbuka. Langsung tak solat, tapi teruskan berpuasa dan berbuka bila masuk maghrib.

Perkara-perkara ini sentiasa berulang tiada perubahan walaupun dah setengah dekad usia perkahwinan kami. Aku sangat berharap keluarga suami aku berubah.

Dulu, masa mak ayah mertua aku pergi umrah, aku sangat-sangat berharap dia pulang ke Tanah Air dengan diri mereka yang baru. Yelah, usia pun dah banyak bukan muda lagi dah dekat 60-an. Tapi, balik-balik, sama juga.

Puasa – ayah mertua aku tak puasa di bulan Ramadhan sebab alasan dia gastrik. Ada tahun tu sebulan bulan Ramadhan dia tak puasa. Aku tak tengok pun dia bangun sahur, alas perut at least ada usaha untuk puasa. Maksudnya, memang dia tak ada niat pun nak jalankan ibadat puasa tu.

Tapi, siang hari dia jalankan kehidupan aktif berkebun dan sebagainya seperti biasa tak macam orang sakit pun. Balik berkebun, buka peti sejuk togak air depan aku. Allahu…

Mak mertua aku pun sama. Cuaca panas, haus sikit, terus tak puasa. Pergi dapur minum sirap. Bila ditegur, jawabnya “Allah Maha Mengetahui”.

Hujung-hujung Ramadhan disaat orang lain sedih Ramadhan bakal meninggalkan kite, mak mertua aku dengan adik ipar aku tak puasa sebab alasan penat nak masak rendang.

Memang sejenis masak rendang (satu menu je pun) hari last Ramadhan. Aku kadang-kadang buat-buat tanya “uzur ke?”. Mereka tak malu pun bagi jawapan tak puasa penat la panas nak masak lagi. Allahu… tak terfikir ke mereka.

Masak rendang untuk juadah aidilfitri. Aidilfitri untuk meraikan kemenangan sebulan berpuasa. Meraka layak ke beraya nak sambut kemenangan tu masalahnya?

Dan banyak lagi la cerita pasal mereka ni.. Aku cerita perihal yang paling wajib la dalam Islam iaitu solat dan puasa yang slamber diaorang langgar. Lain-lain tak perlu cerita.

Suami aku, walaupun dibesarkan dalam keluarga macam tu tapi dia tak macam keluarga dia. Mungkin sebab dia banyak tinggal di asrama dari sekolah sampai universiti so persekitaran dia berbeza. Dia bukan tak nasihatkan keluarga dia. Secara lembut, secara keras.

Share artikel di whatsapp group family. Sound mak dia pun pernah. Tapi macam tu jugak. Konfliknye sekarang berlaku pada diri aku.

Mereka mak ayah mertua aku, adik-adik ipar aku. Aku kene sayang meraka macam keluarga aku tapi dalam masa yang sama aku kene benci kemungkaran yang mereka lakukan kerana selemah-lemah iman adalah membenci dengan hati.

Kadang-kadang aku menyesal kenapa aku tak siasat background keluarga mereka sebelum kahwin dulu sebab aku tak nak bergelumang dengan mereka. Aku rimas. Aku rasa aku berpura-pura baik bila dengan diorang hakikatnya aku hanya benci dengan perbuatan mereka.

Sampai tahap setiap kali nak balik kampung, aku kene kumpul kekuatan mental cukup-cukup macam nak pergi berjuang.

Aku sedih bila suami aku cakap, “kenapa family saya tak macam family awak”. Aku kene berperang dengan perasaan aku sendiri setiap kali balik rumah mertua antara kasih sayang sesame keluarga dan ketegasan aku dalam beragama.

Aku nampak, adik-adik ipar aku hidup dalam kesempitan. Kekurangan duit, selalu diberhentikan kerja, kereta rosak kadang nak beli makanan ada masa tak cukup duit. Suami aku tegur, cuba solat, baru la rezeki berkat. Tapi tetap sama meraka sengih-sengih je.

Dalam masa yang sama, aku tak nak zuriat keturunan aku membesar dengan melihat persekitaran yang berlawanan dengan ketegasan aku.

Apa patut aku lakukan? Aku dah masuk dalam keluarga ni dan aku hanya menantu sejauh mana aku dapat bagi teguran pada mereka?

Sekian,

– Seorang menantu & kakak ipar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *