Ah Long Moden

Assalamualaikum WBT. Hai semua. Tujuan aku menulis kat sini ialah aku nak share pengalaman aku yang pernah terjebak dengan pinjaman ah long (yang kononnya berlesen) ni.

Pinjaman aku ini bermula pada awal tahun 2017. Sebelum aku berkahwin pada tahun tu, bapa aku bercadang untuk settlekan semua urusan pembahagian harta tinggalan arwah bondaku yang telah beberapa tahun meninggal dunia.

Kebetulan pada ketika itu, aku memegang sebahagian daripada harta arwah yakni dalam bentuk ‘material’. Dan pada ketika itu, benda itu dalam status sedang di ‘pajak’ kerana aku memerlukan wang waktu itu. Tapi aku bercadang untuk menebusnya selepas tarikh perkahwinanku. Tak sangka pula, bapaku muncul dengan cadangannya untuk membahagikan keseluruhan harta ketika itu.

Justeru, tidak lain tidak bukan, aku harus menyerahkan benda yang aku pegang itu kepada bapaku untuk dinilaikan. Aku harus mencari wang segera untuk menebus benda itu. Ketika itu aku memerlukan lebih kurang RM8000.00 sebagai wang tebusan. Mana nak carikan RM8000.00 dalam masa yang singkat? Kawan-kawan? Sauadara mara? Memang tak la diaorang nak tolong. Jadi sehinggalah aku berjumpa satu iklan pinjaman ini di Facebook.

Oleh kerana terlalu terdesak ketika itu dan tidak membayangkan lagi beban yang bakal aku tanggung aku pun mendaftar. Temujanji di atur untuk aproses menyerahkan dokumen dan menandatangani surat perjanjian. Antara dokumen yang mereka inginkan salinan kad pengenalan, slip gaji, bil elektrik alamat terkini, dan salinan KAD BANK.

Tadaa. Disinilah penipuan demi penipuan bermula. Dan manusia yang terdesak seperti aku ni, tidak mampu mengelaknya.

Penipuan 1 :

Ketika pertemuan itu, seorang ‘pegawai’ tu minta KAD BANK aku. Siap dengan online banking username dan password ye. Dia cakap mereka akan simpan untuk tujuan withdrawal kerana pinjaman ini tidak boleh dibayar secara autodebit daripada aku. Mereka akan withdraw sendiri bayaran pada setiap bulan.

Aku yang tidak mempunyai pilihan ketika itu, terpaksa bersetuju kerana memikirkan yang bapaku sudah banyak kali menelefon bila aku akan pulang untuk urusannya. (Buat pengetahuan pembaca semua, pekara ini tidak dimaklumkan kepadaku semasa kami berurusan di telefon. Di dalam telefon cuma dinyatakan dokumen-dokumen yang diperlukan sahaja.) Aku terima.

Penipuan 2:

Penerangan tentang jumlah pinjamanku. Aku meminjam RM8000.00. Tapi setelah di tolak kos pengurusan dan kos yang entah apa-apa lagi. Aku cuma dapat dalam tangan dalam RM7000.00 saja. Terdesak kan? Aku terima.

Penipuan 3:

Jadual bayaran pinjamanku. Tempoh bayarn 24 bulan yakni 2 tahun. Dasar cekik darah. Kira-kiranya begini, 6 bulan pertama bayaranku RM1000/bulan. 6 bulan berikutnya RM900/bulan. 6 bulan lagi RM800.00/bulan. Dan 6 bulan terakhir RM600/bulan. Jadi korang yang bijak matematik ni kira lah sendiri berapa yang aku harus bayar dan berapa yang aku pinjam. Aku jerut leher sendiri.

Penipuan 4:

Tibalah bulan pertama bayaran. Aku mula gusar. Bila penolakan akan dilakukan. Aku yang memang bodoh ketika itu tidak sempat untuk memindahkan gaji aku. Check-check aje, OMG diaorang withdraw semua duit gaji aku! Aku mula panik. Kenapa harus di keluarkan semua wangku. Kenapa tidak di ambil jumlah yang sepatutnya je. Panas hati aku.

Aku cuba hubungi ‘pegawai’ tu. Ah, sudah tak berjawab pula. Whatsapp tak berbalas. Lama selepas itu, baru dia balas, katanya maaf tersilap withdraw. Nanti dia masuk kan semula baki. Aku memang tak senang duduk lah lepas tu. Syukurlah, lambat dia masuk kan balik baki gaji aku, kalau tak lagi buruk la nasib aku.

Penipuan demi penipuan berlaku setiap bulan apabila wang di potong. Selalunya lebih daripada sepatutnya. Walaupun tak banyak lebih dalam RM5 atau RM10 setiap bulan, lebih tetap lebih.

Walaupun sejak itu, aku awal-awal lagi akan transferkan gaji aku, namun selalunya aku terpaksa tinggalkan lebih sebab caj pengeluaran MEPS aku jugak yang terpaksa TANGGUNG. Bila tak cukup mereka akan hubungi untuk tambah duit.

Ye.. aku tahu mesti ramai yang salahkan aku dalam hal ini. Aku mengaku kebodohan aku sendiri sebenarnya. Syukurlah semua ini dah berakhir baru-baru ini. Aku tidak lagi terikat dengan diaorang. Di offer untuk teruskan pinjaman, aku terus menolak! Kad bank aku pun telah dipulangkan. Online banking details aku awal-awal aku dah tukar dulu. Now everything is over.

Jadi nasihat aku kat pembaca semua, kalau korang terdesak macam mana pun, jangan lah jadi macam aku. Ikhtiar lah cari lain. Diaorang ni memang tunggu je nak sembelih orang-orang terdesak macam aku.

Doakan aku murah rezeki ye. Aku pun doakan korang juga. Wassalam.

– Yang Serik

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *