Assalamualaikumwarahmatullah.
Aku nak kongsi satu benda dan ini lebih kepada persahabatan. Aku lelaki, berusia 16 tahun dan menetap dia Selangor. Dari dulu sampai sekarang, aku boleh dikatakan ramai kawan. Antara faktornya adalah sebab aku hebat, kononnyalah. Kononnya hebat berbahasa penjajah, kononnya hebat membaiki komputer, kononnya hebat main permainan atas talian(Baca, dota). Tapi aku ni jenis tak ambil tahu, siapa nak kawan dengan aku kawanlah. Kalau tak nak, kisah apa aku. Dari sini kau dah boleh tahu yang aku ni jenis tak reti nak hargai persahabatan. Biar aku mulakan cerita daripada aku tingkatan satu.
Aku ada seorang kawan bernama Faris(Nama sebenar), dan Faris ni ialah rakan sekelas aku sejak aku darjah 1. Kiranya darjah satu memang kami sekelas, dialah kawan aku dunia dan akhirat. Cumanya waktu darjah 5 aku turun kelas dan kami berpisah sekejap. Bila diingatkan balik, memang manis ukhuwah kami dulu. Faris ni lahir dalam keluarga yang jenis jaga agama dengan rapi. Kakak dia dah hafal 30 juz dah. Dia inshallah suatu hari nanti, Aamiin. Dulu-dulu, aku dengan dia selalu gaduh. Bukan gaduh bertumbuk tapi gaduh mental, setiap kali peperiksaan mesti aku dan dia berebut tempat pertama dan kedua sebab memang kami memang dominasi kedudukan dalam kelas sejak dulu. Aku ingat lagi aku dan dia dipanggil untuk hadir ke Majlis Anugerah Kecemerlangan dan waktu tu ada umumkan sekali kelas yang kami akan hadiri tahun depan. Alhamdulillah aku dan dia masih satu kelas, waktu darjah 5 kami berpisah seketika. Awalnya rasa janggal dia tak ada disisi aku tapi lama-lama alhamdulillah aku dah terbiasa. Lagipun kelas aku dan dia sebelah-sebelah je cumanya dapat rasalah yang kami makin lama makin renggang.
Nak dijadikan cerita, waktu tingkatan satu dan dua kami kurang rapat sebab dia ada kawan baru. Sayed namanya, aku waktu tu macam tak kisah sebab aku pun ada kawan-kawan dan geng geng aku sendiri. Ya lah, sosial kan? Silap aku, aku tak hargai persahabatan kami berdua. Masuk tingkatan 3, waktu ambang-ambang pt3 tu. Aku pernah tanya dekat facebook dan tag satu kelas aku, aku tanya mereka sama ada nak masuk aliran sains ke atau aliran akaun tahun depan. Bukan apa, aku tanya tu sebab aku sayang. Sayang murid-murid lelaki kelas aku, sejak tingkatan 3 kami mula rapat. Kalau dulu, ada puak-puak dan ada permusuhan tapi waktu Tingkatan 3, tak ada. Semuanya rapat, kiranya kalau nak pergi kantin. Semua jalan sama-sama, nak pergi surau, semua jalan sama-sama. Kalau cikgu takada, seorang keluar kelas, semua keluar kelas. Kalau ada yang ketandas, sampai 4-5 ketandas. Itulah kami. Nak dijadikan cerita, ramai kata yang mereka nak masuk kelas sains. Aku legalah sebab aku pun memang hajat nak masuk kelas sains tapi akhirnya, harapan aku hancur.
Masuk tingkatan 4, awalnya aku gembira sebab semua ahli kelas tahun lepas masih ada untuk meneruskan sesi persekolahan untuk tahun 2016. Kami pt3 waktu 2015, tapi biasalah ramai yang mohon nak masuk MRSM memandangkan keputusan pun mengizinkan. Pada awalnya aku macam tak takut sangat sebab kawan-kawan aku tu ramai yang macam bila aku fikir, boleh ke diaorang survive dekat sana nanti dan nampaknya macam tak boleh. Jadi aku teruskan dengan hari-hari aku yang biasa. Faris pun masih ada, dia alhamdulillah dapat 6A walaupun banyak main hahaha. Tiba-tiba, aku dapat berita yang mengejutkan. Seorang daripada kawan aku dapat tawaran pergi sekolah teknik, dia terima. Mulanya agak walaupun aku tak berapa rapat dengan dia, tapi bila satu kelas buat majlis perpisahan ada makanan pesemua, aku kuranglah sedih. Seorang dah pergi, tiba-tiba lagi seorang dapat tawaran MRSM tapi aku macam sedih sikit je sebab kami pun tak berapa rapat dan dia ni pun memang dari dulu nak pindah sebab dia tak habis habis kata sekolah aku ni tak ada masa depan hahaha.
Aku okaylah, bersyukur sebab masih ada kawan-kawan lama yang aku rapat. Faris pun tak dapat tawaran mana-mana kan jadi aku tak sedih sangat. Tiba-tiba satu hari, waktu tu aku dekat kampung aku dapat mesej daripada Sayed. Dia tanya aku kat mana dan aku beritahulah yang aku dekat kampung. Dia suruh aku balik cepat sikit sebab minggu depan, dia kata akan jadi minggu yang bersejarah. Aku kurang faham dan aku biarkan jelah sebab dekat kampung kan? Nak berseronok dan berinteraksi dengan keluarga. Minggu depan tu, aku mula rasa lain. Faris dan Sayed nampak rapat sangat, sebelum ni tak ada macam tu. Maknanya nak pergi mana-mana mesti dengan Sayed. Lagi pelik bila setiap kali balik sekolah, selalunya lelaki kelas aku akan keluar lambat tapi diaorang berdua bersiap, ambil beg dan keluar macam tu je. Selalunya diaorang akan bagi salam ataupun solat Zohor dekat surau sekolah dulu tapi ini tak. Hari-hari pulak tu diaorang balik awal. Aku rasa macam tersisih, rasa macam Faris dah tak sayangkan aku. Entahlah, dia macam menjauhkan diri daripada aku.
Satu hari tu, dekat perhimpunan. Guru kelas aku panggil dia dan dia pergi sambil bawa beg. Aku ingat dia kena tahan sebab rambut panjang ke tak ada lencana ke apa tapi Faris jarang kena tahan. Jadi bila masuk kelas tu, aku masuk kelas lambat sikit sebab pergi tandas. Jadi orang lain dah masuk kelas kecuali aku, cikgu pun tak masuk lagi jadi aku saja buat lambat-lambat. Masuk je kelas aku terus duduk di kerusi aku, aku duduk sebelah Faris. Ada satu surat dalam fail atas meja aku, aku tanya surat siapa ni. Faris duduk dan suruh aku baca. Bila aku baca, tawaran pindah ke Pondok Moden. Ya Allah, hati aku hancur tapi entah kenapa aku masih tersenyum. Rupanya baru aku tahu, Sayed dan Faris rapat seminggu sebelum aku baca surat tu adalah kerana mereka dah bercadang nak simpan rahsia yang Faris pindah ni daripada aku dan orang lain. Ya Allah Faris, kejam kau kan? Aku kawan kau sejak darjah satu dan kau tak nak beritahu aku pasal ni sedangkan Sayed baru 2 tahun kau kenal tapi aku tahu. Nilai persahabatan tak dapat diukur dengan jangka masa. Faris nilah kawan yang dari dulu teman aku pergi kesana sini, tolong aku bila aku ada masalah, selalu sakat, buka puasa sama-sama, main futsal sama-sama, main dota sama-sama aku dan lain-lain. Dia, terlampau istimewa buat aku. Bila aku surat baca tu, mulalah rasa yang selama ni aku tak hargai persahabatan dengan dia. Aku pun cakaplah dekat dia tahniah pesemua, dia pandang aku lama-lama sambil senyum. Aku kenal dia, dia jenis kalau nak bagitahu sesuatu. Dia selitkan dalam kata-kata dia, dia tak bagitahu terus. Lepas tu macam biasa kami belajar.
Dalam kelas, daripada pagi sampailah balik aku tak boleh berhenti fikir pasal surat tu. Walhal masa cikgu tengah mengajar pun, air mata aku mengalir. Nasib baik tak cecah pipi, entahlah. Aku rasa sedih sangat, kawan aku yang aku sangat sayang akan pergi tinggalkan aku. Aku sebak sangat, setiap kali pandang dia mesti aku sebak tapi aku tahan. Aku tahan semampu-mampunya. Kau bayangkan, 16 tahun dan aku lelaki tapi masih menangis kerana seorang sahabat? Dahulu aku rasa malu untuk menangis kerana terlekat dengan pemikiran bahawa lelaki tak patut menangis, tapi waktu Faris pindah tu. Aku buang pemikiran tu, ah lantaklah nak menangis pun. Air mata aku yang terbazir, bukannya duit kau pun. Bila balik tu, aku terus balik. Aku tak bagi salam ke apa ke. Masuk rumah terus aku baring kat katil, aku tutup pintu bilik. Aku menangis semampu-mampunya, basah katil dibuatnya. Aku tak tahu, kenapa aku lemah sangat. Seumur hidup aku, aku hanya pernah menangis sekali kerana perempuan selain umi aku tapi disebabkan oleh lelaki. Berkali-kali dah aku menitiskan air mata. Sedih sangat.
Aku ingat lagi dekat makmal biologi, waktu tu antara hari-hari terakhir Faris dekat sekolah ni sebelum dia pindah. Aku pun masih sebak waktu tu tapi aku cuba untuk tahan rasa sedih ni. Cikgu biologi waktu tu tengah sibuk buat kerja lain dan waktu tu kitaorang tengah sembang-sembang tiba-tiba Faris cakap, orang yang pindah sedih, orang yang tak pindah tak sedihlah. Dia seolah-olah nak cakap yang aku yang dekat sini tak sedih dengan pemergian dia, tapi dia yang pergi teramatlah sedih. Allahuakbar, aku lemah sangat waktu tu. Rasa nak menangis dan peluk dia je. Aku geram dengan dia, mungkin dia tak nampak sedih aku tahap macam mana tapi tak apalah. Biar aku je yang tahu. Hari terakhir dia, dia ajak aku pergi lepak dekat gerai cendol dan aku pun pergilah sebab itukan hari terakhir dia. Hari terakhir dia tu aku dah kurang sedih sebab dah dapat motivasi daripada ramai kawan-kawan maya, jadi aku mula redhakan hati aku dengan pemergian dia. Dah sampai cendol tiba-tiba dia kata dia kena balik cepat, dia ada urusan. Waktu tu dia nak cepat jadi aku tak sempat peluk dia buat kali terakhir. Tapi tak apalah, nanti boleh jugak jumpa.
Balik tu, aku terus menangis dan tidur. Esoknya aku bangun awal, dalam pukul 4.30 pagi macam tu. Aku nak bersiap awal, nak siapkan diri dan nak kumpul kekuatan. Nak kumpul kekuatan untuk lihat kerusi sebelah aku akan kosong, nak kumpul kekuatan supaya dapat terima hakikat kawan yang aku sayang dah pindah. Dalam pukul 6.30 tu, aku mesej Faris. Banyak benda aku tulis, siap bagi voice lagi dengan harapan dia sempat baca sebelum pergi pondok tu. Alhamdulillah dia sempat. Sampai sekolah je, setiap 2 minit aku mesti aku tengok tingkap kat luar sebab aku nak tengok mana tahu kereta keluarga Faris akan lalu depan sekolah. Cikgu siap marah aku lagi sebab aku berdiri selalu. Lusanya aku pergi sekolah macam biasa, ramai kawan-kawan aku tahu yang aku rapat dengan Faris dan aku sedih dengan pemergian dia. Dalam 2 minggu jugak lah aku diam je dalam kelas, tak bercakap dan bergaul kecuali dengan kawan yang duduk belah kanan kiri aku. Setiap kali ada kawan-kawan aku menyanyi, aku akan selalu cakap dekat Sayed yang dulukan Faris selalu nyanyi. Faris ni dari dulu pandai Bahasa Malaysia, sebab mak dia cikgu subjek tu. Jadi setiap kali cikgu Bahasa Malaysia aku bagi latihan dan kami satu meja tak tahu nak jawab apa soalan tu. Mesti aku akan ungkit dan cakap, kalau Faris adakan senang. Lepas tu automatik mata akan berair huhu.
Aku selalu pandang kiri aku dan tengok kerusi kosong yang ditinggalkan Faris, rasa sebak sangat. Kalau ada sesiapa yang nak duduk situ. Aku tak bagi, sebab aku sayangkan sangat Faris. Aku tak nak orang ambil alih tempat dia. Bila difikirkan balik, agak agak berapa tan air mata dah aku bazirkan untuk Faris tu. Lepas dia dah pindah ke pondok tu, tiba tiba aku dapat tahu yang sepupu aku satu pondok dengan dia. Ya allah, aku menjerit waktu tu sebab gembira sangat. Alhamdulillah Faris dan sepupu aku satu kelas dan Faris pun rapat dengan sepupu aku, sekurangnya boleh aku tanya khabar Faris melalui sepupu aku. Sekarang ni, dah berapa bulan aku tak jumpa dia. Rindu sangat. Banyak lagi sebenarnya, cumanya aku tak kuat untuk cerita. Apa-apapun.
Apa yang aku cuba sampaikan, mudah je. Bila kau bersedia untuk menjalinkan hubungan, kau perlu bersedia untuk menghadapi perpisahan. Gembira itu tidak kekal, begitu juga dengan duka.
– budak k.
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit